Site icon MuslimahHTM News

HUKUM GAJI DARI PEKERJAAN YANG DIPEROLEH DENGAN SOGOKAN

HUKUM GAJI DARI PEKERJAAN YANG DIPEROLEH DENGAN SOGOKAN

Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi

 

Soalan :

 

Apakah hukum gaji yang diperoleh daripada pekerjaan yang diawali dengan sogok-menyogok (rasuah)?

 

Jawapan :

 

Sogok menyogok atau suap atau rasuah(Arab : al-risywah, boleh dibaca al-rasywah atau al-rusywah) adalah harta yang diberikan kepada setiap pemilik kekuasaan/autoriti (shāhib al-shalāhiyah) untuk mewujudkan suatu kepentingan (mashlahah) yang semestinya wajib dia wujudkan tanpa ada pemberian harta daripada pihak yang berkepentingan. (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Syakhshiyyah Al-Islāmiyyah, 2/334; Abdul Qadim Zallum, Al-Amwāl fī Daulah Al-Khilāfah, hlm. 118; Rawwas Qal’ah Jie, Mu’jam Lughat Al-Fuqohā`, hlm. 171; Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 22/219).

 

Semua jenis suap /rasuah  adalah haram hukumnya, baik sedikit mahupun banyak, baik untuk memperoleh manfaat mahupun menolak mudharat, baik untuk memperoleh yang hak mahupun yang batil, baik untuk menghilangkan kezaliman mahupun untuk melakukan kezaliman. Semua jenis suap/rasuah adalah haram hukumnya, berdasarkan keumuman hadis-hadis yang mengharamkan suap. (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Syakhshiyyah Al-Islāmiyyah, 2/334).

 

Dalil haramnya suap/rasuah secara umum, antara lain hadis Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

 

لَعْنَةُ اللهِ عَلَى الرَّاشِيْ وَالْمُرْتَشِيْ

”Laknat Allah atas setiap orang yang memberi suap/rasuah dan yang menerima suap/rasuah.” (HR. Ahmad, Musnad Imam Ahmad 2/164 & 212; Abu Dawud no. 3580, Al-Tirmidzi no 1337, Ibnu Majah no. 2312).

 

Dari Tsauban RA, bahawasanya :

 

لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ  يَعْنِي الَّذِي يَمْشِيْ بَيْنَهُمَا

“Rasulullah SAW telah melaknat setiap orang yang memberi suap, yang menerima suap/rasuah, dan yang menjadi perantara di antara keduanya.” (HR. Ahmad, Musnad Imam Ahmad 5/189; Al-Hakim, Al-Mustadrak, no 7068). (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Syakhshiyyah Al-Islāmiyyah, 2/334; Abdul Qadim Zallum, Al-Amwāl fī Daulah Al-Khilāfah, hlm. 118).

 

Maka dari itu, haram hukumnya seseorang melakukan suap-menyuap (rasuah) untuk memperoleh pekerjaannya, bagaimanapun juga caranya dan jenis pekerjaannya, baik dia memperoleh pekerjaan itu melalui cara yang rasmi (formal) mahupun tidak rasmi, baik pekerjaaan itu halal mahupun haram.

Adapun hukum gaji dari pegawai yang memperoleh pekerjaannya dengan jalan suap/rasuah, menurut kami ada dua kemungkinan hukum syarak sebagai berikut;

 

Pertama, gajinya halal, sepanjang memenuhi dua syarat berikut;

 

Syarat pertama, pegawai tersebut telah memenuhi segala syarat (kualifikasi) untuk memperoleh pekerjaannya, misalnya mempunyai ijazah sesuai yang dipersyaratkan, mempunyai IPK (indeks prestasi kumulatif) minimum yang tertentu, lulus ujian yang ditetapkan seperti bertulis atau temuduga, dsb.

 

Dalil syarat pertama ini adalah sabda Rasulullah SAW :

 

اَلْمُسْلِمُوْنَ عَلىَ شُرُوْطِهِمْ إِلاَّ شَرْطاً حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَراَماً

 “Kaum muslimin [bermuamalah] menurut syarat-syarat di antara mereka, kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.” (HR. Abu Dawud & Tirmidzi).

 

Syarat kedua, pekerjaannya sendiri adalah pekerjaan yang mubah (diperbolehkan syariah), bukan pekerjaan yang diharamkan syarak.

 

Dalil syarat kedua ini adalah kaedah fiqih :

 

لاَ تَجُوْزُ إِجاَرَةُ اْلأَجِيْرِ فِيْماَ مَنْفَعَتُهُ مُحَرَّمَةٌ

Lā tajūzu ijārat al-ajīr fīmā manfa’atuhu muharramah (tidak boleh akad ijarah [akad jasa] dengan tenaga kerja pada segala jasa/manfaat yang diharamkan). (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Iqtishādi fī Al-Islām, hlm. 93).

 

Contoh pekerjaan yang haram, misalnya pekerjaan pegawai bank yang melakukan transaksi riba, baik terkait langsung mahupun tidak terkait langsung dengan transaksi riba. (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Iqtishādī fī Al-Islām, hlm. 93-94).

 

Pekerjaan yang terkait langsung dengan transaksi riba, misalnya bahagian juruwang, penganalisis kredit, pegawai akaun (AO), dan pemungut, di sebuah bank.

 

Adapun pekerjaan yang tidak terkait langsung dengan transaksi riba, yakni yang akan menghasilkan riba hanya jika digabungkan dengan pekerjaan lain, contohnya adalah akauntan bank, auditor bank, pemasaran bank yang memasarkan produk perbankan; petugas back office yang bertugas melakukan semakan dan memastikan bahawa transaksi yang dilakukan oleh juruwang sudah sesuai dan sudah benar; serta bahagian admin kredit yang bertugas membuat surat, menginventori data nasabah sehinggalah mengemaskini data jaminan pelanggan. (lihat : http://fissilmi-kaffah.com/frontend/artikel/detail_tanyajawab/88).

 

Dalil haramnya pekerjaan yang terkait riba, baik terkait langsung mahupun tidak langsung dengan transaksi riba, adalah hadis dari Jabir bin ‘Abdillah RA sbb :

 

عَنْ جاَبِرِ بْنِ عَبْدِاللهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قاَلَ : لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا، وَمُؤْكِلَهُ، وَكَاتِبَهُ، وَشَاهِدَيْهِ، وَقاَلَ: هُمْ سَوَاءٌ. رواه مسلم 1598

Dari Jabir bin ‘Abdillah RA, dia berkata,”Bahawasanya Rasulullah SAW telah melaknat pemakan riba (yang memungut riba), pemberi riba (pembayar riba), pencatat riba, dan dua orang saksinya.” Dan Rasulullah SAW bersabda,”Mereka itu sama saja (dalam hal dosanya).” (HR. Muslim, no. 1598).

 

Dalam riwayat lain disebutkan :

 

عَنْ عَبْدِاللهِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قاَلَ  : لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ. قاَلَ: قُلتُ: وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ؟ قاَلَ: إنَّماَ نُحَدِّثُ بِماَ سَمِعْنَا. رواه مسلم  1597

 

Dari ‘Abdullah bin Mas’ud RA, dia berkata,”Bahawasanya Rasulullah SAW telah melaknat pemakan riba (yang memungut riba) dan pemberi riba (pembayar riba).” Dia (‘Abdullah bin Mas’ud) berkata,”Aku bertanya, bagaimana dengan pencatat riba dan dua orang saksinya?” Rasulullah SAW bersabda,”Sesungguhnya kami menjawab sesuai dengan apa yang kami dengar.” (HR. Muslim, no. 1597).

 

 Kedua, gajinya haram jika pegawai tersebut tidak memenuhi salah satu atau kedua syarat di atas. Misalkan pegawai itu tidak memenuhi kualifikasi yang disyaratkan (tidak mempunyai ijazah atau IPK minimum yang disyaratkan, tidak lulus ujian yang ditetapkan, dsb) dan/atau pekerjaannya itu sendiri haram secara syarie.

 

Kesimpulannya, ada dua hukum syarak berikut:

 

Pertama, semua suap/rasuah adalah haram termasuk suap/rasuah untuk mendapatkan pekerjaan, bagaimanapun juga caranya dan jenis pekerjaannya, baik dia memperoleh pekerjaan itu melalui cara yang rasmi (formal) mahupun tak rasmi, baik pekerjaaan itu halal mahupun haram.

 

Kedua, adapun gaji daripada pekerjaan yang diperoleh dengan jalan suap/rasuah, ada dua kemungkinan; kemungkinan pertama, hukumnya halal jika pegawai itu memenuhi segala kualifikasi untuk mendapatkan pekerjaannya dan pekerjaannya sendiri adalah mubah (diperbolehkan) secara syarie. Kemungkinan kedua, hukumnya haram, jika pegawai itu tidak memenuhi kualifikasi untuk mendapatkan pekerjaannya dan/atau pekerjaannya sendiri hukumnya haram secara syarie. 

 

 

Wallāhu a’lam.

 

 

 

Exit mobile version