Site icon MuslimahHTM News

Belajar dari Nabi Ibrahim AS

[Muhasabah] Belajar dari Nabi Ibrahim AS

Oleh: Muhammad Rahmat Kurnia

 

Ibrahim AS.  Itulah bapa para nabi.  Apabila kita membincangkan tentang haji, kita tidak boleh lepas daripada nama Ibrahim AS. Begitu juga ketika membincangkan tentang korban, pasti terkait dengan nama beliau. Sama juga apabila membincangkan tentang hijrah.

 

Terdapat pelajaran penting daripada kehidupan Nabi Ibrahim AS. Salah satunya ialah hijrah beliau. Selain Rasulullah SAW, beliau adalah orang yang disebutkan di dalam al-Quran sebagai uswat[un] hasanah (suri teladan). “Sesungguhnya telah ada suri teladan yang baik bagi kalian pada Ibrahim dan orang-orang yang bersamanya.” Demikianlah maksud firman Allah SWT dalam surah Mumtahanah ayat 4.

 

Nama Ibrahim ditulis di dalam al-Quran sebanyak 99 kali.  Tersebar dalam 25 surah.  Terkandung dalam 63 ayat.  Masya-Allah. Tabaarakallaah.

 

Allah SWT berfirman dalam al-Quran (yang bermaksud): Ibrahim berkata, “Adakah kamu menyembah patung-patung yang kamu pahat itu? Sedangkan Allah-lah Yang telah menciptakan kamu dan apa yang kamu kerjakan itu.” Mereka berkata, “Dirikanlah sebuah bangunan untuk (membakar) Ibrahim. Lalu lemparkan dia ke dalam api yang menyala-nyala itu.”  Mereka hendak melakukan tipu daya kepada dia. Kerana itu Kami jadikan mereka orang-orang yang hina (TMQ ash-Shaffat [37]: 95-96).

 

Bukan sekadar tauhid dan ketaatan yang kuat. Tetapi beliau juga sangat mengambil berat tentang keluarga.  Dalam ayat berikutnya Allah SWT berfirman (yang bermaksud): Ibrahim berkata, “Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku dan Dia akan memberi aku petunjuk:  Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.” Kemudian Kami berikan kepadanya khabar gembira dengan seorang anak yang sangat sabar (TMQ ash-Shaffat [37]: 99-101).

 

Lihat, sebelum meminta keturunan soleh/solehah, beliau menyatakan bahawa beliau pergi menuju Tuhannya untuk mendapatkan petunjuk dan beliau akan mengikuti petunjuk itu. Ini memberi pelajaran bahawa apabila sesiapa yang ingin memiliki anak yang soleh/solehah maka hendaklah dia terlebih dahulu mesti menyatakankan dirinya, “Ya Allah, aku akan taat kepada-Mu. Aku akan menjadi ayah soleh/ibu solehah, agar anak-anakku  menjadi soleh/solehah.”

 

Allah SWT pun mengurniakan seorang anak kepada beliau bernama Ismail. Namun, ujian pun segera tiba. Allah SWT memerintahkan Ibrahim dan isterinya Hajar, berhijrah dari Syam (kini Palestin) ke Mekah.  Bagaimana dengan Ismail? Pada masa itu masih bayi.

 

Tidak banyak bicara, Ibrahim, isterinya, dan anaknya Ismail berangkat ke Mekah.  Perjalanan jauh kira-kira 1493 km. Jika hanya berjalan pada waktu siang dan berehat pada waktu malam, perjalanan boleh mengambil masa sehingga 1 bulan. Demi ketaatan, mereka meninggalkan negeri para nabi. Setibanya di Mekah, Ibrahim AS segera meninggalkan isteri dan anaknya di lembah yang tidak ada tanaman, tidak ada air, tidak ada jiran, tidak ada penempatan dan hampir tidak ada kehidupan. Cuba bayangkan, ada seorang suami mengajak isterinya yang baru melahirkan untuk pergi bersamanya ke hutan belantara.  Isterinya ikut. Kemudian, apabila tiba di hutan, tiba-tiba suaminya meninggalkan isteri dan anaknya itu begitu saja.  Agak-agak bagaimana sikap si isteri? Adakah isterinya akan mengamuk, menampar suaminya atau memarahi suaminya?

 

Namun, Ibu Hajar tidak begitu. Melihat suaminya seperti itu, dia bertanya: “Wahai Ibrahim, ke mana engkau hendak pergi. Engkau tinggalkan kami di lembah yang tidak ada tumbuh-tumbuhan dan tidak ada sesuatu apa pun di dalamnya?”

 

Ibrahim tidak memberi jawapan.  Beliau berjalan meninggalkan isteri dan anaknya.  Si isteri terus mengekorinya sambil bertanya dengan pertanyaan yang sama.  Namun, sekali lagi Ibrahim tidak menjawab. Diam. Diulang beberapa kali, sikap Ibrahim AS masih sama.  Kemudian Ibu Hajar bertanya dengan soalan yang berbeza, “Wahai Ibrahim, adakah Allah SWT memerintahkan hal ini kepadamu?”  Beliau AS segera menjawab, “Na’am (Iya).”

 

Mendengar jawapan dari suami tercinta, Ibu Hajar menjawab dengan berkata: “Idzan, laa yudhayyi’unaa (Kalau begitu, Dia tidak akan mensia-siakan kita)”

 

Jelas dilihat betapa kuatnya keimanan mereka. Sesungguhnya, ketaatan yang begitu indah adalah buah daripada keimanan. Ibrahim dan isterinya memiliki ketaatan yang mutlak kepada Allah SWT.  Apa sahaja perintah Allah, Nabi Ibrahim AS dan isterinya bersedia melaksanakannya, walaupun mungkin sekali perintah itu kelihatan tidak masuk akal. Selain itu, Nabi Ibrahim AS percaya, apa jua perintah yang datang dari Allah pasti akan memberi kebaikan dalam kehidupannya.

 

Apakah faktor yang menjadikan mereka seperti itu? Terdapat sekurangnya 2 faktor.

 

Pertama, keyakinan bahawa Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-Nya. “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri. Barang siapa yang mengerjakan perbuatan jahat maka (dosanya) untuk dirinya sendiri. Rabb-mu tidak sesekali menganiaya hamba-hamba-Nya.” Begitulah firman Allah SWT dalam Surah Fushilat ayat 46.

 

Kedua, keyakinan bahawa Allah tidak akan mensia-siakan hamba yang taat kepada-Nya. Mereka percaya bahawa sesiapa yang taat kepada syariah Allah SWT akan mendapat keberkatan.

 

Jadi, pelajaran dari hijrah Nabi Ibrahim AS, kita mestilah mewujudkan keimanan kita dalam bentuk ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT.

 

*Diterjemah dan diolah dari artikel asal

 

WalLaahu a’lam.

 

Sumber: Alwaie

 

#Muhasabah #DariNabiIbrahimAS

Exit mobile version