Mata Wang Negara Khilafah: Emas Dan Perak
(Muqaddimah ad-Dustuur Fasal 167)
Oleh: Gus Syams
Di dalam Fasal 167 dinyatakan:
نُقُوْدُ الدَّوْلَةِ هِيَ الذَّهَبُ وَالْفِضَّةُ مَضْرُوْبَةُ كَانَتْ أَوْ غَيْر مَضْرُوْبَةٍ. وَلاَ يَجُوْزُ أَنْ يَكُوْنَ لَهَا نَقْدُ غَيْرِهِمَا. وَيَجُوْزُ أَنْ تُصْدِرَ الدَّوْلَةُ بَدْلَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ شَيْئاً آخَرَ عَلَى شَرْطٍ أَنْ يَكُوْنَ فِي خَزَانَةِ الدَّوْلَةِ مَا يُسَاوِيْهِ مَنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّة. فَيَجُوْزُ أَنْ تُصْدِرَ الدَّوْلَةُ نُحَاساً أَوْ برونزاً أَوْ وَرَقاً أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ وَتَضْرِبُه بِإِسْمِهَا نَقْداً لَهَا إِذَا كَانَ لَه مُقَابِلُ يُسَاوِيْهِ تَماَماً مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّة .
Mata wang negara adalah emas dan perak, baik yang dicetak mahupun tidak. Negara tidak boleh memiliki mata wang selain dua mata wang tersebut. Negara boleh mencetak mata wang pengganti emas dan perak, dengan benda lain, dengan syarat di dalam kas negara ada cadangan emas dan perak yang sama persis nilainya. Negara boleh menerbitkan mata wang tembaga, gangsa, wang kertas, dan sebagainya, serta mencetak mata wang tersebut dengan atas nama mata wang negara jika memang mata wang tersebut memiliki pengganti yang sama persis dengan emas dan perak secara sempurna.
Dalam konteks pertukaran, baik pertukaran barang, atau pertukaran perkhidmatan dan manfaat-manfaat, Islam tidak menetapkan untuk menggunakan sesuatu tertentu yang wajib dijadikan sebagai dasar pertukaran. Islam membebaskan manusia untuk melakukan pertukaran dengan apapun, selama keduanya saling redha. Seseorang boleh menikahi seorang wanita dengan mahar mengajari dirinya menjahit. Seseorang boleh membeli sebuah kenderaan dengan (harga) bekerja di kilang selama sebulan. Seseorang juga boleh bekerja dengan seseorang dengan (upah) beberapa kilogram gula. Kebebasan melakukan pertukaran dengan sesuatu yang dikehendaki didasarkan pada keumuman dalil-dalil jual beli dan ijaarah:
وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ ٢٧٥
“Allah telah menghalalkan jual-beli.” (TMQ al-Baqarah [2]: 275).
Ini berlaku untuk jual-beli dan ijaarah apapun dengan apapun. Antara dalil lainnya adalah hadis berikut:
أَعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ قَبْلَ أَنْ يَجِفَ عَرَقُهَ
“Berilah upah kepada pekerja sebelum kering keringatnya.” (HR Ibnu Majah).
Ertinya, seorang pekerja hanya akan diberi upah setelah dia menyelesaikan pekerjaannya. Apapun jenis pekerjaannya. Selain itu sesuatu yang dipertukarkan benda. Hukum asal benda adalah mubah selama tidak terdapat dalil yang mengharamkan. Atas dasar itu, diperbolehkan melangsungkan ragam muamalah syar’iyyah di atas benda, baik menjual mahupun membeli, hibah mahupun pertukaran; kecuali ada nas yang mengharamkan pertukaran tersebut.
Berdasarkan hal ini, pertukaran barang dengan wang atau wang dengan barang dibolehkan secara mutlak; kecuali pertukaran wang dengan wang. Ini kerana, pertukaran wang dengan wang memiliki hukum-hukum khusus yang wajib terikat dengan hukum-hukum itu. Demikian pula pertukaran tenaga (perkhidmatan) dengan wang dan wang dengan tenaga (perkhidmatan) adalah mubah secara mutlak, kecuali barang atau tenaga yang diharamkan oleh nas.
Berdasarkan hal ini, pertukaran barang dengan satuan tertentu dari mata wang, juga pertukaran tenaga (perkhidmatan) dengan satuan tertentu dari mata wang, adalah mubah secara mutlak. Apapun satuan mata wang tersebut. Sama saja adakah satuan mata wang tersebut tidak memiliki backup sama sekali, seperti wang kertas biasa; atau memiliki backup dengan nisbah tertentu dari emas seperti wang kertas mandatori; atau memiliki backup penuh dari emas dan perak yang sama dengan nilainya, seperti wang kertas. Semuanya sah dipertukarkan.
Atas dasar itu, sah melakukan pertukaran barang atau tenaga (perkhidmatan) dengan satuan tertentu apapun dari mata wang. Seorang Muslim sah menjual dan membeli sesuatu dengan wang apapun. Dia juga sah mengontrak kerja (perkhidmatan) dengan upah wang apapun, dan menjadi pekerja dengan upah wang apapun. Ini dari sudut hukum pertukaran.
Hanya saja, jika negara hendak menetapkan satuan tertentu mata wang untuk negaranya, ia harus menerapkan hukum-hukum syariah yang berhubungan dengan harta dari sisi harta itu sendiri, seperti zakat, pertukaran, riba, dan sebagainya; atau mesti menerapkan hukum-hukum yang berhubungan dengan individu pemilik harta, seperti diyat, kadar pencurian, dan sebagainya. Sebab, negara tidak bebas menetapkan apa saja satuan tertentu dari mata wang. Negara wajib terikat dengan satuan tertentu dari mata wang, dan tidak boleh menetapkan satuan mata wang yang lain secara mutlak.
Syariah Islam telah menentukan satuan tertentu dari mata wang dalam jenis tertentu yang dijelaskan oleh nas, iaitu emas dan perak. Oleh kerana itu, jika negara hendak menerbitkan mata wang, maka ia terikat dengan mata wang ini (emas dan perak). Bukan yang lain. Syariah Islam tidak membiarkan negara menerbitkan mata wang dari jenis apapun yang dia kehendaki. Sebab, syariah telah menentukan satuan wang untuk negara yang dijadikan sebagai mata wang negara jika negara hendak menerbitkan mata wang dengan satuan wang tertentu. Satuan mata wang tersebut adalah emas dan perak. Bukan yang lain.
Adapun dalil yang mendasari hal ini adalah bahawa Islam mengkaitkan emas dan perak dengan hukum-hukum yang bersifat tetap tidak berubah. Tatkala Islam memfardhukan diyat. Islam menentukan kadar tertentu dari emas untuk diyat. Ketika Islam mewajibkan potong tangan dalam pencurian, Islam menentukan kadar pencurian yang dipotong tangannya dengan emas. Rasulullah SAW bersabda di dalamnya suratnya yang dikirim kepada penduduk Yaman, “Diyat pembunuhan jiwa seorang Mukmin adalah seratus ekor unta, dan wajib atas orang yang memiliki dirham (ahlu al-wariq), membayar diyat 1000 dinar.” (Imam Ibnu Qudamah menceritakan riwayat ini di dalam Kitab Al-Mughni yang dituturkan ‘Amru bin Hazm dari surat Rasulullah SAW kepada penduduk Yaman.
Di dalam riwayat Imam an-Nasa’i mengenai surat Rasulullah SAW yang dikirim kepada penduduk Yaman, “Wajib bagi pemilik emas (ahlu adz-dzahab) membayar diyat (pembunuhan) 1000 dinar.”
Rasulullah SAW bersabda, “Tangan pencuri tidak dipotong kecuali dalam pencurian ¼ dinar atau lebih.” (HR Muslim dari jalan ‘Aisyah RA).
Penetapan kadar tertentu dengan dinar, dirham, dan mitsqal, untuk hukum-hukum tertentu telah menetapkan dinar dan dirham sebagai satuan wang yang digunakan untuk mengukur nilai benda dan tenaga. Satuan mata wang ini merupakan mata wang dan standard mata wang. Fakta syariah yang mengaitkan hukum-hukum syariah dengan emas dan perak secara tekstual merupakan dalil bahawa mata wang hanyalah emas dan perak. Bukan yang lain.
Selain itu, ketika Allah SWT mewajibkan zakat wang, Dia mewajibkan pada emas dan perak sahaja. Bukan pada yang lain. Allah SWT juga menentukan nishab emas dan perak untuk zakat wang. Penetapan zakat wang dengan emas dan perak menentukan bahawa mata wang adalah emas dan perak. Selain itu, hukum-hukum pertukaran yang dijelaskan di dalam transaksi-transaksi wang saja hanya dijelaskan di atas emas dan perak saja. Begitu juga dengan semua transaksi kewangan di dalam Islam disebutkan hanya di atas emas dan perak. Adapun pertukaran adalah jual-beli mata wang dengan mata wang. Boleh saja jual-beli mata wang dengan mata wang itu sendiri. Boleh juga jual-beli mata wang dengan mata wang lain. Dengan ungkapan lain, pertukaran adalah jual-beli nuquud (wang) dengan nuquud (wang).
Alhasil, penentuan Syariah atas transaksi kewangan adalah dengan emas dan perak sahaja, bukan dengan yang lain, merupakan dalil yang sangat jelas bahawa mata wang hendaklah disandarkan pada emas dan perak. Bukan yang lain. Rasulullah SAW bersabda:
بِيْعُوْا الذَّهَبَ بِالْفِضَّةِ والْفِضَّةُ بِالذَّهَبِ كَيْفَ شِئْتُمْ
“Jual-belilah kalian emas dengan perak, perak dengan emas, sesuka kalian.” (HR al-Bukhari dari jalan Abu Bakrah RA.
WalLaahu a’lam
[Bersambung]

