Site icon MuslimahHTM News

ENAM PERKARA PEMBUKA PINTU SYURGA

[Nafsiyah] ENAM PERKARA PEMBUKA PINTU SYURGA

Penulis : Arief B. Iskandar

 

Terdapat enam perkara,” kata Imam Ali KW, “yang menjadikan seseorang tidak akan pernah lelah mengejar syurga dan lari agar terhindar daripada azab neraka. Pertama, mengenal Allah SWT. Kedua, mengenal syaitan. Ketiga, mengenal akhirat. Keempat, mengenal dunia. Kelima, mengenal kebenaran. Keenam, mengenal kebatilan.” [An-Nawawi al-Jawi, Nasha’ih al-Ibad, 44-45].

 

Imam an-Nawawi menjelaskan, mengenal Allah bermaksud memahami bahawa Allah SWT adalah Pencipta dan Pemberi rezeki kita, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan kita. Oleh itu, kita hendaklah mentaati Allah SWT dengan mengikuti segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

 

Mengenal syaitan bermaksud memahami bahawa syaitan adalah musuh kita. Oleh itu, kita sentiasa berusaha menentang perintahnya.

 

Mengenal akhirat bermaksud memahami bahawa akhirat adalah negeri yang kekal abadi. Oleh itu, kita sentiasa berusaha merindukan akhirat dengan cara mempersiapkan bekalan untuk kehidupan akhirat nanti.

 

Mengenal dunia bermaksud memahami bahawa dunia adalah negeri yang fana (sementara). Oleh itu, kita hendaklah “menolak” dunia, tidak mengejar dunia (harta), kecuali sekadar untuk bekalan di kehidupan akhirat.

 

Mengenal kebenaran bermaksud memahami perkara-perkara yang benar yang ditunjukkan oleh syariat Islam, kemudian mengamalkannya.

 

Mengenal kebatilan bermaksud memahami perkara-perkara yang salah yang ditunjukkan oleh syariat Islam, kemudian meninggalkannya.

 

Menurut Imam an-Nawawi,

Keenam-enam perkara ini merupakan kunci pembuka pintu-pintu syurga dan penutup pintu-pintu neraka. Pertanyaannya adalah, sudahkah kita benar-benar mengenal dan memahami keenam-enam perkara ini? Jawapannya tentu tidak cukup hanya dengan dakwaan di lisan. Kita mestilah mampu menunjukkan bukti atas dakwaan itu dalam amal perbuatan. Maka, apakah buktinya?

 

Seperti yang dinyatakan di atas, bukti bahawa kita sudah mengenal dan memahami keenam-enam perkara di atas juga ada enam iaitu Pertama, kita sentiasa mentaati Allah SWT. Kedua, kita sentiasa berusaha menentang syaitan, tidak mengikuti perintahnya. Ketiga, kita sentiasa berorientasi ke akhirat dengan bersungguh-sungguh dengan mempersiapkan bekalan untuk kehidupan di akhirat. Keempat, kita tidak dilalaikan oleh kesibukan mengejar dunia (harta), kecuali sekadar untuk bekalan kehidupan akhirat. Kelima, kita sentiasa berusaha mengamalkan kebenaran yang telah kita fahami. Keenam, kita sentiasa berusaha menjauhi perkara-perkara yang diharamkan dan sentiasa berusaha meninggalkan pelbagai kemaksiatan.

 

Wa maa tawfiiqii illaa billaahi ‘alaihi tawakkaltu wa ilaihi uniib.

Exit mobile version