Site icon MuslimahHTM News

PELAJARAN PENTING DARI SYRIA

PELAJARAN PENTING DARI SYRIA

 

Segala pujian milik Allah Taala. Allah Yang telah menggoncangkan singgahsana para taghut dan menghancurkan dasar-dasar para penguasa kuku besi. Salah satunya adalah rejim diktator dan zalim, Basyar Assad, di Syria, setelah berkuasa selama puluhan tahun.

 

Kezaliman Assad dan Kesabaran Kaum Muslim Syria

 

Basyar Assad adalah penerus ayahnya, Hafezh Assad, yang memimpin Syria dengan tangan besi sejak 1970. Maksudnya, keluarga Assad telah memerintah Syria selama 54 tahun. Rejim ini dikenal sebagai salah satu pemerintahan paling represif di dunia yang bertahan berkat dukungan penuh Barat, khususnya Amerika Syarikat dan Rusia. Sejak awal kekuasaannya, rejim Assad menjadikan rakyat Syria sebagai objek eksploitasi dan keganasan.

 

Selama puluhan tahun rakyat Syria hidup dalam bayang-bayang ketakutan. Di bawah rejim Assad, ribuan orang anti-rejim dipenjara, diseksa, bahkan dibunuh. Selain itu, banyak muslimah di dalam penjara yang diperkosa oleh pegawai-pegawai rejim hingga melahirkan anak tanpa jelas siapa ayahnya. Banyak yang menjadi syahid setelah bertahun-tahun menahan derita di sebalik jeriji besi.

 

Namun demikian, sejarah juga membuktikan bahawa para penguasa diktator dan zalim selalu berakhir dengan kehancuran yang tragik. Beberapa rejim diktator dan zalim diserang oleh rakyatnya sendiri. Sebahagiannya terusir dan terpaksa melarikan diri ke luar negeri, seperti Basyar Assad. Kejatuhan dan kehinaan mereka sudah pasti bukan hanya di dunia. Di akhirat, azab yang pedih juga pasti menanti mereka kerana kezaliman yang mereka lakukan di dunia. Allah SWT telah menegaskan, “Sungguh orang-orang zalim itu tidak akan beruntung.” (TMQ Al-An’am [6]: 21).

 

Rasulullah SAW juga bersabda, “Sungguh kezaliman itu akan menjadi kegelapan pada Hari Kiamat.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

 

Di sisi lain, umat Islam hendaklah mengambil pelajaran dari kesabaran dan keteguhan kaum muslim di Syria. Meski menghadapi kekejaman luar biasa, rakyat Syria tetap teguh dalam keimanan dan ketakwaan mereka. Mereka tidak pernah menyerah dan putus asa. Mereka terus meneguhkan harapan untuk perubahan hakiki. Kesabaran dan pengorbanan mereka adalah teladan luar biasa bagi umat Islam di seluruh dunia. Orang-orang seperti mereka ini yang Allah SWT beri penghargaan terbaik dengan kurnia pahala yang tidak terbatas. Ini sebagaimana firman-Nya, “Sungguh Allah memberikan kepada orang-orang yang sabar pahala tanpa batas.” (TMQ Az-Zumar [39]: 10).

 

Maknanya, kata Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, “Pahala untuk mereka itu tidak lagi ditakar, tidak ditimbang, dan tidak lagi dihitung kerana amat banyaknya.” (Al-Jazairi, Aysar at-Tafaasiir, 3/416).

 

Rasulullah SAW juga sangat takjub dan memuji orang-orang sabar, “Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Seluruh urusannya adalah kebaikan bagi dirinya. Hal demikian tidak dimiliki oleh siapa pun, kecuali seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, dia bersyukur dan itu baik bagi dirinya. Jika ditimpa kesulitan, dia bersabar dan itu pun baik bagi dirinya.” (HR Muslim).

 

Revolusi Syam Belum Berakhir

 

Sesungguhnya kejatuhan rejim Assad di Syria bukanlah perjuangan terakhir. Revolusi Syam yang diberkahi harus dijaga dari campur tangan oleh tangan-tangan kafir Barat, terutama Amerika Syarikat dan Rusia. Mereka sentiasa berusaha mempertahankan dominasi mereka melalui solusi-solusi palsu, seperti rundingan politik dan pemerintahan boneka, yang tetap berlandaskan sekularisme. Oleh kerana itu, kita pasti berharap dan menyerukan kepada para pimpinan Mujahidin dari berbagai kelompok, juga kaum muslim di Syria.

 

Pertama, umat Islam Syria wajib bersatu. Jangan sekali-kali bercerai-berai. Mereka juga hendaklah melebur bersama-sama umat. Satukan visi dan misi yang sama, yakni membangun institusi pemerintahan Islam yang hakiki (Khilafah Islamiyah) di atas puing-puing sekularisme. Jangan tergoda, dengan alasan apapun, untuk meneruskan sistem sekular yang terbukti zalim dan gagal.

 

Kedua, tetap teguh dalam keimanan dan sentiasa yakin dengan pertolongan Allah Taala. Tidak boleh bersikap lemah di hadapan musuh-musuh Allah Taala. Sebabnya jelas, Allah Yang akan menghancurkan musuh-musuh-Nya melalui tangan orang-orang yang sentiasa teguh dengan keimanannya kepada-Nya. Inilah yang dicontohkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Dahulu, meski baru saja Rasulullah SAW mendeklarasikan Negara Islam di Madinah, beliau terus menentang semua kekuatan yang bertentangan dengan Islam. Ini kerana menegakkan dan menyebarluaskan Islam ke seluruh penjuru dunia adalah kewajipan, bukan sesuatu yang bersifat sekunder. Oleh kerana itu, meski Negara Islam saat itu baru berdiri (yang sudah tentu masih lemah dan memerlukan pengorganisasian, pengaturan, pembangunan ekonomi, dan sebagainya, serta masih belum memiliki kekuatan secara material), Baginda Rasulullah SAW—sebagai ketua negara saat itu—segera mengumumkan keberadaan Negara Islam itu dan mencabar dunia. Beliau bahkan mengirimkan utusan kepada para penguasa Arab dan negara-negara besar yang kafir pada masa itu. Mereka diberi pilihan, yakni masuk Islam atau tunduk di bawah kekuasaan Negara Islam. Jika salah satu dari keduanya tidak mereka pilih, mereka akan diperangi.

 

Oleh kerana itu, di saat ini juga, ketika kaum muslim, khususnya di Syria, memiliki visi dan misi untuk menegakkan Islam dan kekuasaannya secara nyata, mereka perlu yakin bahawa Allah SWT akan menggagalkan rencana jahat siapa pun, termasuk negara-negara kafir Barat yang bersekongkol melawan mereka. Mereka perlu selalu yakin bahawa Allah SWT pasti akan melindungi mereka dari kejahatan negara-negara kafir. Tentu jika mereka tetap berpegang teguh dalam keimanan mereka dan dalam memegang prinsip-prinsip perjuangan sebagaimana yang telah digariskan Rasulullah SAW. Terkait itu, Allah SWT berfirman, “Sungguh Allah akan membela orang-orang beriman. Sungguh Allah tidak menyukai setiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat.” (TMQ Al-Hajj [22]: 38).

 

Allah SWT juga berfirman, “Dan Allah menghalau orang-orang kafir itu dalam keadaan penuh dengan kejengkelan. Mereka tidak memperoleh keuntungan apa pun.” (TMQ Al-Ahzab [33]: 25).

 

Ketiga, mereka hendaklah sentiasa berwaspada dengan segala upaya makar Barat, baik secara langsung mahupun melalui tangan-tangan pihak lain yang berupaya merampas dan mengalihkan revolusi ke arah yang bertentangan dengan Islam. Revolusi pula hendaklah jelas dan sentiasa diarahkan kepada Islam, bukan dengan tetap mempertahankan sekularisme.

 

Oleh kerana itu, tidak boleh ada rundingan atau kompromi apa pun dengan pihak-pihak asing (Barat) yang ternyata kafir yang jelas-jelas tidak mahukan Islam. Lebih-lebih Allah SWT telah lama memberi peringatan yang bermaksud, “Kaum Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah redha kepada kalian hingga kalian mengikuti agama (jalan hidup) mereka.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 120).

 

Apa yang terjadi di Iraq, Libya, Tunisia, dan Mesir hendaklah dijadikan pelajaran. Betapa revolusi umat Islam dirampas sedemikian rupa oleh tangan-tangan kafir Barat melalui kaki tangan mereka sehingga yang terjadi hanyalah pergantian rejim lama ke rejim baru yang tetap sekular dan tidak kurang zalimnya, contohnya Mesir. Jelas, rejim Mesir saat ini hanyalah penerus rejim sekular dan zalim sebelumnya yang ditumbangkan oleh rakyatnya sendiri. Rejim Mesir saat ini pun tetap menjalin hubungan baik dengan Israel yang menjajah dan membantai kaum muslim Palestin. Mereka tetap melayani kepentingan negara-negara kafir Barat yang jelas-jelas memusuhi Islam, seperti Amerika Syarikat, juga tetap memusuhi berbagai kelompok umat Islam yang menghendaki penerapan syariat Islam secara kaffah di negerinya. Rejim diktator Mesir ini, juga di Dunia Arab dan beberapa negeri muslim lainnya, dapat bertahan kerana dukungan penuh Barat, khususnya Amerika Syarikat dan Rusia. Oleh kerana itu, sangat naif jika umat Islam dan para pemimpin mereka, khususnya di Syria saat ini, menerima solusi politik dari Barat. Solusi ini pasti hanya akan memperpanjang penderitaan umat.

 

Fokus pada Perubahan Hakiki

 

Rakyat Syria khususnya, juga umat Islam pada umumnya di seluruh dunia, termasuk di negeri ini, perlu sentiasa menyedari bahawa perubahan hakiki hanya dapat tercapai melalui tegaknya syariat Islam secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Sistem sekularisme yang menjadi akar penderitaan umat perlu dihancurkan hingga ke akarnya. Sistem pengganti yang sesuai dengan tuntunan Islam adalah Khilafah Râsyidah berdasarkan manhaj kenabian. Semua ini wajib diperjuangkan. Ini sudah pasti dengan meneladani perjuangan dakwah Rasulullah SAW. Tidak lain dengan dakwah secara fikriyyah (pemikiran), siyâsiyyah (politik) dan tanpa kekerasan (‘la ‘unfiyah), seraya terus menggalang nushrah dari ahlul-quwwah.

 

Terakhir, apa yang terjadi di Syria, juga yang pernah terjadi di Iraq, Libya, Tunisia, Mesir, dan lainnya hendaklah menjadi peringatan bagi para penguasa muslim, termasuk di negeri ini, bahawa kezaliman terhadap rakyat hanya akan membawa kehancuran. Oleh kerana itu, penguasa perlu bersikap adil dan menyayangi rakyatnya. Hanya saja, keadilan sejati hanya mungkin tercipta saat penguasa menerapkan syariat Islam secara kaffah dalam semua aspek kehidupan. Keadilan mustahil terwujud—sampai bila-bila pun—jika penguasa tetap mempertahankan sistem sekular, sebagaimana saat ini.

 

WalLâhu a’lam bi ash-shawâb.

 

—*—

 

Khatimah:

 

Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kalian menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kalian dan meneguhkan kedudukan kalian.” (TMQ Muhammad [47]: 7).

 

 

Sumber: Buletin Kaffah

Exit mobile version