Bahaya Permainan Syaitan Di sebalik Perjudian
Penulis: Irfan Abu Naveed, M.Pd.I
Salah satu aib dunia di bawah asuhan jahat Kapitalisme Global adalah fenomena merebaknya perjudian dengan segala bentuknya. Ini adalah tanda-tanda tipu daya syaitan yang sudah direncanakan. Seakan-akan memutar jarum jam ke masa sebelum turunnya risalah Islam, di masa Arab Jahiliyyah. Padahal sejak dari awal-awal lagi Allah SWT berfirman dan telah memberi peringatan:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ٩٠
”Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “[TMQ al-Maidah (5): 90].
Perjudian dalam firman Allah SWT ini dikaitkan dengan ragam kemungkaran lain seperti meminum khamar, kesyirikan berkorban untuk berhala dan meramal nasib dengan anak panah. Ini menegaskan betapa buruknya perjudian sebagai sebahagian dari potret masyarakat jahiliyyah.
Lafaz innamâ menjadi penanda, pengkhususan (qashr) dan penegasan (tawkîd) bahawa perjudian termasuk perbuatan syaitan. Ini menunjukkan banyak hal:
Pertama, keharaman qath’ie, tidak ada sebarang perbezaan pendapat.
Kedua, terlaknatnya perbuatan tersebut dan jauh dari keberkahan.
Ketiga, kerugian dunia dan akhirat.
Keempat, perkara sia-sia. Fenomena rumah tangga yang porak-poranda, kehilangan keluarga dan pekerjaan, bahkan kehilangan nyawa dengan cara tercela iaitu bunuh diri, adalah bukti bahawa perjudian mengundang laknat Allah SWT dan kemurkaanNya.
Kalimat rijs[un], menurut Al-Zujaj, adalah suatu nama bagi segala perkara yang kotor dari suatu amal perbuatan. Seseorang dikatakan melakukan rijs jika dia melakukan perbuatan tercela. Ini relevan dengan hakikat perjudian sebagai permainan kotor dan penuh dengan tipudaya. Bagaimana boleh dipercayai? Apalagi judi online yang menggambarkan penipuan belaka. Kalimat min ’amal al-syaithân menyifatkan perjudian sebagai permainan syaitan, maka ia disifatkan sebagai hal yang melenakan, dengan kata lain membuat orang lupa diri serta ketagihan:
ٱسۡتَحۡوَذَ عَلَيۡهِمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَأَنسَىٰهُمۡ ذِكۡرَ ٱللَّهِۚ أُوْلَٰٓئِكَ حِزۡبُ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱلشَّيۡطَٰنِ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ١٩
”Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.” [TMQ al-Mujadalah (58): 19].
Kalimat alâ inna hizb al-syaithân hum al-khâsirûn merupakan informasi yang ditegaskan dengan tiga penegasan sekaligus (al-khabar al-inkârî): huruf alâ, inna dan kata ganti hum (dhamîr al-fashl). Ini menegaskan kerugian bagi mereka yang menjadi golongan syaitan, termasuk mereka yang mengamalkan perbuatan syaitan, seperti perjudian wal ’iyâdzu billâh. Bahkan ancaman dalam ayat ini mengkhususkan mereka yang termasuk golongan syaitan ini adalah golongan yang rugi. Oleh kerana itu, wajar jika Allah SWT memerintahkan kaum Mukmin agar memusuhi syaitan, termasuk memusuhi setiap amal perbuatannya:
إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ لَكُمۡ عَدُوّٞ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّاۚ إِنَّمَا يَدۡعُواْ حِزۡبَهُۥ لِيَكُونُواْ مِنۡ أَصۡحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ ٦
”Sungguh syaitan itu adalah musuh bagi kalian. Kerana itu anggaplah dia musuh kalian. Sungguh syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala” [TMQ Fathir (35): 6].
Kalimat dalam ayat di atas diikuti oleh perintah: fajtanibûhu. Frasa ini, menurut al-’Allamah al-Syeikh Muhammad Ali al-Shabuni dalam Rawâ’i al-Bayân (I/560), lebih kuat (ablagh) daripada lafaz hurrima, kerana ertinya menjauhi dari perkara tersebut sama sekali. Apalagi syaitan menghembuskan permusuhan di antara umat manusia melalui perjudian ini:
إِنَّمَا يُرِيدُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَن يُوقِعَ بَيۡنَكُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ فِي ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِ وَيَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّنتَهُونَ ٩١
”Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”[TMQ al-Maidah (5): 91].
Kerana itulah Islam mewajibkan penguasa memberantas perjudian secara sistemik dan komprehensif mulai dari akar-akarnya, menegakkan hukuman-hukuman bagi para pelaku perjudian dan bookienya, serta mencegah masyarakat dari perjudian dengan menguatkan sistem pendidikan Islam yang kelak akan melahirkan peribadi dan masyarakat yang taat syariah.
Bertaubat dari Perjudian
Kebaikan bagi mereka yang menjauhi perjudian ini Allah SWT turut sebutkan dalam TMQ al-Maidah ayat 90 pada kalimat: la’allakum tuflihûn (mudah-mudahan menjadi orang-orang yang beruntung). Tentu ini mencakup keberuntungan dunia dan akhirat. Lalu diikuti dengan perintahNya agar mentaati Allah SWT dan RasulNya, serta peringatan akan bahaya berpaling dari ajaranNya:
وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَٱحۡذَرُواْۚ فَإِن تَوَلَّيۡتُمۡ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلۡبَلَٰغُ ٱلۡمُبِينُ ٩٢
”Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.” [TMQ al-Maidah (5): 92].
Ketika TMQ al-Maidah (5): 90 turun, para Sahabat lalu berkata: “Kami telah meninggalkan semunya (khamr, dsb), wahai Tuhan kami.”
Lalu orang-orang bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, orang-orang terbunuh di jalan Allah SWT , dan mereka wafat di atas kuda-kuda perang mereka (berjihad). Padahal dulu (pada masa jahiliyyah) mereka meminum khamr, memakan harta hasil perjudian, bahkan Allah SWT menyebut itu sebagai perbuatan kotor dan termasuk perbuatan syaitan?”
Allah SWT lalu menurunkan firmanNya:
لَيۡسَ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ جُنَاحٞ فِيمَا طَعِمُوٓاْ إِذَا مَا ٱتَّقَواْ وَّءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ ثُمَّ ٱتَّقَواْ وَّءَامَنُواْ ثُمَّ ٱتَّقَواْ وَّأَحۡسَنُواْۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ٩٣
“Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” [TMQ al-Maidah (5): 93].
Rasulullah SAW lalu bersabda:
لَوْ حُرِّمَت عَلَيْهِمْ لَتَرَكُوهَا كَمَا تَرَكْتُم
”Kalaulah itu diharamkan atas mereka, maka sungguh mereka akan meninggalkan semuanya sebagaimana kalian meninggalkan itu semuanya” [HR Ahmad].
Masa lalu seseorang ketika terjebak dalam perjudian, wajib dihapus dengan bertaubat. Allah SWT menerima taubat hamba-hambaNya yang sungguh-sungguh sebelum terlambat, sebelum ajal tiba. Ibnu Umar RA menuturkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
إِنَّ الله يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لمْ يُغَرْغِرْ
”Sungguh Allah menerima taubat seorang hamba selama dia belum terbata-bata (menjumpai sakaratul maut)” [HR Ahmad dan at-Tirmidzi].
Ini kerana kembali pada kebenaran lebih baik daripada bodoh dalam kebatilan, Khalifah Umar bin al-Khattab RA dalam atsar-nya berpesan:
إِنَّ مُرَاجَعَة الْحَقِّ خَيْر مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِلِ
”Sungguh kembali pada kebenaran lebih baik daripada bodoh dalam kebatilan.”
Imam Syafie (w. 204 H) dalam Dîwan-nya bersenandung:
إليك إله الخلق أرفع رغبتي *
وإن كنتُ ياذا المنِّ والجود مجرماً
ولَّما قسا قلبي، وضاقت مذاهبي *
جَعَلْتُ الرَّجَا مِنِّي لِعَفْوِكَ سُلّمَا
”Kepada Engkaulah Penyembah utama makhluk, aku ajukan keinginanku
Meskipun diriku, wahai Zat Yang Maha Pemurah nan Dermawan, ialah pelaku keburukan.
Tatkala hatiku mengeras, dan jalan-jalanku menyempit
Aku jadikan pengharapan diriku kepada keampunanMu sebagai tangga keselamatan.”
Wallaahu a’lam.

