[Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam]
Misionaris Mencetuskan Pertikaian Antara Rakyat
Apabila mubaligh mendapat peluang untuk menubuhkan pusat aktiviti mereka di negara Islam, mereka mula mencari peluang untuk menghasut rakyat di negara Islam itu. Salah satu peluang itu ialah apabila Ibrahim Pasha meninggalkan Syam. Perpindahan ini telah menyebabkan ketakutan yang berpanjangan di kalangan rakyat sehingga anarki pun berkobar memecah-belahkan mereka. Delegasi asing, khususnya para misionaris, memanfaatkan kesempatan ini dan mula mencetuskan pertikaian. Para misionaris tersebut berpeluang melakukan langkah semacam itu kerana mereka tahu bahawa negara Uthmani tidak mempunyai banyak pengaruh di Syam pada ketika itu.
Satu tahun berikutnya, iaitu pada 1841, kekecohan serius berlaku di pergunungan Lubnan antara orang Kristian dan Druze. Keadaan makin memburuk. Kemudian, Kemudian, Kekhalifahan Uthmaniyyah telah dipujuk di bawah tekanan dan pengaruh daripada negara asing untuk membentuk kerajaan baru di Lubnan. Pemerintahan baru tersebut terpisah dari Turki yang dibahagi ke dalam dua wilayah berasingan, yakni satu bahagian untuk orang-orang Kristian manakala bahagian yang lain untuk orang Druze. Khilafah Uthmaniyah menunjuk seorang wali gabenor untuk kedua bahagian tersebut. Ini untuk menghindari pertelingkahan di antara dua sekte tersebut. Walaupun begitu, sistem ini ternyata tidak berjaya.
British dan Perancis berusaha untuk melibatkan diri ketika para penguasa Turki hendak menyelesaikan setiap huru-hara. Sebenarnya British dan Perancis jugalah yang membuat kekecohan itu melalui tangan para ejennya di wilayah tersebut, seperti Niven Moore, konsul British di Beirut dan saudaranya, Richard Wood.
Perselisihan seumpama ini dijadikan alasan bagi British dan Perancis untuk campur tangan dalam urusan Lubnan. Perancis bekerjasama dengan orang Kristian Maronit, sedangkan British bersekongkol dengan orang Druze sehingga menyebabkan kekecohan lagi pada 1845. Serangan ini meluas sampai ke gereja dan biara. Kecurian, pembunuhan, dan rompakan menjadi hal yang biasa terjadi. Ini menyebabkan pemerintah Uthmani memerintahkan Inspektor Urusan Luar Negeri untuk datang ke Lubnan dan menggunakan autoritinya untuk menyelesaikan pergolakan. Akan tetapi utusan ini pun tidak dapat berbuat apa-apa sekalipun dia dapat mengurangkan ketegangan di sana.
Sementara itu kaum misionaris makin memperhebatkan kegiatannya. Pada 1857, orang Maronit mula menyerukan revolusi dan perjuangan bersenjata. Pastor Maronit memujuk para petani agar bergerak melawan tuan-tuan tanah dan menyerangnya dengan ganas di wilayah utara. Demikianlah revolusi dimulakan sehingga lambat-laun berkembang ke selatan. Para petani Kristian mula bangkit melawan tuan tanah Druze, sedangkan British dan Perancis berdiri di belakang menyokong sekutu mereka masing-masing. Akibatnya kekecohan dan pergolakan merebak ke seluruh Lubnan. Orang-orang Druze mula membantai orang-orang Kristian tanpa pandang bulu, baik pastor atau pun orang biasa. Kekecohan ini akhirnya membawa kepada pembunuhan lebih daripada 10,000 orang Kristian. Ramai daripada mereka juga terpaksa berpindah atau kehilangan rumah mereka.
Kekecohan di wilayah Lubnan akhirnya merebak ke seluruh Syam. Di Damascus, propaganda kejam yang penuh kebencian ditiup di antara orang-orang Islam dan orang Kristian sehingga menyebabkan orang Islam menyerang daerah orang Kristian pada 1860. Kekecohan ini disertai dengan rompakan dan kemusnahan besar-besaran sehingga negara terpaksa melakukan intervensi ketenteraan untuk menamatkan pergolakan tersebut. Sekalipun negara Khilafah berjaya menenangkan suasana, tetapi negara-negara Barat memandang bahawa situasi ini merupakan kesempatan bagi mereka untuk mengadakan intervensi ke Syam dan mengirimkan kapal-kapal perang ke persisiran pantainya. Pada Ogos 1860, Perancis mula mengirimkan satu divisyen tenteranya ke Beirut yang mula melakukan tindakan memadamkan revolusi.
Demikianlah negara Uthmani dilanda berbagai pergolakan di Syria dan Lubnan. Penyebab sebenarnya adalah campur tangan negara Barat terhadap urusan dalam negeri Khilafah Uthmaniyah. Mereka berjaya memaksa Turki untuk membentuk suatu autonomi terpisah di Syria, lalu membahaginya kepada dua wilayah, dan memberikan hak-hak istimewa kepada Lubnan. Dari kejadian inilah akhirnya Lubnan terpisah dari keseluruhan wilayah Syam. Kemudian diberi hak autonomi daerah, diatur oleh pemerintahan daerah yang dipimpin oleh penguasa Kristian, serta dibantu oleh badan administrasi yang mewakili penduduk tempatan. Sejak saat itu, negara-negara asing dapat mengatur urusan di Lubnan dan menjadikannya pusat kegiatan mereka. Oleh sebab itu, Lubnan menjadi jambatan penghubung kekuatan asing yang melakukan penyusupan ke dalam jantung negara Islam dan negeri kaum muslim.
Sumber: Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam

