[Sorotan Ketabahan Muslimah Palestin]
Matanya Hilang, Namun Tidak Harapannya
Sawsan al-Zein, 50, ibu kepada lapan anak itu kehilangan satu mata selepas cedera parah pada minggu pertama perang apabila rumahnya di Jalan Salah al-Din, timur Bandar Gaza, dibom. Selain kehilangan sebelah mata, tangannya juga cedera dan tidak boleh digerakkan lagi.
Insiden yang melanda ini turut memberi kesan kepada psikologi Sawsan. Banyak pekerjaan dan aktiviti harian yang gemar dilakukan seperti memasak dan mengurus hal ehwal rumah tangga, kini tidak lagi boleh dilakukannya. Sedangkan sebelum ini, dialah tonggak bagi keluarganya.
Satu-satunya keinginan Sawsan ialah agar perang berakhir tidak lama lagi, supaya dia boleh pulang ke utara Gaza, walaupun yang tinggal hanyalah puing-puing runtuhan. Sawsan turut menyatakan bahawa perang ini menuntut kekuatan yang besar daripada wanita.
——————
Sudah semestinya. Ini kerana perang ini telah memeras dan merampas banyak perkara daripada para wanita, secara zahir mahupun batin. Para wanita mangsa perang terpaksa menempuh situasi yang tidak menentu, hidup dalam serba kekurangan dan risiko tinggi, malah mereka turut kehilangan sebahagian diri mereka mahupun anggota keluarga. Kecacatan yang menimpa diri Sawsan akibat dibom misalnya, tidak menjadikannya hilang harapan dan terus berusaha untuk kekal kuat. Walaupun psikologi terjejas, itulah lumrah sebagai seorang manusia yang bersifat lemah dan bergantung. Namun, dia tetap tidak berputus asa dan tidak mahu meninggalkan tanah asalnya, yang merupakan sebahagian daripada bumi barakah Palestin, walau terpaksa bergadai nyawa. Inilah satu bentuk ketabahan dan sifat juang yang wajar diteladani oleh kita semua. Marilah kita mengambil pelajaran daripada kisah mereka, dan memantapkan lagi perjuangan mendukung pembebasan bumi Al-Aqsa tercinta dan membela ketidakadilan yang menimpa saudara kita di Gaza. Para pemuda hari ini perlu dibangkitkan agar Sawsan dan semua wanita Palestin tidak bersendirian dalam perjuangan hidup mereka.
Sumber berita: https://www.aljazeera.com/features/2024/3/8/a-suffering-i-would-not-wish-on-any-woman-women-of-gaza

