[Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam] Nasionalisme sejak Runtuhnya Khilafah
Berakhirnya pemerintahan Islam pada 1924 telah memunculkan banyak negara muslim buatan yang menggunakan asas nasionalisme sebagai dasar penubuhannya. Namun sayang, negara-negara ini sebaliknya jauh dari “kemerdekaan” yang diidam-idamkan oleh para pendirinya yang membangkang terhadap Khilafah Uthmaniyyah. Memang benar, janji-janji kemerdekaan dari Barat itu hanyalah satu kebohongan besar yang kenyataannya merupakan perangkap busuk dan jahat yang menjerat kaum muslim ke dalamnya. Tujuan Barat yang sebenarnya adalah untuk menjajah kaum muslim, baik secara budaya mahupun mental. Akan tetapi ketika Negara Islam menghadang cengkaman kuku-kuku mereka, para penjajah Barat ini tidak dapat meraih apa-apa, kecuali serangan fizikal ke dalam negeri-negeri kaum muslim. Hal ini terkandung dalam pasal 22 Liga Bangsa-Bangsa (LBB) setelah Perang Dunia I.
“Masyarakat-masyarakat tertentu yang sebelumnya merupakan bahagian dari kekuasaan Turki telah mencapai satu tahapan perkembangan, di mana keberadaannya sebagai negara merdeka, untuk sementara waktu boleh dianggap sebagai subjek dari pemberian saranan-saranan administratif, serta pendampingan dari negara-negara pelindungnya, sampai suatu masa jika masyarakat tersebut sudah dianggap mampu berdiri sendiri.”[1]
Tentunya “saranan-saranan administratif” ini wajib diambil dan dilaksanakan oleh negara-negara yang baru terbentuk itu, yang bagi British dan Perancis bermakna tidak jauh berbeza dengan penjajahan. British mengambil Iraq, Palestin, dan Transjordan. Sementara Perancis mengawal Syria dan Lubnan. Apa yang tersisa dari “Negara Arab Merdeka” yang dipimpin oleh Syarif Hussain yang juga dikenal dengan sebutan kerajaan Hijaz, akhirnya pada 1925 diserap ke dalam wilayah yang sekarang ini kita sebut sebagai Arab Saudi.
Oleh kerana itulah, saat ini kita melihat keadaan kaum muslim yang tetap saja tertinggal dari negara-negara lain di dunia, sekalipun setelah terjadi pembentukan negara-negara nasionalistik di Tengah-tengah dunia Islam. Walaupun negeri-negeri kaum muslim sudah tidak menjadi koloni negara-negara Barat (secara fizikal), tetapi ketandusan dan kemunduran rakyat telah menjadi begitu serius. Akhirnya, negara Islam sebenarnya menjadi hamba kepada penjajah Barat dalam sektor ekonomi.
Berbagai macam usaha telah dilakukan sejak saat itu untuk membangkitkan umat, tetapi belum satu pun yang berjaya. Nasionalisme tidak memberikan hasil sedikit pun, kecuali serangkaian kegagalan di dunia Islam. Berikut ini adalah contoh-contoh usaha yang telah dilakukan oleh kaum muslim di dunia Islam untuk membangkitkan kaum muslim melalui nasionalisme.
- Mesir
Gamal Abdul Nasser adalah salah satu contoh klasik penggerak yang gagal. Nasser mula berkuasa pada 1954 dan mula menyebarkan pandangannya tentang Mesir. Dalam bukunya The Philosophy of Revolution, dia menggariskan tiga peranan utama Mesir, yakni sebagai pemimpin negara Arab, negeri-negeri muslim, dan negara-negara Afrika kulit hitam dalam meraih kemerdekaannya. Harapan Nasser untuk menyatukan bangsa Arab lebih banyak berpijak pada nasionalisme Arab. Dia membayangkan bahawa bangsa Arab dapat bersatu hanya dengan adanya kesamaan bahasa, cara berpakaian, dan persamaan sejarah. Nasser memang mampu menumbuhkan semangat nasionalisme Arab sampai pada taraf yang belum pernah terjadi sebelumnya. Nasionalisasi Terusan Suez pada 1956 dan penggabungan antara Mesir dan Syria pada 1958 untuk membentuk Republik Arab Bersatu (United Arab Republic), menyatukan dua negara yang paling strategik di kawasan Timur Tengah, makin menderaskan propaganda semangat “Arabisme”.
Namun demikian, seruan kepada “Arabisme” ini ternyata juga disertai dengan penerapan kebijakan ekonomi sosialis yang makin melumpuhkan negara. Selain itu, seperti disedari oleh umat Islam pada kemudian hari, ternyata Nasser tidak lebih dari seorang bidak di tengah pertarungan antara British dan Amerika di Timur Tengah. Sekalipun di depan umum Nasser terlihat didukung oleh Kesatuan Soviet, tetapi sebenarnya dia adalah ejen Amerika.[2]
Pecahnya Republik Arab Bersatu pada 1961 dan kemenangan Israel pada perang 1967, ketika Israel berjaya merampas Gunung Sinai dari tangan Mesir, Dataran Tinggi Golan dari Syria, dan Tepi Barat dari Jordan, telah mengakhiri Arabisme Nasser. Eksperimen nasionalistik yang hebat itu pun gagal dan sehingga saat ini dunia Arab masih terpisah-pisah dalam banyak negara.
- Turki
Turki sebagai pusat pemerintahan Khilafah Uthmaniyah adalah salah satu negara yang sangat terpengaruh oleh nasionalisme. Pandangan Mustafa Kemal Pasha untuk membentuk sebuah negara berdasarkan nasionalisme memang benar-benar terwujud, tetapi gagal membuat kemajuan yang bermakna. Baik kebijakan-kebijakan nasionalistik Parti Rakyat Republik (Republican People’s Party) Mustafa Kemal pada masa lalu, kebijakan-kebijakan Parti Ibu Pertiwi (Motherland Party) yang sekular, mahupun Parti Masyarakat Demokratik Sosialis (The Socialist Democratic Populist Party) pada masa kini, belum dan tidak akan pernah dapat mengembalikan Turki kepada masa kejayaan yang lalu. Sebaliknya, Turki sebaliknya perlahan-lahan terperosok ke dalam perselisihan awam seiring dengan lahirnya nasionalisme Kurdi.
Usaha Mustafa Kemal untuk membangkitkan Turki berdasarkan pada nasionalisme Turki telah melemparkan Turki ke dalam situasi yang memilukan. Wilayah yang dulu dipandang sebagai pusat peradaban dan pemimpin negara-negara dunia, iaitu Negara Islam, sekarang telah berubah menjadi negara yang sakit dan tidak memiliki kekuatan apa pun serta tidak dipandang oleh sesiapa pun. Tidak diterima oleh negara-negara Eropah, tidak pula oleh negara Timur Tengah. Nasionalisme tidak memberikan apa pun kepada Turki selain kehinaan. Sekalipun demikian, sungguh menghairankan pemerintah Turki sampai saat ini masih tetap berusaha untuk mempertahankan nasionalisme Turki.
Nota kaki:
[1] The Islamic State, Taqiyuddin an-Nabhani, hal 10, Al-Khilafah Publication.
[2] Miles Copeland dalam bukunya The Game Player menyebutkan bahawa keterlibatan Nasser bersama dengan CIA telah dimulai sebelum terjadinya kudeta yang melempar Raja Farouk dari kekuasaannya pada Julai 1952. Selanjutnya CIA membantu membentuk mukhabarat (Perkhidmatan Perisikan), CIA juga mendorong untuk mengorganisasikan Kementerian Dalam Negeri serta memberikan perlindungan terhadap Nasser dari usaha-usaha pembunuhan.
Sumber: Sejarah Nasionalisme di Dunia Islam

