Kemuliaan Rejab dan Nasib Umat
Sungguh beruntung kaum muslim. Banyak keberkatan pada setiap waktu yang datang kepada kita. Seperti saat ini, pada bulan Rejab banyak kebaikan yang Allah SWT limpahkan kepada hamba-hamba-Nya yang mengerjakan amal soleh. Ini kerana Rejab merupakan salah satu bulan yang Allah SWT muliakan.
Kebaikan tersebut tentu perlu diusahakan. Ia tidak datang begitu saja. Semuanya bergantung pada kuat lemahnya keimanan dan amalan yang kita curahkan.
Bulan Mulia dan Bulan Haram
Para ulama menjelaskan bahawa Rejab adalah salah satu dari empat bulan haram yang Allah SWT muliakan. Ini berdasarkan firman-Nya:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلاَ تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).” [TMQ At-Taubah (9): 36]
Perincian bulan haram itu disebutkan oleh Rasulullah SAW,
إنَّ الزَّماَنَ قَدْ اِسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اِثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُوْ الْقَعْدَةِ، وَذُوْ الْحِجَّةِ، وَالْمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ شَهْرُ مُضَرَّ الَّذِيْ بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
“Sungguh waktu itu telah diputar sebagaimana keadaannya saat Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan haram (suci). Tiga berurutan iaitu Zulkaidah, Zulhijah dan Muharam. Lalu Rejab bulan Mudharr yang terdapat di antara Jumada dan Sya’ban.” (HR Muslim).
Kemuliaan Rejab banyak diterangkan oleh para ulama. Ibnu Faris menjelaskan bahawa secara bahasa, “Rejaba” bermaksud mengagungkan, menakutkan, menghormati. “Rejaba” juga bermakna mengukuhkan atau menguatkan sesuatu dengan sesuatu yang lain. (Ibnu Faris, Mu’jam Maqaayis al-Lughah, hlm. 445).
Kemuliaan dan keistimewaan Rejab di antaranya terdapat dalam hadis mursal yang diriwayatkan oleh Imam Asy-Syaukani dari Imam Hasan al-Bashri. Disebutkan bahawa Nabi Muhammad SAW menyebut Rejab sebagai bulan milik Allah (syahrulLâh) yang menandakan kemuliaan dan keutamaannya. Beliau bersabda,
رَجَبُ شَهْرُ اللهِ، وَ شَعْبَانُ شَهْرِيْ، وَ رَمَضَانُ شَهْرُ أُمَّتِيْ
“Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku, dan Ramadan adalah bulan umatku.” (Asy-Syaukani, Nayl al-Awthâr, 4/293, Maktabah Syamilah).
Adapun tentang sebutan bulan haram banyak penjelasannya. Di antaranya, menurut Al-Qadhi Abu Ya’la rahimahulLâh, “Dinamakan bulan haram kerana dua makna. Pertama, pada bulan tersebut diharamkan berbagai pembunuhan. Orang-orang jahiliah juga meyakini demikian. Kedua, pada bulan tersebut terdapat larangan untuk melakukan perbuatan haram lebih ditekankan daripada bulan yang lainnya kerana mulianya bulan tersebut. Pada saat itu pun sangatlah baik untuk melakukan amalan ketaatan.” (Lihat: Ibnu al-Jauzi, Zâd al-Masîr, Tafsir QS At-Taubah ayat 36).
Amalan yang Dianjurkan
Ada dua perkara penting yang perlu dilakukan oleh setiap umat Islam khususnya di bulan Rejab ini. Pertama, setiap hamba yang beriman dan mendambakan keredhaan Allah hendaklah segera memperbanyakkan amal soleh, baik yang wajib mahupun sunnah, tanpa berlengah-lengah. Allah SWT berfirman,,
وَسَارِعُوْٓا اِلٰى مَغْفِرَةٍ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالْاَرْضُۙ اُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِيْنَۙ
“Bersegeralah kalian meraih ampunan dari Tuhan kalian dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi kaum yang bertakwa.” [TMQ Ali Imraan (3): 133]
Amal soleh tentunya mempunyai kriteria yang khusus. Tidak setiap amal yang dipandang baik dikatakan sebagai amal soleh. Suatu perbuatan dikatakan amal soleh jika ianya bersesuaian dengan perintah dan larangan Allah SWT atau mengikuti syariat-Nya. Adalah keliru jika seorang muslim menyangka amal soleh sekadar melakukan amal kebaikan menurut pandangan dirinya, atau menurut pandangan umum, atau menurut hukum buatan manusia yang berlaku. Nabi Muhammad SAW bersabda,
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
“Siapa saja yang mengerjakan suatu amalan yang tidak ada dalam agama kami, maka ia tertolak.” (HR Muslim).
Contohnya, seorang muslim menyangka telah berbuat baik kepada keluarganya kerana telah menafkahi mereka, sedangkan ia menafkahi mereka dari jalan usaha yang haram seperti muamalah ribawi, menerima rasuah dan sebagainya Contoh lain, seorang penguasa merasa telah mengambil keputusan yang baik dengan menyerahkan kepemilikan dan pengelolaan sumber daya alam kepada syarikat swasta, sedangkan sebenarnya sumber daya alam itu adalah milik umat yang perlu dikawal oleh negara untuk kemaslahatan mereka. Contoh lainnya lagi, seorang muslim menyangka telah menyelamatkan masyarakat dari bahaya kelompok Islam tertentu yang dituding “radikal” hanya kerana mereka sedang memperjuangkan tegaknya syariat Islam, sedangkan menegakkan syariat Islam adalah kewajipan setiap muslim. Mengabaikan syariat Islam, apatah lagi menghalang penegakannya, adalah tindakan mungkar.
Inilah orang-orang yang menyangka telah beramal baik, sedangkan sesungguhnya mereka itu merugi. Allah SWT. berfirman,
قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا
“Katakanlah, ‘Mahukah kalian aku beri tahu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya? Mereka adalah orang-orang yang sia-sia perbuatannya di dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat sebaik-baiknya.’.” [TMQ Al-Kahfi (18): 103—104]
Di antara amal soleh yang besar keutamaannya adalah menjadi pemimpin yang adil. Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang menerapkan syariat Islam secara kaffah dan hidup dalam naungan hukum-hukum Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda,
يَوْمٌ مِنْ إِمَامٍ عَادِلٍ خَيْرٌ مِنْ عِبَادَةِ سِتِّينَ سَنَةً، وَحَدٌّ يُقَامُ فِي الْأَرْضِ بِحَقِّهِ أَزْكَى مِنْ مَطَرِ أَرْبَعِينَ صَبَاحًا
“Sehari bersama seorang pemimpin yang adil lebih utama daripada beribadah 60 tahun. Satu hukum yang ditegakkan dengan haq di bumi lebih suci daripada hujan 40 hari.” (HR Ath-Thabarani).
Kedua, seorang hamba yang takut dengan dosa dan seksaan Allah SWT sepatutnya bersegera meninggalkan berbagai kezaliman. Ini kerana pada bulan Rejab, balasan atas perbuatan zalim juga dilipatgandakan. Imam Qatadah rahimahulLâh dalam tafsirnya menjelaskan, “Kerana kezaliman yang dilakukan pada bulan-bulan haram lebih besar kesalahan dan dosanya daripada kezaliman yang dilakukan pada bulan-bulan selainnya.”
Al-Jurjani menjelaskan zalim adalah “melampaui batas kebenaran sehingga masuk pada kebatilan dan itu adalah maksiat”. (Az-Zurjani, At-Ta’rifât, hlm. 186, dinukil dari Mawsû’ah Akhlâq Durar as-Saniyyah).
Oleh kerana itu, di bulan Rejab ini kaum muslim sepatutnya lebih bersemangat untuk meninggalkan kezaliman dan kemaksiatan. Di antara sifat zalim yang perlu segara dihilangkan adalah menolak penerapan hukum-hukum Allah. Allah SWT. berfirman,
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ
“Siapa saja yang tidak memutuskan hukum berdasarkan wahyu yang telah Allah turunkan, mereka itulah kaum yang zalim.” [TMQ Al-Ma’idah (5): 45]
Amal Utama
Kita bergembira menyaksikan kaum muslim pada setiap bulan Rejab berlumba-lumba untuk mengerjakan berbagai amal kebaikan. Hanya saja, banyak amal kebaikan itu baru berupa amal-amal peribadi, belum berupa amalan yang memberi kesan pada kepentingan umat.
Pada hari ini kita menyaksikan saudara-saudara seiman di berbagai belahan dunia mengalami penindasan oleh kaum kafir mahupun oleh penguasa mereka sendiri.
Umat Islam di Gaza masih terancam dengan tindakan keji genosid Zi0nis Yahudi. Setiap hari 160 kanak-kanak Gaza mati di tangan tentera Zi0nis. Setiap hari 10 kanak-kanak Gaza menjadi cacat akibat serangan Yahudi yang kejam. Penduduk Gaza juga telah hidup tanpa elektrik selama berminggu-minggu, kekurangan air dan juga makanan. Hari ini 800 ribu penduduk Gaza terancam mati kerana kelaparan dan kekurangan air.
Nasib umat Islam Rohingya juga tidak kurang menyayat hati. Mereka juga diancam oleh pembunuhan beramai-ramai daripada pemerintah Myanmar dan kumpulan radikal Buddha. Penduduk Arkhan telah diusir dari negeri mereka sendiri dan terkandas. Baru-baru ini, muncul kelompok yang menggesa agar pelarian Rohingya ditolak atas pelbagai sebab.
Sementara itu, pemerintah Islam terus bermain retorik tanpa tindakan nyata. Mereka tidak pernah menghantar bantuan yang sangat diperlukan oleh penduduk Gaza atau Myanmar. Malah, ada di kalangan pemerintah yang secara terang-terangan bersekongkol dengan Zi0nis Yahudi, kerajaan Myanmar, dan juga negara-negara imperialis seperti Amerika Syarikat, Britain dan lain-lain.
Nasib yang tidak kurang menyayat hati turut dialami oleh umat Islam Uighur di China, India atau Syria. Mereka dianiaya oleh pemerintah di negara tempat mereka tinggal.
Oleh kerana itu, umat memerlukan amal besar dan nyata untuk menolak berbagai kezaliman ini. Kezaliman ini tidak dapat hilang, kecuali dengan adanya pemimpin yang tampil sebagai junnah (perisai) bagi umat. Itulah khalifah yang akan menerapkan syariat Islam. Khalifah jugalah yang akan memberikan pembelaan terhadap kaum muslim yang tertindas, sekaligus memberikan bantuan dan mengirimkan pasukan yang akan membebaskan negeri-negeri muslim dari berbagai kezaliman.
WalLâhu a’lam.
Hikmah
Allah SWT berfirman:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا يَجِدُواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيۡتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا
“Demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) hakim atas perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati atas putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima keputusan tersebut dengan sepenuh hati.” [TMQ an-Nisaa’ (4): 65]
Sumber : Buletin Islam Kaffah

