KESEIMBANGAN IBADAH DAN MUAMALAH
Oleh : KH. M Shiddiq Al-Jawi
Pendahuluan
Seorang muslim secara umum, dan khususnya para pengusaha, wajib menyeimbangkan ibadah dan muamalahnya. Jangan sampai dia berat sebelah, iaitu hanya fokus melakukan salah satunya, seraya mengabaikan yang lain. Jadi tidak benar kalau seorang muslim hanya fokus melakukan perniagaan untuk mengejar harta benda, tetapi melalaikan ibadah-ibadah yang wajib, seperti solat, zakat, haji, dan lain-lain.
Allah SWT telah memperingatkan kita jangan sampai kegiatan perniagaan kita untuk mencari harta, membuat kita lalai dari ibadah mengingat Allah (zikrillah), sesuai firman Allah SWT :
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تُلْهِكُمْ اَمْوَالُكُمْ وَلَآ اَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللّٰهِ ۚوَمَنْ يَّفْعَلْ ذٰلِكَ فَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْخٰسِرُوْنَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta bendamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Dan barangsiapa berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (TMQ Al-Munafiqun : 9).
Kata “mengingat Allah” (zikrillah) dalam ayat tersebut, dalam Tafsir Al-Qurthubi, ditafsirkan sebagai berikut :
عَنْ ذِكْرِ اللهِ ؛ أَيْ عَنِ الْحَجِّ وَالزَّكَاةِ . وَقِيْلَ : عَنْ قِرَاءَةِ الْقُرْآنِ . وَقِيْلَ : عَنْ إِدَامَةِ الذِّكْرِ . وَقِيْلَ : عَنِ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ ; قَالَهُ الضَّحَّاكُ . وَقَالَ الْحَسَنُ : جَمِيْعُ الْفَرَائِضِ
“Yang dimaksud “dari mengingat Allah” (عَنْ ذِكْرِ اللّٰهِ), adalah, dari berhaji dan berzakat. Ada juga ulama yang berpendapat, maksudnya adalah dari membaca Al-Quran. Ada juga yang berpendapat, maksudnya dari mengekalkan berzikir. Ada juga yang berpendapat, dari solat lima waktu, seperti pendapat Al-Dhahhak. Al-Hasan Al-Bashri berkata, yang dimaksud “dari mengingat Allah” (عَنْ ذِكْرِ اللّٰهِ) adalah dari semua ibadah yang hukumnya fardhu.” (Imam Al-Qurthubi, Al-Jami’li Ahkam Al-Quran, 9/27).
Dalam ayat lain Allah SWT juga memerintahkan kita untuk meninggalkan kegiatan jual beli jika azan sudah dikumandangkan untuk segera mengingat Allah, yakni solat Jumaat, sesuai firman Allah SWT :
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِذَا نُوْدِيَ لِلصَّلٰوةِ مِنْ يَّوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا اِلٰى ذِكْرِ اللّٰهِ وَذَرُوا الْبَيْعَۗ ذٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu telah diseru untuk melaksanakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (TMQ Al-Jumu’ah : 9).
Yang dimaksud dengan “maka segeralah kamu mengingat Allah” (فَاسْعَوْا اِلٰى ذِكْرِ اللّٰهِ), dalam kitab Al-Tafsir Al-Kabir karya Imam Fakhruddin Ar-Razi ditafsirkan sebagai :
فَاسْعَوْا إِلىَ ذِكْرِ اللهِ، أَيْ إِلىَ مَا يَنْفَعُكُمْ فِي اْلآخِرَةِ ، وَهُوَ حُضُوْرُ الْجُمُعَةِ ، لِأَنَّ الدُّنْياَ وَمَتاَعُهَا فَانِيَّةٌ وَاْلآخِرَةُ وَماَ فِيْهاَ باَقِيَّةٌ ، قَالَ تَعاَلىَ : وَاْلآخِرَةُ خَيْرٌ وَّأَبْقىَ ) الأعلى : 17)
“Firman Allah SWT yang berbunyi “maka segeralah kamu mengingat Allah” (فَاسْعَوْا اِلٰى ذِكْرِ اللّٰهِ), maksudnya adalah segeralah kamu menuju apa yang bermanfaat bagimu di akhirat, iaitu menghadiri solat Jumaat, kerana dunia dan segala perhiasannya adalah fana (akan lenyap). sementara akhirat dan segala kenikmatannya adalah baka (kekal), sebagaimana firman Allah,”Dan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal (baka).” (TMQ Al-A’la : 17). (Imam Fakhruddin Ar-Razi, Al-Tafsir Al-Kabir, 9/30).
Jadi, dua ayat di atas maknanya kurang lebih sama, iaitu kita jangan sampai berat sebelah hanya mementingkan muamalah (berperniagaan, dan sebagainya) untuk mencari harta, tetapi kita melalaikan ibadah, seperti solat lima waktu, solat Jumaat, berzakat, berhaji, dan sebagainya. Walhasil, kita wajib menyeimbangkan dua aspek, iaitu ibadah dan muamalah.
Jangan Hanya Fokus Muamalah, Tapi Lalai Ibadah
Seperti sudah disebutkan sebelumnya, janganlah seorang muslim hanya fokus melakukan muamalah untuk mencari harta benda, tetapi dia melalaikan aspek ibadah-badah, seperti melakukan solat, haji, puasa, dan sebagainya.
Jika seorang muslim lalai dalam ibadah, khususnya ibadah yang terkait harta benda, misalnya zakat mal, maka akibatnya sangat mengerikan di akhirat kelak. Mari kita cermati hadis Nabi SAW berikut, yang menjelaskan akibat mengerikan di akhirat bagi orang yang mempunyai harta yang banyak, tapi lalai menjalankan kewajipan mengeluarkan zakat mal.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ آتاهُ اللهُ مالًا فلَمْ يؤَدِ زكاتَهُ مُثِّلَ له يومَ القيامَةِ شجاعًا أقرَعَ لَهُ زبيبتانِ يطوِّقُهُ يومَ القيامَةِ ثُمَّ يأخُذُ بلِهْزِمَتَيْهِ يعني بِشِدْقَيْهِ ثُمَّ يقولُ : أنا مالُكَ أنا كنزُكَ ثُمَّ تلا النبىُّ : ولَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتاهُمُ اللهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ القيامَةِ [آل عمران: 180]. . رواه البخاري (1403)
Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,”Barangsiapa diberi harta oleh Allah, lalu dia tidak membayarkan zakatnya, maka hartanya itu akan diwujudkan dalam bentuk ular botak yang mempunyai dua taring berbisa di dua sudut mulutnya. Ular itu akan melilit lehernya pada Hari Kiamat, lalu menggigitnya dengan dua rahang mulutnya, kemudian ular itu berkata ‘Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu’, Kemudian Rasulullah SAW membaca firman Allah SWT dalam TMQ Ali ‘Imran ayat 180 yang artinya, “Dan janganlah sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan apa yang diberikan Allah kepada mereka dari karunia-Nya mengira bahawa (bakhil) itu baik bagi mereka, padahal (bakhil) itu buruk bagi mereka. Apa (harta) yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan (di lehernya) pada Hari Kiamat.” (HR. Al-Bukhari, no. 1403).
Dalam hadis lain, terdapat hadis semakna sebagai berikut :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ صَاحِبِ ذَهَبٍ وَلَا فِضَّةٍ لَا يُؤَدِّي مِنْهَا حَقَّهَا إِلَّا إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ صُفِّحَتْ لَهُ صَفَائِحُ مِنْ نَارٍ فَأُحْمِيَ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَيُكْوَى بِهَا جَنْبُهُ وَجَبِينُهُ وَظَهْرُهُ كُلَّمَا بَرَدَتْ أُعِيدَتْ لَهُ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ الْعِبَادِ فَيَرَى سَبِيلَهُ إِمَّا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِمَّا إِلَى النَّارِ
Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang memiliki emas dan perak, tetapi tidak membayar zakatnya, maka pada hari Kiamat akan dibuatkan untuknya lempengan-lempengan daripada api (yang terbuat daripada emas dan perak miliknya sendiri). Kemudian lempengan-lempengan itu akan dipanaskan dalam neraka Jahannam dan dengannya akan diseterika lambungnya, dahinya, dan punggungnya. Setiap kali seterika itu menjadi sejuk, maka akan dipanaskan kembali (dalam neraka) selama satu hari yang kadarnya 50 ribu tahun, hingga perkaranya diputuskan. Setelah itu, barulah dia akan dapat melihat jalannya, mungkin ke syurga dan mungkin pula ke neraka.” (HR Khamsah, kecuali Tirmidzi).
*(lempengan – kepingan)
Jangan Hanya Fokus Ibadah, Tapi Lalai Muamalah
Sebaliknya, jangan pula seorang muslim hanya fokus melakukan ibadah, seperti rajin melakukan solat, haji, puasa, dan sebagainya, tetapi dia melalaikan aspek muamalah dia, sehingga akibatnya dia banyak melakukan pelanggaran syariah dalam berbagai akad muamalah. Misalnya, dia rajin ibadah, tapi ternyata dia melakukan akad ribawi dalam berbagai bentuknya, sehingga akhirnya dia memakan harta orang secara batil melalui riba-riba itu.
Mari kita teliti hadis Nabi SAW berikut, yang menjelaskan akibat yang mengerikan di akhirat bagi orang yang rajin beribadah seperti solat, haji, puasa di dunia, tetapi pahala-pahala ibadahnya tersebut terpaksa habis tanpa sisa di akhirat untuk menggantikan kerugian pihak-pihak lain, kerana dia telah melakukan berbagai pelanggaran syariah terhadap orang lain dalam muamalahnya di dunia.
Dalam hadis dari Abu Hurairah RA diriwayatkan hadis lain sebagai berikut :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أتَدرونَ ما المُفلِسُ؟ قالوا: المُفْلِسُ فِينا مَن لا دِرْهَمَ له ولا مَتاعَ، فقالَ: إنَّ المُفْلِسَ مِن أُمَّتي يَأْتي يَومَ القِيامَةِ بصَلاةٍ، وصِيامٍ، وزَكاةٍ، ويَأْتي قدْ شَتَمَ هذا، وقَذَفَ هذا، وأَكَلَ مالَ هذا، وسَفَكَ دَمَ هذا، وضَرَبَ هذا، فيُعْطَى هذا مِن حَسَناتِهِ، وهذا مِن حَسَناتِهِ، فإنْ فَنِيَتْ حَسَناتُهُ قَبْلَ أنْ يُقْضَى ما عليه أُخِذَ مِن خَطاياهُمْ فَطُرِحَتْ عليه، ثُمَّ طُرِحَ في النَّارِ. رواه مسلم 2581
Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat, ”Tahukah kalian, siapakah orang yang bankrap itu?” Para sahabat menjawab, ”Orang yang bankrap di antara kami adalah orang yang tidak memiliki wang dan harta kekayaan.” Rasulullah SAW lalu bersabda, ”Sesungguhnya orang yang bankrap di antara umatku adalah orang yang pada Hari Kiamat datang dengan (pahala) solat, puasa, dan zakat, tetapi ia dulu (di dunia) pernah mencaci-maki orang, menuduh zina (kepada orang lain), memakan harta orang lain, menumpahkan darah orang lain, dan memukul orang lain. Maka pahala-pahala ibadahnya diambil untuk diberikan kepada setiap orang dari mereka. Maka jika pahalanya habis, sementara tuntutan mereka banyak yang belum terpenuhi, akan diambil dosa dari setiap orang dari mereka untuk dibebankan kepada orang tersebut, hingga akhirnya ia dilemparkan ke neraka.” (HR. Muslim, no. 2581).
Wajib Seimbangkan Ibadah dan Muamalah
Kesimpulannya, kita wajib menyeimbangkan aspek ibadah dan aspek muamalah kita. Jangan kita hanya fokus melakukan salah satunya, seraya mengabaikan yang lain. Jangan kita hanya fokus muamalah, tapi melalaikan ibadah. Sebaliknya jangan pula kita hanya fokus ibadah, tapi melalaikan muamalah.
Untuk dapat menyeimbangkan aspek ibadah dan aspek muamalah kita tersebut, kita wajib mempunyai ilmunya dalam kedua-dua aspek tersebut secara lengkap. Supaya kita dapat beramal secara benar dalam aspek muamalah, pelajarilah Fiqih Muamalah, seperti bagaimana hukum jual beli, hukum syirkah, hukum hutang piutang, hukum ijarah, dan sebagainya. Dan supaya kita dapat beramal secara benar dalam aspek ibadah, pelajarilah Fiqih Ibadah, seperti bagaimana hukum thaharah (bersuci), hukum solat, hukum puasa, hukum haji, hukum qurban, dan sebagainya.
Wallahu a’lam.

