[FIKIH] KEMBALI KEPADA PETUNJUK AL-QURAN
Oleh: Arief B. Iskandar
Banyak manusia menjalani kehidupan tanpa petunjuk. Tiada pedoman. Termasuklah umat Islam di negara ini. Akibatnya, mereka hidup tanpa hala tuju yang jelas. Hendak ke mana? Untuk apa? Akhirnya, mereka tersesat.
Apabila tersesat, mereka pasti keliru. Apabila mereka keliru, mereka pasti gelisah. Tidak bahagia. Apabila tidak bahagia, makna hidup sudah hilang. Harta mungkin banyak. Anak mungkin ramai. Jawatan tinggi. Pencapaian dan prestij yang menjulang tinggi. Kekayaan negara mereka juga melimpah ruah. Namun, hidup terasa kosong. Rasa tidak berguna. Apabila ini berlaku, yakinlah bahawa mereka pasti telah jauh dari petunjuk al-Quran.
Padahal jelas, Allah SWT telah berfirman (yang bermaksud): “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang lebih lurus…” (TMQ al-Isra’ [17]: 9).
Jika kita kembali kepada petunjuk al-Quran, sudah pasti kita akan mendapat jalan penyelesaian kepada semua masalah yang kita hadapi dalam kehidupan ini. Sebab, al-Quran telah memberikan penjelasan tentang segala sesuatu sebagaimana firman-Nya (yang bermaksud):
“Kami turunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelas segala sesuatu, petunjuk, rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (TMQ an-Nahl [16]: 89).
Kembali kepada petunjuk al-Quran menuntut kita untuk mengamalkan dan melaksanakan hukum-hukum al-Quran, baik dalam masalah akidah, ibadah, makanan, minuman, pakaian dan akhlak; dalam hal perkahwinan dan keluarga; atau dalam hal ekonomi, politik dalam dan luar negara, kekuasaan, pemerintahan, jenayah dan hukuman. Kewujudan semua ini akan menjadi sempurna melalui penerapan syariah Islam secara kaffah. Hanya dengan begitu, keberkatan akan dikurniakan kepada bangsa ini termasuk kita di dalamnya.
Firman Allah SWT (yang bermaksud): “Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi…” (TMQ al-A’raf [7]: 96).
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.

