Hijrah Membina Negara Adidaya Baru Khilafah Islamiyah
Oleh: Wahyudi Ibnu Yusuf
Secara literal, kata al-hijrah merupakan isim (kata nama) dari fi’il (kata kerja) hajara, yang bermaksud dhidd al-washl (lawan dari tetap atau sama). Jika dinyatakan “al-muhaajirah min ardh ilaa ardh” (berhijrah dari satu negeri ke negeri lain). Maksudnya, ialah “tark al-uulaa li ats-tsaaniyyah” (meninggalkan negeri pertama menuju ke negeri yang kedua) (Imam ar-Razi, Mukhtaar ash-Shihaah, hlm. 690; Imam al-Qurthubi, Tafsiir al-Qurthubi, 3/48).
Masih menurut bahasa, al-hijrah bermakna al-intiqâl (berpindah) dari satu tempat atau keadaan ke tempat atau keadaan lain. Tujuannya adalah meninggalkan yang pertama menuju yang kedua. M. Ali bin Nayif asy-Syahud menyatakan:
اَلْهِجْرَةُ لُغَةً الإِنْتِقَالُ وَالْخُرُوْجُ مِنْ أَرْضِ إِلَى أَرْضٍ
Hijrah secara bahasa ertinya adalah berpindah atau keluar dari satu tempat ke tempat lain (M. Ali bin Nayif Asy-Syahud, Al-Mufashshal fii Ahkaam al-Hijrah, hlm. 14).
Hijrah adalah istilah syarie. Para ulama telah merumuskan definisinya. Imam ash-Shan’ani, Imam Asy-Syaukani dan Imam an-Nawawi dengan merujuk takriif yang dirumuskan oleh Ibnu al-‘Arabi menyatakan:
الْهِجْرَةُ هِيَ الْخُرُوجُ مِنْ دَارِ الْحَرْبِ إلَى دَارِ الْإِسْلَامِ
Hijrah adalah meninggalkan dar al-harb (harb bermakna peranang, istilah lain dari dar al-kufur), lalu berpindah menuju Dar al-Islam (Ash-Shan’ani, Subul as-Salaam, 6/128; Asy-Syaukani, Nayl al-Awthaar, 12/270; An-Nawawi, Al-Majmuu’ Syarh al-Muhadzdzab, 19/264).
Definisi yang sama, hanya istilah berbeza dinyatakan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani:
اَلْهِجْرَةُ هَيَ الْخُرُوْجُ مِنْ دَارِ الْكُفْرِ إِلَى دَارِ اْلإِسْلاَمِ
Hijrah adalah meninggalkan dar al-kufr (negara kufur) menuju Dar al-Islam (negara Islam) (An-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, II/276).
Darul Islam dalam definisi ini adalah suatu wilayah (negara) yang menerapkan syariah Islam dan keamanannya berada di bawah kendali umat Islam. Sebaliknya, darul kufur adalah negara yang tidak menerapkan syariah Islam atau keselamatannya tidak di tangan umat Islam, walaupun majoriti penduduknya beragama Islam (Muqaddimah Dustur, Pasal 2, 1/10-16). Definisi hijrah sebegini diambil dari fakta hijrah Nabi SAW dari Mekah (yang ketika itu merupakan Darul Kufur) ke Madinah (yang kemudian menjadi Darul Islam).
Peristiwa hijrah, sekurang-kurangnya memberikan makna sebagai berikut: Pertama, pemisah antara kebenaran dan kebatilan; antara Islam dan kekufuran; serta antara Darul Islam dan Darul Kufur. Umar bin al-Khattab ra. menyatakan, “Hijrah itu memisahkan antara kebenaran dan kebatilan.”
Kedua, tonggak penubuhan Daulah Islamiyah untuk kali pertama. Dalam hal ini, para ulama dan sejarawan Islam telah bersepakat bahawa Madinah setelah hijrah Nabi SAW telah berubah dari hanya sebuah bandar kepada sebuah negara Islam. Malah struktur negara Islam ini, menurut sarjana Barat, Robert N. Bellah, terlalu moden untuk zamannya. Ketika itu Muhammad Rasulullah SAW sendiri yang berkhidmat sebagai ketua negara.
Hijrah Hakiki: Penerapan Sistem Islam Kaffah (Total)
Ketika para sahabat Nabi SAW berbincang mengenai bila kalendar Islam bermula. Saidina Umar bin al-Khattab ra. selaku khalifah mencadangkan hijrah sebagai awal tahun dalam Islam. Beliau mengatakan hujahnya:
اَلْهِجْرَةُ فَرَّقَتْ بَيْنَ الْحَقِّ وَالْبَاطِلِ فَأَرِّخُوا بِهَا
Hijrah itu memisahkan antara kebenaran dan kebatilan. Kerana itu jadikanlah hijrah sebagai tonggak sejarah kalendar Islam (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bâri Syarh Shahiih al-Bukhaari, 11/264).
Hijrah pada zaman Nabi SAW adalah perubahan sistemik dalam semua aspek. Amalan ibadah yang sebelumnya dilakukan secara rahsia, selepas hijrah, ia boleh dilakukan secara terbuka di Madinah. Dari segi sosial, amalan menanam bayi hidup-hidup, amalan perkahwinan yang tidak mengikut syariat, setelah hijrah, ia tidak berlaku lagi. Dari segi ekonomi, amalan riba, menipu dalam timbangan dan sukatan diganti dengan sistem ekonomi Islam. Sistem perundangan yang berat sebelah diganti dengan sistem perundangan dan sistem hukuman Islam. Antara prinsipnya ialah persamaan di hadapan undang-undang (equality before the law). Sejak hijrah, dakwah dilaksanakan secara langsung oleh Negara (Daulah). Negara baru yang dibina oleh Rasulullah SAW ini menegakkan hukum-hukum syariah di dalam negeri. Negara Islam menerapkan politik luar negara yang asasnya adalah penyebaran Islam dengan metod dakwah dan jihad. Kemuncaknya pada tahun ke-8 hijrah, Mekah yang sebelumnya berstatus Darul Kufur (darul harb) berubah status menjadi Darul Islam. Darul Islam tidak terpisah dengan Madinah, tetapi menjadi salah satu wilayah (provinsi) dari Daulah Islam yang berpusat di Madinah. Sejak itu tidak ada lagi hijrah dalam istilah syarie dari Mekah ke Madinah. Sebab, Mekah telah mengemas kini statusnya menjadi Darul Islam. Dalam konteks inilah Nabi SAW kita mengatakan:
لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ
”Tidak ada hijrah selepas pembebasan (Mekah), tetapi jihad dan niat (tetap akan ada”. (HR al-Bukhari dan Muslim).
Sejak Fathu Mekah, entiti yang menjaga kemusyrikan telah jatuh. Tatkala penghalang fizikal ini telah jatuh, lenyap pula rasa takut dari suku-suku Arab. Ini adalah pada tahun ke-9 hijrah sebagai ‘aam al-wufuud, yakni tahun kunjungan suku-suku Arab ke pusat Negara Islam di Madinah untuk menyatakan keislaman mereka. Mereka masuk Islam bukan secara individu, tetapi beramai-ramai.
Jika kita renungkan hijrah Nabi SAW pada masa sekarang, jelas sekali diperlukan hijrah sistemik. Seperti rumah. Rumah peradaban kapitalisme-demokrasi adalah rumah yang usang. Rumah yang senget dan hendak roboh. Tidak cukup pengubahsuaian pada titik-titik tertentu. Bangunan peradaban yang rapuh ini mesti dibongkar dari asasnya. Kemudian dibina rumah peradaban yang baru. Kapitalisme-sekular yang prinsipnya menghapuskan peranan Allah pada ruang publik dan bernegara mesti diubah dengan akidah Islam yang memaparkan peranan Allah dalam semua aspek kehidupan. Sistem ekonomi kapitalisme hanya menguntungkan para kapitalis yang menyeleweng dengan penguasa. Ini bermakna, kita berhijrah kepada sistem Islam yang menjamin kesejahteraan dan kesaksamaan ekonomi. Sistem demokrasi mengambil hak Allah SWT sebagai Al-Hâkim (Pembuat hukum) dan menjadikan manusia sebagai tuhan selain Allah. Ini mesti diubah menjadi sistem politik yang mengembalikan as-siyâdah (kedaulatan) hanya kepada Allah semata-mata. Sistem sosiobudaya hedonis (serba boleh) mesti diubahkan menjadi sistem sosial yang mempunyai standard halal-haram dengan tujuan mencapai redha Allah. Ringkasnya, hijrah hakiki adalah hijrah secara total dengan menerapkan sistem Islam secara kaffah (total) dan berpaling dari segala langkah-langkah syaitan (sistem selain Islam). Allah SWT berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨
”Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kalian.” (TMQ al-Baqarah [2]: 208).
Menurut ‘Ikrimah, ayat ini diturunkan berkaitan dengan pengislaman orang Yahudi seperti Abdullah bin Salam. Mereka masuk Islam, tetapi meminta dispensasi kepada Rasulullah SAW untuk menerapkan sebahagian aturan Taurat. Allah secara langsung menolak permintaan mereka dengan menurunkan firman-Nya. Berkaitan dengan ayat ini Imam Ibnu Katsir menyatakan:
وَالصَّحِيْحُ اْلأَوَّلُ، وَهُوَ أَنَّهُمْ أُمِّرُوْا [كُلُّهُم] أَنْ يَعْمَلُوْا بِجَمِيْعِ شَعْبِ اْلإِيْمَانِ وَشَرَائِعِ اْلإِسْلاَمِ
”Yang benar adalah pendapat pertama, iaitu bahawa mereka diperintahkan (semuanya, tanpa kecuali) untuk mengamalkan semua cabang-cabang iman dan syariah Islam.” (Ibnu Katsi, Tafsiir al-Qur’aan al-‘Azhiim, 1/566).
Berdasarkan huraian di atas, seorang Muslim tidak punya pilihan lain kecuali hijrah secara kaffah; hijrah total kepada sistem Islam dan mencampakkan sistem syaitan (sistem selain Islam).
Hijrah Kaffah dengan Tegaknya Khilafah
Ditinjau dari subjek pelaksanaan syariah Islam, terdapat tiga subjek: individu, kelompok dan negara. Ketiga-tiga subjek ini adalah tiga serangkai yang saling menguatkan antara satu sama lain. Negara yang kuat memerlukan rakyat yang bertakwa. Pegawai negara dalam melaksanakan sistem Islam memerlukan kawalan daripada individu dan kelompok/jemaah yang menjalankan kegiatan politik dengan memuhasabah penguasa. Bagi mewujudkan masyarakat yang bertakwa, sesebuah negara perlu melaksanakan sistem Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Rasulullah SAW berjuang dan berdoa untuk mewujudkan kuasa yang menolong agama (sulthaan[an] nashiiraa) (QS al-Isra’ [17]:80). Jadi siapa kita yang mendakwa bahawa Islam tidak memerlukan negara? Lebih teruk lagi dengan kempen pemisahan agama (Islam) daripada politik dan kuasa. Termasuk dengan menyatakan Khilafah Islamiyah ditolak. Juga beberapa kempen hitam lain menentang Khilafah.
Islam jelas memerlukan kuasa. Tawsiyyah, tarhiib wa targhiib, malah istighaasah kubraa hanya akan berjalan secara optimum jika didukung oleh kuasa. Hukuman bagi orang yang malas solat memerlukan kuasa. Hukuman bagi orang yang sengaja berbuka tanda ‘uzur pada bulan Ramadhan memerlukan kuasa. Hudud bagi orang murtad, pencuri, peminum arak dan pelanggaran lain memerlukan kuasa. Hukum jinayat dalam kes pembunuhan memerlukan kuasa. Ta’ziir bagi pelaku riba memerlukan kuasa. Mengurus sumber alam mengikut syariah memerlukan kuasa. Menyeru jihad untuk membela Muslim Palestin jelas memerlukan kuasa. Mengemban dakwah ke seluruh penjuru dunia jelas memerlukan kuasa. Kuasa yang dimaksudkan ialah Khilafah. Khilafah adalah mahkota kefardhuan (tâj al-furuudh). Banyak kefardhuan yang bergantung kepada mahkota ini. Jika hilang mahkotanya, maka banyak juga kefardhuan hilang.
Khilafah itu fardhu. Ia sebahagian daripada ajaran Islam, yang tidak boleh dinafikan. Imam empat mazhab (Imam Abu Hanifah, Imam Malik bin Anas, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal) bersepakat tentang kewajipan Khilafah/Imamah ini. Abdurrahman al-Jaziri dalam kitabnya, Al-Fiqh a’la al-Madzaahib al-Arba’ah, menyatakan:
اِتَّفَقَ اْلأَئِمَّةُ رَحِمَهُمُ الله تَعَالَى عَلَى أَنّ اْلإِمَامَةَ فَرْضٌ وَأَنَّه لاَ بُدَّ لِلْمُسْلِمِيْنَ مِنْ إِمَامٍ يُقِيْمُ شَعَائِرَ الدِّيْنِ وَيَنْصِفُ الْمَظْلُوْمِيْنَ مِنَ الظَّالِمِيْنَ
Para imam (Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, dan Ahmad) rahimahumullah telah sepakat bahawa Imamah (Khilafah) itu fardhu dan bahawa mesti ada bagi kaum muslim seorang imam (khalifah) yang menegakkan syiar-syiar agama dan membantu orang yang dianiayai oleh orang yang berbuat aniaya.
Bukan sahaja imam mazhab empat. Menurut Imam Ibnu Hazm al Andalusi, seluruh firqah (kecuali sedikit kelompok) telah bersepakat tentang kewajipan menegakkan Imamah/Khilafah. Beliau menyatakan:
اِتَّفَقَ جَمِيْعُ أَهْلِ السُّنَّةِ وَجَمِيْعُ الْمُرْجِئَةِ وَجَمِيْعُ الشِّيْعَةِ وَجَمِيْعُ الْخَوَارِجِ عَلَى وُجُوْبِ اْلإِمَامَةِ، وَأَنَّ اْلأُمَّةَ وَاجِبٌ عَلَيْهَا اْلإِنْقِيَادُ لِإِمَامٍ عَادِلٍ يُقِيْمُ فِيْهِمْ أَحْكَامَ اللهِ، وَيَسُوْسُهُمْ بِأَحْكَامِ الشَّرِيْعَةِ الَّتِيْ جَاءَ بِهَا رَسُوْلُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَاشَا النَّجْدَات، فَإِنَّهُمْ قَالُوْا: لاَ يَلْزَمُ النَّاسُ فَرْضَ اْلإِمَامَةِ
Telah sepakat semua Ahlus Sunnah, semua Murjiah, semua Syiah dan semua Khawarij tentang kewajipan menegakkan Imamah (Khilafah). Wajib bagi umat untuk tunduk pada Imam (Khalifah) yang adil, yang menegakkan hukum-hukum Allah ke atas mereka. Imam (Khalifah) tersebut mengurus umat dengan hukum-hukum syariah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Kecuali kelompok an-Najadat. Mereka menyatakan, “Masyarakat tidak wajib terikat dengan kefardhuan Imamah.” (Abi Muhammad Ali bin Ahmad bin Hazm, Al-Fashlu fii al-Milal wa al-Ahwaa` wa an-Nihal, 4/78. Beirut: Darul Ma’rifah, 1395 H).
Khilafah juga merupakan janji Allah dan berita gembira (bisyaarah) dari Rasulullah SAW. Selepas sistem diktator saat ini (fasa keempat) Khilafah akan kembali tertegak semula mengikuti manhaj kenabian (HR Ahmad).
Wahai umat Islam! Tidakkah kalian melihat genosid yang dilakukan oleh Zionis Yahudi ke atas rakyat Palestin yang disokong oleh Amerika dan negara Barat penjajah serta negara-negara Arab pengekor? Ini adalah salah satu bukti paling jelas bahawa mereka semua adalah penguasa diktator yang kejam. Semakin mereka menunjukkan sikap sebegini, itu adalah petanda bahawa tamadun ini akan segera lahir dari rahim. Itulah negara adikuasa yang akan menghapuskan entiti Yahudi dan pendukungnya. Negara baru itu ialah Khilafah ‘alaa minhaaj an-nubuwwah. Bukankah malam gelap gelita itu adalah menandakan bahawa fajar subuh akan segera terbit?
أَلَيۡسَ ٱلصُّبۡحُ بِقَرِيبٖ ٨١
”Bukankah waktu subuh itu sudah semakin dekat.” (TMQ Hud [11]: 81).
Ya Allah, izinkan kami menyaksikan fajar kemenangan Islam. Kami memohon kepada-Mu agar tegaknya Khilafah ar-Rasyidah dan jadikan kami pejuangnya. Aamiin yâ Mujib a-Sâiiin.
WalLaahu ta’ala a’lam bi ash-shawaab.
Sumber: alwaie

