Site icon MuslimahHTM News

Gabenor Homs yang Sederhana, Khalifah Menghormatinya, Rakyat Memberi Kepercayaan

[Kisah Inspiratif] Gabenor Homs yang Sederhana, Khalifah Menghormatinya, Rakyat Memberi Kepercayaan

 

Umar bin Khattab RA pernah melantik Umair bin Sa’ad al-Anshari sebagai gabenor Homs, Syria. Setahun selepas dilantik menjadi gabenor, Umair tidak pernah mengirimkan apa-apa berita kepada Khalifah Umar di Madinah. Keadaan ini membuat Umar tertanya-tanya. Akhirnya, beliau menulis surat kepada Umair.

 

Dalam isi surat yang dihantar melalui setiausahanya, Umar meminta agar Umair segera menemuinya sambil membawa harta fai dari kaum muslim. Umair pun berangkat ke Madinah dengan berjalan kaki dan hanya membawa bekal seadanya. Dia tidak membawa harta fai langsung.

 

Setibanya di Madinah, keadaan tubuhnya sudah pucat dan wajahnya kelihatan kusut penuh debu, sementara bulu-bulu di matanya sudah memanjang. Kemudian, Umair masuk menemui Umar dan memberi salam.

 

Umar bertanya, “Bagaimana keadaanmu?”

 

Umair menjawab, “Saya sihat dan baik-baik sahaja. Saya membawa bekal yang mencukupi.“Umar bertanya lagi, “Engkau datang ke sini dengan berjalan kaki?” Umair menjawab, “Ya.”

 

Apakah tiada seorang pun dari umat Islam yang sudi memberi kuda sebagai pengangkutanmu?” tanya Umar lagi. Umair menjawab, “Tidak. Mereka tidak memberikannya kepadaku. Aku juga tidak meminta kepada mereka.” “Buruk sekali sikap umat Islam di sana hingga tiada seorang pun yang rela membantu kamu,” kata Umar. “Wahai Umar, jangan mengumpat mereka. Mereka adalah orang-orang baik dan sentiasa menunaikan solat subuh,” kata Umair menjelaskan.

 

Apa yang menyebabkan engkau tidak mengirimkan berita sejak sekian lama? Apa yang telah engkau lakukan?”

 

Mengapa engkau tanya begitu, wahai Amirul Mukminin?” Umair kemudian menjelaskan apa yang telah dilakukannya sebagai Gabenor Homs. Dia telah mengumpulkan orang-orang yang dipercayai. Dia juga memerintahkan orang-orang untuk mengumpulkan harta-harta fai. Semua harta itu telah dibahagikan kepada rakyat yang memerlukan. Oleh itu, tiada apa yang dapat dibawa dan dipersembahkan kepada Umar sama sekali.

 

Mendengar penjelasan tersebut, Umar merasa kagum. Dia segera menyuruh setiausahanya untuk membuat surat tugas baru untuk Umair. Mengetahui bahawa dia akan diberi amanah dan tugas lagi, Umair menolak. Dia beralasan bahawa menjadi gabenor itu amat berat. Umair pun memohon izin untuk pulang ke kampung halamannya. Umar memberi izin. Namun, Umar masih merasa tidak percaya dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Umair. Jawatannya sebagai gabenor seakan tidak bermakna apa-apa apabila Umar mengetahui bagaimana kehidupan yang dijalani Umair, yang seolah-olah hidup seperti orang miskin dan susah, walhal dia adalah gabenor Homs di Syria.

 

Meskipun begitu, Umar tetap ingin memastikan keadaan kehidupan Umair sebagai gabenor. Oleh itu, Umar mengutus setiausahanya, Al-Harits, untuk menyiasatnya. Sambil memberikan wang seratus dinar kepada Al-Harits, Umar berkata, “Pergilah ke rumah Umair! Bersikaplah seperti seorang tetamu. Jika engkau melihat sebarang bukti pelanggaran, segera kembali ke sini. Namun, jika engkau mendapati keadaan ekonominya sangat sukar, berikanlah seratus dinar ini kepadanya.”

 

Al-Harits pergi ke rumah Umair dan menginap di sana selama tiga hari. Selama itu, keluarga Umair hanya memiliki sepotong roti gandum. Mereka tidak memakannya, malah roti itu diberikan kepada tamunya, Al-Harits. Setelah tiga hari tanpa makan, Umair dan keluarganya kelaparan. Dalam keadaan seperti itu, Umair berkata kepada Al-Harits, “Engkau telah membuat kami kelaparan. Jika engkau ingin pergi dari sini, kami persilakan!”

 

Al-Harits akhirnya memberikan wang seratus dinar kepada Umair sambil berkata, “Amirul Mukminin mengutusku untuk memberikan ini kepadamu. Gunakanlah harta ini untuk keperluanmu.” Mendengar itu, Umair menolak dan berkata, “Saya tidak memerlukan ini. Tolong kembalikan kepada Khalifah!” Namun, Al-Harits tetap meminta Umair untuk menerimanya. Akhirnya, Umair menerima wang tersebut dan membahagikannya untuk disedekahkan. Umair berkata kepada Al-Harits, “Sampaikan salamku kepada Amirul Mukminin.”

 

Kemudian, Al-Harits kembali kepada Umar. Dia menceritakan bahawa Umair adalah seorang yang sangat kesusahan. Umar bertanya kepadanya tentang bagaimana tindakan Umair dalam menggunakan wang seratus dinar itu. Namun, Al-Harits menjawab, “Saya tidak tahu.”

 

Umar pun memanggil Umair untuk menghadapnya kembali dan menjelaskan tentang wang seratus dinar yang telah diberikan kepadanya. Umair hanya menjawab dengan jawapan yang penuh politik dan rendah hati, “Saya gunakan wang itu untuk kepentingan diriku.” Umar berkata, “Semoga Allah merahmatimu.” Lalu, Umar memberikan satu wasaq (sekitar 130 kg) bahan makanan dan dua potong pakaian kepada Umair untuk dibawa pulang. Umair kemudian berkata, “Saya tidak memerlukan makanan itu. Saya masih memiliki 2 sha’ (sekitar 2 kg) gandum di rumah. Namun, saya mahu menerima pakaian itu. Isteri saya memerlukannya.” [Ibnu al-Jauzi, 500 Kisah Orang Saleh Penuh Hikmah].

 

Hikmah

 

 

Demikianlah kisah Umair bin Sa’ad, seorang pemimpin yang sederhana, adil, bijaksana, zuhud, dan sangat dihormati oleh khalifahnya, Umar bin Khattab RA. Umair menjalani kehidupan zuhud meskipun memegang jawatan sebagai pegawai negara. Khalifah Umar, sebagai pemimpin tertinggi umat Islam, juga selalu berhati-hati dengan memastikan bahawa setiap pegawai yang dilantiknya benar-benar amanah dan menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab.

 

Melalui kisah ini, kita disajikan kembali potret sistem dan kepimpinan Islam yang melahirkan sosok pegawai dan pemimpin negara yang hidup sederhana, amanah, dan mengurus rakyatnya dengan baik dan benar. Betapa makmurnya negara Islam jika pegawai pemimpin  semuanya amanah dan dapat dipercayai dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

 

Sikap pemimpin seperti ini hanya boleh wujud dalam sistem dan kepimpinan Islam secara kaffah, bukan dalam model kepimpinan sekular kapitalisme yang selalu mengutamakan kepentingan diri, parti, dan oligarki kekuasaan. Ketika pemimpin bersikap tegas, dia akan mendapatkan rasa hormat dari rakyatnya. Ketika pemimpin amanah, dia akan dihormati oleh pemimpin di atasnya, dan rakyat pun akan menghargainya.

 

Sumber:

https://muslimahnews.net/2024/12/21/33880/

 

 

 

Exit mobile version