[FIKH] IKHLAS ITU BUKAN YANG MINIMUM
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Mungkin anda pernah mendengar orang berceloteh, “Sedekah itu, satu ringgit pun tak apa. Yang penting ikhlas. Daripada sedekah beribu tapi riak. Tak akan dapat pahala.”
Ya. Dalam fikiran kebanyakan orang, Ikhlas itu seolah identik dengan beramal ala kadarnya. Beramal apa adanya. Ikhlas akhirnya identik dengan sikap minimalis dalam beramal.
Sedang ikhlas sering didefinisikan oleh para ulama dengan: beramal semata-mata kerana dan untuk Allah SWT. Oleh itu ikhlas yang sebenarnya bukan sekadar tidak riak atau sum‘ah, tetapi mengandung konsekuensi yang lebih dari itu.
Ketika anda ikhlas dalam beramal, bererti anda perlu benar-benar menunjukkan bahawa amal anda semata-mata dipersembahkan hanya untuk Allah SWT. Bukan untuk selain Diri-Nya. Persoalannya: Adakah sesuatu yang dipersembahkan hanya untuk Allah SWT itu cukup yang biasa-biasa saja atau minimum? Sudah tentu tidak. Sesuatu yang dipersembahkan khusus atau istimewa untuk Allah SWT itu sebenarnya perlu yang berkualiti, istimewa, terbaik dan optimum.
Ketika seseorang mempersembahkan sesuatu hanya khusus bagi orang yang dia cintai, dia pasti akan mempersembahkan yang terbaik dan istimewa untuk si dia. Bukan yang biasa-biasa saja. Apatah lagi yang biasa-biasa sahaja. Begitu juga seseorang yang ikhlas. Dia akan mempersembahkan amalan terbaik dan istimewa hanya untuk Allah SWT. Kerana itu solatnya pasti solat yang terbaik, yang paling tertib syarat dan rukunnya, yang paling thoma’ninah. Sudah tentu juga yang paling khusyuk. Sedekahnya pasti sedekah yang paling banyak. Bukan yang paling sedikit. Shaumnya pasti shaum yang dapat mewujudkan takwa dalam dirinya. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata. Begitulah seterusnya.
Oleh sebab itu, tidak ikhlas namanya jika orang yang bersedekah, misalnya, cuma seringgit atau dua puluh ringgit, sedangkan dia masih memiliki wang ratusan ringgit bahkan ribu ringgit di dalam dompetnya.
Contohilah keikhlasan Imam al-Laits bin Saad. Beliau biasa bersedekah setiap hari untuk 300 orang fakir miskin. Beliau juga suka bersedekah ribuan dinar kepada puluhan ulama setiap tahun. Salah satunya Imam Malik yang rutin menerima hadiah sebanyak 100 dinar dari Imam al Layts (Al-Jaami’ fii Rasaa’il ad-Da’wiyyah, 128-129).
Bagaimana dengan kita? Sudahkah kita benar-benar ikhlas dalam seluruh amalan selama ini? Jika belum, mulailah dari sekarang. Selain itu, agar kita dapat beramal dengan ikhlas, marilah kita biasakan berdoa dengan doa Umar bin al-Khattab RA, “Ya Allah, jadikanlah amalku soleh, dan jadikanlah ia ikhlas semata-mata kerana Wajah-Mu.” (Fauzi Sinuqarth, At-Taqarrub ilalLaah, hlm. 11).
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah. []

