[Kenyataan Media] Entiti Yahudi Berhak Wujud dan Mempertahankan Dirinya?! Satu Sahaja Nasihat Kami Wahai Perdana Menteri – Bertaubatlah!
Semasa ditemuramah oleh Cable News Network (CNN) pada 14/11/2024 mengenai isu Palestin, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengkritik sikap Barat yang mendukung entiti Yahudi. Walaupun Anwar dilihat agak berhati-hati dalam menjawab soalan, namun, apabila terus diasak dan ditanya dengan dua soalan memimpin (leading question) oleh si penemuramah, Richard Quest, Perdana Menteri Malaysia itu akhirnya menyerlahkan pendiriannya yang sebenar. Quest bertanya, “Tetapi adakah anda terima hak Israel untuk wujud?” Anwar menjawab, “Ya”, dan kepada soalan seterusnya, “Dan (adakah anda terima) hak Israel untuk mempertahankan dirinya?” Anwar juga menjawab, “Ya”. Kedua-dua jawapan Anwar ini telah mengundang kontroversi sehingga beliau telah dikecam oleh banyak pihak kerana dikatakan menyalahi pendirian Malaysia terhadap isu Palestin selama ini.
Susulan itu, Anwar cuba memperjelaskan jawapannya, “Apa yang perlu difahami adalah, kita tidak mengiktiraf Israel dari segi hubungan diplomatik dan tidak mengizinkan mereka untuk menjalankan perdagangan atau aktiviti rasmi di Malaysia,” kata Anwar dalam satu sidang media bersama wartawan Malaysia selepas Sidang Kemuncak APEC di Lima, Peru. “Dalam konteks sistem antarabangsa, ada yang menyebutkan de facto dan ada mengatakan de jure. Israel wujud sebagai sebuah negara di dalam konteks keanggotaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun kita tetap menolak pengiktirafan rasmi terhadap negara tersebut,” tegas beliau. Kemudian dengan nada emosi. Anwar mengecam pengkritiknya dalam isu ini yang didakwanya sebagai sengaja membangkitkan isu ini untuk kepentingan politik sempit dan cuba memperbodohkan rakyat.
Wahai Perdana Menteri! Sesungguhnya jawapan anda kepada CNN itu sangat jelas, dan tidak ada kekaburan sedikit pun di dalamnya. Percubaan anda untuk memperjelaskan lagi jawapan anda, hanya semakin menyerlahkan wajah sebenar anda. Dengan menggunakan istilah “pengiktirafan diplomatik” dan/atau “pengiktirafan rasmi”, secara tak langsung, anda sebenarnya telah mengiktiraf kewujudan entiti Yahudi – sebuah entiti haram dan penjenayah – di tanah kaum Muslimin. Jika anda memiliki sedikit keberanian dan berpegang pada hukum syarak, sudah pasti anda tidak akan mengeyakan kedua-dua soalan oleh wartawan CNN itu, dan menjawab dengan tegas bahawa Palestin adalah tanah milik umat Islam, manakala kaum Yahudi adalah penjajah, perampas, pengganas dan pembunuh, dan mereka mesti keluar daripada tanah Palestin segera. Inilah jawapan yang selari dengan Islam, jika pun anda tidak berani untuk mengeluarkan perkataan “jihad” ke atas entiti Yahudi, sebagai solusi untuk masalah Palestin.
Wahai Perdana Menteri! Sesungguhnya kami tidak terkejut pun dengan pendirian anda bahawa entiti Yahudi berhak wujud, kerana anda sememangnya menyokong penyelesaian dua-negara tajaan Amerika, sebuah penyelesaian yang mengiktiraf kewujudan entiti Yahudi di tanah Palestin. Inilah pendirian anda sejak dulu yang tidak pernah berubah, dan termasuk pendirian Perdana Menteri-Perdana Menteri Malaysia sebelum anda, sebuah pendirian yang jelas lagi nyata merupakan pengkhianatan ke atas Palestin, kerana memberikan hak kepada entiti haram Yahudi untuk wujud sebagai sebuah negara di atas tanah milik umat Islam!
Seperkara lagi wahai Perdana Menteri, anda cuba menjelaskan soalan pertama oleh CNN kerana mungkin anda merasa boleh “pusing” dan mengambil semula hati rakyat dengannya. Bagaimana pun, anda ternyata tidak memperjelaskan soalan kedua, yakni apakah maksud anda bahawa entiti Yahudi berhak mempertahankan dirinya? Kami yakin bahawa anda sebenarnya sudah tidak punya penjelasan untuk jawapan tersebut, dan jika anda cuba juga untuk menjelaskannya, maka, ia akan memakan diri anda sendiri. Kami ingin bertanya anda wahai Perdana Menteri Malaysia – Adakah si penjajah berhak mempertahankan diri mereka daripada serangan orang yang dijajah, ketika orang yang dijajah melawan untuk menghalau mereka dari tanah jajahan? Jika demikianlah pendirian anda terhadap Palestin, bermakna anda juga perlu mengakui penjajahan Belanda, British dan Jepun ke atas Tanah Melayu dan hak si penjajah untuk mempertahankan diri daripada serangan orang-orang Melayu yang berusaha menghalau mereka! Pendirian anda ini juga bermaksud yang anda telah mengiktiraf secara tak langsung segala pembunuhan dan kejahatan yang telah dilakukan oleh Belanda, British dan Jepun dalam rangka “mempertahankan diri” mereka daripada perlawanan penduduk tempatan!
Nampaknya anda sudah masuk ke dalam perangkap musuh wahai Perdana Menteri, dan kami tidak pelik dengan anda melihat kepada track record anda selama ini. Seluruh dunia tahu bahawa ungkapan “Israel berhak mempertahankan diri” ini merupakan slogan dan propaganda Yahudi, yang didukung oleh Amerika dan sekutu-sekutunya, untuk menunjukkan yang mereka tidak bersalah apabila membantai umat Islam dan menghancurkan Gaza. Dengan pendirian anda ini, kami ingin bertanya anda dengan sebuah andaian – apakah jika Yahudi datang dan menjajah Malaysia, kemudian membunuh rakyat Malaysia semahunya, dan memusnahkan segala bangunan, hospital, sekolah dan masjid, maka anda akan menyatakan bahawa entiti Yahudi berhak wujud di Malaysia? Dan apakah anda akan bersetuju untuk memberikan sebahagian besar tanah Malaysia kepada Yahudi sebagai penyelesaian dua-negara? Katalah kemudian rakyat Malaysia bangkit menghalau Yahudi, lalu kemudian dilawan balik oleh Yahudi dengan sebuah pembantaian besar-besaran, apakah anda akan menyatakan yang Yahudi berhak untuk mempertahankan dirinya? La haula wa la quwwata illa billah.
Wahai Perdana Menteri Malaysia! Jawapan anda kepada CNN sungguh amat bertentangan dengan jawapan Sultan Abdul Hamid II kepada pengasas Zionis, Theodore Herzl yang ingin membeli sedikit tanah Palestin dengan sanggup melunasi hutang Daulah Khilafah. Sang Khalifah tidak memberi muka sedikit pun kepada Yahudi, apatah lagi untuk memberi tanah Palestin kepada kaum terlaknat itu. Beliau berkata dengan berani, tegas dan tidak berlapik bahawa, “Aku tidak akan melepaskan satu inci pun tanah Palestin, kerana ia bukan milikku, tetapi ia adalah milik umat Islam. Bangsaku telah berjuang untuk tanah ini dan menyiraminya dengan darah-darah mereka…Silakan kaum Yahudi menyimpan jutaan wang mereka, kerana jika Daulah Khilafah hancur suatu hari nanti. maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa apa-apa bayaran, tetapi selagi aku masih hidup, hal ini tidak akan berlaku…”
Wahai Perdana Menteri Malaysia! Kami ingin tegaskan bahawa kewujudan entiti Yahudi, baik secara rasmi atau tidak, adalah haram di sisi Islam, kerana ia wujud di tanah kaum Muslimin yang ia rampas. Begitu juga dengan penyelesaian dua-negara yang anda terima dari Amerika itu, sama sahaja haramnya, kerana ia mengiktiraf entiti Yahudi sebagai sebuah negara yang sah di atas tanah yang ia rampas dari kaum Muslimin. Tanah Palestin adalah milik umat Islam seluruhnya, yang haram untuk diserahkan, walau hanya secebis, kepada musuh.
Kaum Yahudi adalah kafir harbi fi’lan (kaum kafir yang sedang berperang dengan umat Islam), yang satu-satunya respons yang selayaknya untuk mereka ialah perang! Dengan jawapan anda yang menyalahi syarak, dan sungguh memalukan itu, tiada lain nasihat kami buat anda wahai Perdana Menteri, kecuali bertaubatlah, dan ambillah tindakan yang benar untuk Palestin. Sebagai seorang Perdana Menteri, kewajipan anda dan rakan-rakan sejawat anda yang Muslim di seluruh dunia ialah menggerakkan tentera untuk menghapuskan entiti haram dan penjenayah tersebut, bukannya mengiktiraf kewujudan atau hak mereka untuk mempertahankan diri, apatah lagi menjadi “iron dome” mereka.
Abdul Hakim Othman
Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia
Sumber: mykhilafah

