Site icon MuslimahHTM News

Pinjaman Yang Bukan Riba, Tetapi Menghasilkan Keuntungan Berlipat Ganda

Pinjaman Yang Bukan Riba, Tetapi Menghasilkan Keuntungan Berlipat Ganda

 

Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar

 

Mengapa riba tumbuh seperti cendawan? Mengapakah transaksi riba semakin tidak terkawal? Mengapa ramai orang tergoda dengan perniagaan pinjaman wang berasaskan faedah?

 

Tidak lain kerana meminjamkan wang beriba adalah perniagaan yang pasti menguntungkan. Tidak mungkin rugi. Selain itu, dari sudut pandang duniawi dan dari kaca mata para kapitalis, ianya juga merupakan satu bentuk perniagaan yang tidak berisiko sama sekali.

 

Sedangkan telah jelas riba adalah dosa besar. Malah, Rasulullah SAW bersabda, “dosa riba lebih besar daripada dosa berzina dengan 36 orang pelacur.” (HR Ahmad, al-Baihaqi dan ath-Tabarani).

 

Malangnya, ramai orang tidak tahu bahawa terdapat “perniagaan pinjaman” yang jauh lebih menguntungkan. Pembayaran juga boleh menghasilkan keuntungan yang berlipat kali ganda. Boleh jadi beribu peratus. Ini jauh berbeza dengan perniagaan pinjaman riba yang hanya menjana keuntungan puluhan peratus. Apakah itu? Tidak lain dan tidak bukan: Pinjaman kepada Allah SWT.

 

Sedekah, wakaf atau infak di jalan Allah SWT pada hakikatnya adalah sejenis “pinjaman” yang kita serahkan kepada Allah SWT. Pinjaman kepada Allah SWT ini akan “dibayar” dengan bayaran yang menghasilkan keuntungan berlipat kali ganda. Boleh jadi di akhirat dalam bentuk pahala berganda. Boleh juga pada masa yang sama di dunia dalam bentuk keluasan dan keberkatan rezeki. Allah SWT sendiri berfirman:

 

مَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً

“Siapakah orang yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?” (TMQ al-Baqarah [2]: 245).

 

Kerana keyakinan akan “pembayaran” yang berlipat kali ganda itulah, Abdurrahman bin Auf RA adalah antara sahabat Rasulullah SAW yang paling rajin bersedekah, berinfak atau wakaf untuk kepentingan Islam dan umat Islam. Misalnya, beliau pernah menginfakkan separuh hartanya pada zaman Rasulullah SAW. Ditambah sedekah 40 ribu dinar. Selain itu, beliau juga pernah mendermakan 500 ekor unta dan 500 ekor kuda untuk kepentingan jihad fi sabilillah (Al Ishaabah, II/416).

 

Selain itu, Aisyah RA dan Asma RA juga suka bersedekah dan berinfak. Abdullah bin Zubair RA berkata, “Aku tidak melihat dua wanita yang lebih pemurah daripada Aisyah dan Asma walaupun cara mereka berbeza. Aisyah pernah mengumpul wang sedikit demi sedikit. Selepas mengumpul menjadi banyak, dia menginfak semua hartanya. “Asma tidak pernah sedikit pun menyimpan harta sehingga keesokan harinya (kerana dia menginfakkan semuanya pada hari itu juga).” (HR al Bukhari dalam Adab al-Mufrad).

 

Rasulullah SAW sendiri tidak suka jika terdapat banyak harta di rumahnya. Kerana itu, beliau misalnya, pernah masuk ke rumah Ummu Salamah RA, salah seorang isterinya dengan wajah yang muram. Kerana bimbang beliau sakit, Ummu Salamah RA bertanya, “Mengapa wajahmu kelihatan muram?” Beliau menjawab, “Ini kerana tujuh dinar yang kami terima semalam, tetapi sehingga petang wang itu masih di bawah tilam (belum diinfakkan).” (HR Ahmad dan Abu Ya’la).

 

Bagaimana dengan kita? Semoga kita sentiasa berminat untuk kerap memberikan “pinjaman” kepada Allah SWT, yang pastinya akan menghasilkan bayaran ditambah dengan keuntungan yang luar biasa, di dunia dan khususnya di akhirat dalam bentuk pahala yang berlipat kali ganda.

 

Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.

 

Exit mobile version