Site icon MuslimahHTM News

Dua Tahun Pemerintahan Tanpa Penerapan Islam: Amanah yang Dilalaikan

[Kenyataan Media] Dua Tahun Pemerintahan Tanpa Penerapan Islam: Amanah yang Dilalaikan

Sempena genap dua tahun pemerintahannya, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah, pada 23-24 November 2024, menganjurkan Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Program tersebut menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi, dengan lebih 30 reruai yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan produk kepada orang ramai. Banyak portal melaporkan kejayaan program tersebut, dengan kehadiran lebih 200,000 pengunjung. Di samping itu, Anwar turut mengadakan sesi townhall dan bercakap dengan cukup bangga dengan memperbesar-besarkan pencapaian dan inisiatif kerajaan Madani, dan dalam masa yang sama menggunakan platform tersebut untuk membalas kritikan yang dilontarkan banyak pihak terhadapnya kebelakangan ini terutama mengenai wawancara kontroversinya dengan CNN mengenai kewujudan entiti Yahudi, dan juga isu perbelanjaan perjalanan beliau dan rombongannya ke luar negara yang ditaja oleh syarikat swasta.

Wahai Perdana Menteri Malaysia! Sebesar mana sekalipun anda bercakap mengenai pencapaian anda, sesungguhnya rakyat tahu sejauh manakah kebenarannya, yang dialami sendiri oleh rakyat sejak dua tahun lepas. Selama lebih 20 tahun perjuangan reformasi anda untuk menuju takhta, anda telah menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat, yang kerana janji-janji itulah rakyat telah memilih anda. Namun, setelah dua tahun bertakhta, rakyat semakin mengenali siapakah anda dan janji-janji anda.

Justeru, sempena dua tahun pemerintahan anda, kami dengan ini mengingatkan anda bahawa kerusi yang anda duduki pada hari ini merupakan amanah dari Allah (swt). Dialah yang telah meletakkan anda di situ, dan sudah pasti ada sebabnya. Sebabnya ialah untuk anda menerapkan hukum-hukum-Nya secara kaffah dan menyebarluaskan agama-Nya ke seluruh alam. Anda wajib mencampakkan sistem demokrasi warisan kafir penjajah, dan menggantikannya dengan sistem Khilafah warisan Rasulullah (saw). Inilah amanah penting yang Allah (swt) letakkan di bahu anda sebagai orang yang paling berkuasa di Malaysia. Dengan kesanggupan anda menjadi Perdana Menteri, maka anda sesungguhnya telah sanggup untuk memikul amanah berat ini, yang mana langit, bumi dan gunung-gunung pun tidak sanggup untuk memikulnya, sebagaimana firman-Nya:

﴿ إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh” [Al-Ahzab (33): 72].

Wahai Perdana Menteri Malaysia! Sungguh malang apabila anda nampaknya tidak sedar dan tidak berfikir kenapa dan untuk apa Allah (swt) meletakkan anda di situ. Sesungguhnya Dia telah memberi kesempatan kepada anda untuk meraih kemuliaan atau kehinaan. Apabila anda memilih untuk menunaikan amanah dengan menerapkan keseluruhan hukum-Nya, maka kemuliaan menjadi milik anda, dan berbahagialah anda di dunia dan akhirat. Namun, apabila anda memilih untuk mengkhianati amanah tersebut, maka kehinaan dan kesengsaraan akan menimpa anda di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya pilihan ada di tangan anda. Seiring dengan amanah tersebut, Allah (swt) mengingatkan dan mengancam anda sekiranya anda tidak menunaikannya, anda akan termasuk dalam golongan yang fasiq (5:47), zalim (5:45) dan kafir (5:44), jika disertai i’tiqad.

Wahai Perdana Menteri Malaysia! Di saat anda masih diberi peluang menghirup udara Allah (swt) di atas kerusi empuk anda, fikirkanlah selama dua tahun pemerintahan anda sama ada anda telah menunaikan amanah itu atau anda sedang mengkhianatinya? Kami yakin anda mengetahui jawapannya, yang mana kami juga mengetahui jawapannya. Di saat anda berbangga dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencantikkan imej pemerintahan anda di mata rakyat, padahal itu semua tidaklah penting, anda seharusnya bertanya diri sendiri sejauh manakah anda telah berusaha untuk mencantikkan imej pemerintahan anda di mata Allah (swt)? Ingatlah, bahawa kekuasaan anda ini tidak lama untuk dirugikan dengan sebuah pengkhianatan terhadap amanah yang Dia (swt) letakkan di bahu anda. Sejarah telah menunjukkan bagaimana Allah (swt) merentap dengan sekelip mata kekuasaan orang-orang yang berkuasa, sebesar mana sekalipun kekuasaan mereka, dan sebesar mana sekalipun kezaliman mereka. Dalam kalangan mereka ada yang telah pun dipanggil oleh Rabb mereka, dan ada yang sedang menunggu giliran, dengan membawa dosa yang sangat besar akibat pengkhianatan mereka dalam menunaikan amanah.

Di saat para penyokong anda memuji dan mendukung serta berbangga dengan anda, yang mana anda tidak seharusnya termakan dengan semua itu, kerana ia tidak akan menjadikan anda lebih baik di mata Allah (swt) dengannya, kami dengan ini mengingatkan anda bahawa apa yang dapat menyelamatkan anda di akhirat kelak ialah penunaian terhadap amanah anda – sebuah amanah yang kami lihat telah anda abaikan selama dua tahun – iaitu menegakkan hukum-hukum Allah (swt) secara kaffah! Kami memberikan peringatan ini kepada anda agar kami memiliki hujah di hadapan Allah (swt) kelak terhadap anda, dan agar hidup anda tidak berakhir dengan penyesalan, sebagaimana pesan Rasulullah (saw) bahawa kekuasaan itu akan menjadi kehinaan dan penyesalan ke atas mereka yang gagal menunaikan amanahnya.

Wahai Perdana Menteri Malaysia! Sudah berlalu ramai Perdana Menteri dan banyak parti politik yang berkuasa sebelum anda, namun tidak ada satu pun yang menunaikan amanah kekuasaan yang Allah (swt) letakkan di atas bahu mereka. Malah, keseluruhan dunia Islam pada hari ini sedang dipimpin oleh para penguasa yang bukan sahaja mengkhianati amanah, tetapi sebahagian mereka melakukan kezaliman demi kezaliman ke atas rakyat mereka yang menyeru mereka untuk menegakkan agama Allah (swt).

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya kalian mengenali penguasa kalian, dan kalian mengetahui bahawa mereka termasuk dalam kalangan yang menunaikan amanah atau yang mengkhianatinya. Semoga kalian tidak termasuk dalam kalangan mereka yang mendukung para penguasa yang khianat. Ayuh bersama dengan pihak yang sedang berjuang untuk meletakkan amanah ini kepada ahlinya – seorang Khalifah yang akan menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah, yang mempersatukan kalian di bawah satu payung pemerintahan, yang akan mengalahkan musuh-musuh kalian, membebaskan wilayah-wilayah Islam yang terjajah, membuka (futuhat) wilayah-wilayah baru dan seterusnya menghiasi bumi dengan cahaya Allah (swt). Sesungguhnya semua itu telah terealisasi suatu waktu dahulu di bawah pemerintahan Khilafah, dan ia akan terealisasi buat kali yang kedua dalam masa yang terdekat insya Allah dengan kembali tegaknya pemerintahan Khilafah di atas jalan kenabian, yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia.

Abdul Hakim Othman

Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia

Exit mobile version