[Nafsiyah] IRI HATI YANG DIBOLEHKAN DAN YANG DILARANG
Penulis : Arief B. Iskandar
IMAM al-Ghazali berkata, “Iri hati (hasad dengki) boleh menghancurkan segala ketaatan dan membawa kepada perlakuan dosa dan pelbagai kesalahan. Hasad dengki merupakan penyakit serius yang menjadi cabaran utama bagi kebanyakan orang-orang yang bertaqwa apatah lagi kepada orang umum. Hasad dengki mampu memusnahkan diri serta membolehkan mereka diseret ke jurang api neraka. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memerintahkan kita untuk menjauhkan diri daripada orang-orang yang berperasaan hasad dengki: “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya [TMQ al-Falaq (113):5].” [Faydh al-Qadîr, III/549].
Sungguh pun begitu, terdapat iri hati yang dibolehkan. Nabi Muhammad SAW bersabda, ”Iri hati (hasad dengki) itu tidak boleh kecuali terhadap dua hal: seseorang yang Allah SWT kurniakan kemampuan al-Quran dan dia terus membaca al-Quran itu siang-malam; seseorang yang Allah kurniakan harta yang banyak dan dia terus menginfakkan hartanya itu siang-malam.” [HR al-Bukhari].
Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama membahagikan iri hati kepada dua:
Pertama: Iri hakiki, iaitu berusaha menghilangkan kenikmatan yang diperolehi oleh orang lain dengan melakukan perbuatan buruk, baik melalui perkataan ataupun perbuatan. Iri hati yang sebegini adalah dilarang dan hukumya haram berdasarkan ijmak ulama.
Kedua. Iri majazi, iaitu berharap mendapatkan nikmat yang sama seperti nikmat yang diberikan kepada orang lain tanpa berharap untuk hilangnya kenikmatan itu daripada orang lain tersebut. Maka bila ia terkait dengan perkara dunia, iri sebegini adalah dibolehkan. Jika terkait dengan perkara akhirat (ketaatan kepada Allah SWT), iri sebegini sangat digalakkan. Inilah iri yang dimaksudkan dalam hadis di atas [HR An-Nawawi] [ Syarh an-Nawawi ‘alâ Muslim, VI/97].
Wa maa tawfiiqii illaa billaahi ‘alaihi tawakkaltu wa ilaihi uniib.

