[TELADAN ULAMA] JENIS SEDEKAH DAN AMAL JARIAH
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Sedekah itu ada banyak jenis. Bukan hanya satu atau dua jenis sahaja. Ini sesuai dengan penjelasan Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Pada diri manusia ada 360 ruas tulang. Oleh itu, hendaklah kalian bersedekah atas setiap ruas tulang tersebut.”
Beliau ditanya, “Siapa yang boleh melakukan itu, wahai Nabi Allah?”
Jawab beliau, “(Ingatlah) menghilangkan kahak/lendir di masjid adalah sedekah, membuang duri dari jalanan adalah sedekah. Jika engkau tidak boleh melakukan itu maka tunaikanlah solat dhuha dua rakat. Ianya adalah setara dengannya.” (HR Ahmad dan Abu Dawud).
Ada orang berkata, “Wahai Rasulullah, orang-orang yang banyak melakukan amal kebajikan telah pergi. Mereka solat sebagaimana kami solat. Mereka shaum sebagaimana kami shaum. Mereka juga biasa sedekahkan kelebihan harta mereka.”
Jawab beliau, “Bukan begitu. Sungguh Allah telah menjadikan untuk kalian apa saja yang boleh kalian sedekahkan. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Memerintahkan kemakrufan adalah sedekah. Mencegah kemungkaran juga adalah sedekah. Hubungan suami-isteri adalah sedekah.”
Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah tindakan salah seorang dari kami yang melempiaskan syahwatnya (kepada isterinya) juga berpahala?”
Beliau malah bertanya, “Bagaimana pendapatmu, jika dia melempiaskan syahwatnya di jalan yang haram (bukan kepada isterinya), adakah dia berdosa?”
Jawab mereka, “Sudah pasti.”
Kemudian, Rasul SAW pun berkata, “Begitu juga jika dia melempiaskan syahwatnya di jalan yang halal (kepada isterinya). Dia mendapatkan pahala.” (HR Muslim).
Selain sedekah yang beragam bentuknya, begitu pula amal jariah. Amal Jariah adalah sebutan bagi amalan yang terus mengalir pahalanya walaupun orang yang melakukan amalan tersebut sudah wafat. Hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah SAW, “Jika anak Adam (manusia) wafat, terputuslah semua (pahala) amalnya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan dirinya.” (HR Muslim).
Sabda Rasul SAW di atas sekaligus menunjukkan tiga jenis amal jariah. Namun demikian, selain dari ketiga jenis amal di atas, ada beberapa amal lain yang juga termasuk amal jariah. Hal ini juga didasarkan pada sabda Rasulullah SAW:
“Sungguh di antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah pelakunya wafat ialah: ilmu yang dia sebarluaskan, anak soleh yang dia tinggalkan, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang dia wariskan, masjid yang dia bina, rumah yang dia dirikan untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan, sungai yang dia alirkan untuk kepentingan orang banyak dan harta yang dia sedekahkan.” (HR Ibnu Majah).
Hadis di atas diperkuat antara lain oleh sabda Rasulullah SAW yang berbunyi, ”Siapa saja yang membina sebuah masjid kerana Allah walau sekecil apa pun, Dia akan membinakan sebuah rumah di syurga untuk dirinya.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW juga bersabda, “Siapa saja yang membangun sebuah sumur, lalu airnya diminum oleh jin atau burung yang kehausan, maka Allah akan memberinya pahala kelak pada Hari Kiamat.” (HR Ibnu Majah).
Oleh itu, walaupun tidak semua, semoga kita dapat melakukan walau sebahagian dari amal sedekah mahupun amal jariah sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW di atas. Amin.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.

