[FIKIH] ISTIQAMAH DALAM KEIMANAN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Satu perkara yang umumnya sukar dipertahankan oleh seorang muslim ialah istiqamah dalam keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Berapa ramai umat Islam dalam suatu masa berusaha solat tepat pada waktunya. Khusyuk di dalamnya. Malah mereka selalu berjemaah di masjid. Banyak membaca, mengaji dan mengamalkan al-Quran. Berusaha menutup aurat dan memakai jilbab syarie (bagi muslimah). Banyak melakukan solat malam dan berzikir. Banyak bersedekah. Juga melakukan banyak amalan lain.
Namun, pada masa yang lain, tahap keimanannya kelihatan kembali menurun. Tahap ketakwaannya seolah-olah kembali menurun. Ibadah solat menjadi kucar-kacir. Kembali jarang-jarang membaca al-Quran. Auratnya terbuka semula. Dan seterusnya.
Persoalannya ialah: Bagaimana agar perkara ini tidak berlaku? Mengenai hal ini, Abu ‘Amrah Sufyan bin ‘Abdullah RA pernah berkata kepada Rasulullah SAW. “Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku tentang Islam satu perkataan yang tidak akan aku tanyakan kepada sesiapa pun kecuali kepada engkau.” Rasulullah SAW bersabda, “Katakanlah, ‘Aku telah beriman kepada Allah.’ Kemudian istiqamahlah kamu.” (HR Muslim).
Dalam Syarhnya, Imam an-Nawawi menyatakan bahawa dalam dua kalimat ini pengertian akidah dan Islam telah terpenuhi secara keseluruhan. Ini selari dengan firman Allah SWT: “Hendaklah kamu istiqamah sebagaimana yang diperintahkan kepadamu.” (TMQ Hud [11]: 112).
Menurut Ibnu ‘Abbas, tidak ada satu ayat al-Quran pun yang diturunkan kepada Rasulullah SAW yang dirasakan lebih berat dari ayat ini. Kerana itu Imam al-Qusyairi berkata, “Istiqamah itu hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang hebat. Ini kerana istiqamah adalah menyimpang dari kebiasaan, melanggar adat dan kebiasaan seharian, berdiri teguh di hadapan Allah SWT dengan ikhlas dan jujur.”
Semoga kita dapat terus istiqamah dalam keimanan dan ketakwaan.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.

