Site icon MuslimahHTM News

SUNGGUH BERAT PERTANGGUNGJAWABAN PEMIMPIN DI AKHIRAT

SUNGGUH BERAT PERTANGGUNGJAWABAN PEMIMPIN DI AKHIRAT

Kekuasaan adalah untuk Berkhidmat kepada Islam dan Kemaslahatan Umat

 

Dalam Islam, kepimpinan atau kekuasaan memang sangat penting. Begitu pentingnya, Allah SWT mengajarkan kepada Rasulullah SAW satu doa agar beliau diberi kekuasaan. Sudah tentu, bukan sebarang kuasa, tetapi kuasa yang boleh digunakan untuk membantu agama-Nya. Demikian, sebagaimana firman Allah SWT:

 

وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِى مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِى مُخْرَجَ صِدْقٍ وَٱجْعَل لِّى مِن لَّدُنكَ سُلْطَٰنًا نَّصِيرًا

“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku” [TMQ al-Israa’ (17): 80]

 

Berkaitan dengan ayat di atas, Imam Ibnu Katsir rahimahulLâh, dengan mengutip Qatadah RA, menyatakan:

 

“Sungguh Nabi Muhammad SAW menyedari bahawa beliau tidak ada daya/kekuatan untuk menegakkan agama ini (Islam), kecuali dengan kekuasaan. Kerana itulah beliau memohon kepada Allah kekuasaan yang dapat menolong Kitabullah (al-Quran), melaksanakan hudûd Allah, menunaikan berbagai kewajipan dari Allah dan menegakkan agama Allah (Islam). Sungguh kekuasaan adalah rahmat yang Allah berikan kepada para hamba-Nya. Andai bukan kerana kekuasaan tersebut, masyarakat boleh saling menyerang (menzalimi) satu sama lain sehingga pihak yang kuat dapat memangsai pihak yang lemah.” (Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, 5/111).

 

Dari penjelasan Imam Ibnu Katsir tersebut dapat disimpulkan bahawa ada dua fungsi kekuasaan yang utama:

 

Pertama, untuk menegakkan agama Islam. Inilah yang sekaligus menjadi motif utama Rasulullah SAW untuk berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuasaan. Faktanya, ketika pada akhirnya Rasulullah SAW benar-benar menjadi penguasa (ketua negara) Daulah Islam di Madinah, kekuasaan beliau benar-benar diorientasikan untuk menegakkan Islam dan menyebarluaskan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia.

 

Kedua, menjaga pelbagai hal ehwal dan kepentingan masyarakat. Sudah tentu menggunakan syariah Islam. Ini juga yang diamalkan oleh Rasulullah SAW sebagai pemerintah (ketua negara). Dengan ini, semua rakyat (Muslim dan non-Muslim) dijaga dan dilindungi dengan baik.Tidak ada yang berani saling menzalimi. Tidak ada pihak yang kuat memangsai pihak yang lemah.

 

Dengan demikian, dalam pandangan Islam, kekuasaan tidak bermakna jika tidak digunakan untuk menegakkan Islam dan menyebarluaskan dakwah Islam. Tidak ada ertinya juga kekuasaan jika tidak digunakan untuk mengurus pelbagai urusan dan kepentingan rakyat mengikut syariat Islam.

 

Kerana itu dalam Islam, pemimpin mestilah orang yang adil dan amanah. Begitu juga pembantunya. Mereka mestilah orang yang boleh dipercayai dan mempunyai kelayakan yang sesuai dengan tugas mereka. Sebab itu mereka dilantik bukan kerana faktor transaksi. Bukan juga kerana faktor kedekatan atau persaudaraan. Ini kerana Allah SWT telah menegaskan bahawa amanah hendaklah diberikan kepada ahlinya:

 

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)” [TMQ an-Nisaâ’ (4): 58]

 

Tugas kenegaraan juga sepatutnya diberikan kepada orang yang memiliki karakter dan berakhlak. Salah satunya adalah kejujuran. Nabi SAW menegaskan bahawa kejujuran akan membuahkan kebaikan. Sebaliknya, kedustaan akan menghasilkan kejahatan. Beliau bersabda:

 

عَلَيْكُمْ بِالصِّدْقِ فَإِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ…وَإِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّار…

“Bersikap jujurlah kalian, kerana kejujuran membawa kebaikan, dan kebaikan membawa (pelakunya) ke syurga… Jauhilah oleh kalian dusta, kerana kedustaan menghantarkan pada kejahatan dan kejahatan menghantarkan (pelakunya) ke neraka…” (HR Muslim).

 

Selain itu, Islam juga menekankan pentingnya sistem yang baik untuk menjalankan kekuasaan. Sistem yang baik merujuk pada sistem pemerintahan yang berlandaskan akidah dan syariat Islam. Bukan yang bersandarkan pada akidah dan sistem sekular sebagaimana saat ini.

 

Allah SWT menegaskan bahawa hanya sistem hukum-Nya yang baik yang wajib diambil dan diterapkan. Sebaliknya, sistem hukum jahiliah wajib ditolak dan ditinggalkan. Allah SWT berfirman:

أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمًا لِّقَوۡمٍ يُوقِنُونَ

“Adakah hukum jahiliah yang mereka mahukan? (Hukum) siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang meyakini (agamanya).” [TMQ al-Maaidah (5): 50]

 

Pertanggungjawaban Berat di Akhirat

 

Dalam Islam, amanah kepemimpinan sejatinya merupakan sesuatu yang sangat menakutkan. Ini kerana, selain perlu bertanggungjawab kepada rakyat di dunia, seorang pemimpin juga akan dipertanggungjawabkan kepimpinannya kelak di akhirat di hadapan Allah SWT. Kerana itu dalam Islam, mereka yang diberi amanah dan tugas kepimpinan mestilah mereka yang sentiasa menyedari akan beratnya pertanggungjawaban atas kepimpinan mereka itu di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Kesedaran ini menjadi sangat penting. Sebab, jika mereka takut hanya kepada Allah, maka amanah kepimpinan akan mereka jalankan sebaik mungkin dan tidak mungkin mereka selewengkan. Berbagai bentuk penyalahgunaan kekuasaan dan jawatan yang marak terjadi saat ini tidak lain kerana para pemangkunya seolah tidak memiliki rasa takut kepada Allah SWT akan pertanggungjawaban mereka di hadapan-Nya kelak. Sedangkan Rasulullah SAW telah menegaskan:

 

إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الْإِمَارَةِ، وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Sungguh kalian akan bercita-cita terhadap kekuasaan. Sedangkan kekuasaan itu boleh berubah menjadi penyesalan pada Hari Kiamat kelak.” (HR al-Bukhari)

 

Kerana itulah pada masa lalu, sepanjang era Kekhilafahan Islam, tak sedikit yang enggan dipilih dan dibaiat menjadi khalifah. Walaupun pada akhirnya umat atau rakyat tetap memilih dan membaiat mereka sebagai khalifah, mereka akan sangat terbeban dengan berat amanat yang dipikul. Mereka juga amat bimbang akan pertanggungjawaban kepimpinan mereka di akhirat kelak di hadapan Allah SWT. Sedangkan mereka adalah orang yang soleh, adil dan amanah. Di antara mereka bahkan termasuk para Sahabat Rasulullah SAW yang terbaik. Mereka juga menjalankan sistem pemerintahan Islam yang berteraskan akidah Islam dan hanya menerapkan syariah Islam dalam menjalankan pemerintahan mereka. Namun, mereka masih sangat risau. Khalifah Umar bin al-Khattab RA, contohnya, pernah dengan cemas berkata:

 

لَوْ مَاتَتْ شَاةٌ عَلَى شَطْءِ الْفُرَاتِ ضَائِعَةً لَظَنَنْتُ أَنَّ اللهَ عَزَّ وَ جَلَّ سَائِلِيْ عَنْهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Sungguh, andai ada seekor kambing biri-biri mati dalam keadaan terbuang di tepi Sungai Eufrat (di Iraq), aku sangat bimbang jika Allah ‘Azza wa Jalla akan meminta pertanggungjawaban diriku atas hal itu pada Hari Kiamat kelak.” (Abu Nu’aim al-Ashbahani, Hilyah al-Awliyâ’, 1/53)

 

Sebelum itu, Abu Bakar ash-Siddiq RA pernah berkata sejurus beliau dibaiat sebagai khalifah, kerana bimbang jika menyimpang dalam menjalankan pemerintahannya:

 

قَدْ وُلِّيْتُ عَلَيْكُمْ وَ لَسْتُ بِخَيْرِكُمْ. فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِيْنُوْنِي، وَ إِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُوْنِي

“Sungguh aku telah diangkat menjadi pemimpin kalian. Sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik di antara kalian. Kerana itu jika aku berbuat baik, bantulah aku. Jika aku berbuat salah, luruskanlah aku.”  (Lihat: Ibnu Katsir, Al-Bidâyah wa an-Nihâyah, 5/248; Ibnu Badis, Âtsar Ibni Bâdîs, 2/401)

 

Pada era setelahnya, Umar bin Abdul Aziz RA, saat menjadi khalifah, juga pernah berdoa dengan penuh kebimbangan, “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari memikul tugas yang tidak sanggup aku pikul ini, atau aku diserahi urusan ini, lalu aku mensia-siakannya.” (Ibn al-Jauzi, Shifat as-Shafwah, 2/92).

 

Demikianlah, betapa besar kebimbangan para pemimpin Islam atau para khalifah pada masa lalu atas amanah kepimpinan dan pertanggungjawabannya di hadapan Allah SWT kelak di akhirat. Tidak hairanlah jika mereka benar-benar menjalankan amanah kepimpinan mereka dengan sebaik-baiknya. Tentu saja agar kekuasaan atau kepimpinan yang mereka terapkan di dunia ini tidak berubah menjadi penyesalan di akhirat kelak. Bagaimana dengan para pemimpin saat ini?!

 

WalLâhu a’lam bi ash-sawâb.

 

—*—

Hikmah :

Rasulullah SAW bersabda:

فَاْلإِمَامُ رَاعٍ وَ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Seorang imam (ketua negara) adalah pengurus rakyat dan dia akan dimintai pertanggungjawaban atas yang rakyat yang dia urus.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

 

Sumber: Buletin Islam Kaffah

Exit mobile version