Site icon MuslimahHTM News

Wahai Muslimah Tersayang, Bangkitlah Menjadi Penegak Kebenaran!

[Have Your Say #MuslimahIdeal]

Wahai Muslimah Tersayang, Bangkitlah Menjadi Penegak Kebenaran!

 

Wahai muslimah yang hebat!

Dalam dunia yang di dominasi kapitalisme hari ini, kita dihadapkan dengan pelbagai cabaran dan tekanan, maka, menjadi seorang muslimah yang berani menyuarakan kebenaran dan menegakkan syariat Allah bukan lagi sekadar pilihan. Sebaliknya, ia adalah satu tuntutan besar untuk memastikan keadilan dan kehormatan agama terus terpelihara.

 

Lihatlah saudari-saudari kita di Gaza, Palestin. Mereka sedang dizalimi tanpa belas kasihan. Di tengah serangan dan penindasan, mereka tetap teguh mempertahankan bumi berkah Palestin dan agama tercinta. Bukankah keberanian mereka sepatutnya menjadi inspirasi untuk kita semua? Dalam situasi ini, para muslimah perlu tampil sebagai suara kebenaran, menyeru dunia untuk bangkit melawan kezaliman.

 

Kisah teladan daripada sejarah Islam juga patut dijadikan motivasi sepanjang zaman kepada kita. Ingatlah Sumayyah binti Khayyat, syuhada pertama Islam yang tetap mempertahankan tauhid walaupun diseksa sehingga gugur syahid. Keberaniannya adalah mercu tanda pengorbanan seorang wanita Muslim dalam mempertahankan akidah. Begitu juga Ummu Umarah, yang bukan sahaja seorang ibu dan isteri, tetapi turut berada di medan perang Yamamah untuk membela agama Allah dan mengambil bahagian dalam melaksanakan syariat Allah – jihad fi sabilillah – dan mengalahkan kebatilan.

 

Wahai muslimah yang dikasihi,

Keberanian kita bukan hanya untuk membela diri tetapi juga menjadi penyuluh kepada umat. Dunia hari ini sangat memerlukan suara muslimah yang lantang menyeru kepada yang haq, mengajak pada yang ma’ruf, mencegah yang mungkar, dan mengajak pada keadilan serta kemuliaan syariat Allah. Dengan keberanian para muslimah, kita bukan sahaja membela agama, tetapi turut membangkitkan semangat ummah untuk kembali kepada Islam sebagai penyelesaian utama.

 

Yakinlah, setiap langkah berani yang kita ambil akan dicatat oleh Allah sebagai amal mulia. Marilah bersama-sama menjadi cahaya dalam kegelapan, penyeru kepada kebenaran, dan benteng kepada kehormatan Islam. Bangkitlah seperti singa yang menjaga keimanannya, kerana masa depan umat terletak pada tangan-tangan yang berani mempertahankan kalimat Allah.

 

Wahai muslimah pemburu redha Allah,

Kita mampu mencipta perubahan besar jika kita bersatu dan percaya pada pertolongan Allah. Semoga keberanian ini menjadi obor yang menerangi jalan kita dan menjadikan kita sebahagian daripada mereka yang layak menerima keredhaan-Nya di dunia dan akhirat. InsyaAllah. Allahuakbar! 💪✨

 

 

Ketua Lajnah I’lamiyyah MHTM

Exit mobile version