[HADIS] NASIHAT KEMATIAN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
MENGAPA ramai orang zalim? Mengapa ramai orang suka melakukan maksiat? Mengapa ramai orang malas beribadah? Mengapa ramai orang masih enggan untuk bersedekah, apalagi berwakaf?
Jawapannya boleh jadi hanya satu: Kerana kebanyakan orang tidak mengingati kematian. Saat orang tidak lagi ingat mati, dia akan banyak terlena dalam kehidupan dunia. Seolah-olah dia lupa Hari Perhitungan di akhirat kelak.
Kerana itu, banyak mengingati mati amatlah penting bagi setiap muslim. Banyak mengingati mati akan mampu membuat orang zalim segera menghentikan kezalimannya. Banyak mengingati mati akan menjadikan orang fasik sanggup menghentikan kemaksiatannya. Banyak mengingati mati juga akan mendorong seorang mukmin untuk terus memperbanyakkan amal soleh sebagai bekal dirinya saat menghadap Allah SWT di akhirat nanti.
Orang yang banyak mengingat mati akan banyak rasa takutnya kepada Allah SWT. Saat memiliki rasa takut kepada Allah SWT, dia akan banyak terdorong untuk melakukan ibadah. Dia tidak akan banyak berangan-angan. Ini sebagaimana dikatakan oleh Hatim al-Ashim: “Perhiasan ibadah adalah rasa takut (kepada Allah SWT) dan tanda rasa takut kepada Allah SWT adalah sedikit berangan-angan.” (Al-Malibari, Al-Isti’daad li al-Mawt wa Su’aal al-Qubr, I/1).
Rasulullah SAW bersabda:
َأَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ
“Perbanyaklah oleh kalian mengingati penghancur kenikmatan, iaitu maut.” (HR at-Tirmidzi).
Beliau juga bersabda:
َتَرَكْتُ فِيْكُمْ نَاطِفَاً وَصَامِتاً، فَالنَّاطِقُ هُوَ الْقُرْآنُ وَ الصَّامِتُ هُوَ الْمَوْتُ
“Aku telah meninggalkan dua perkara: yang berbicara dan yang diam. Yang berbicara adalah al-Quran. Yang diam adalah kematian.” (Al-Malibari, Al-Isti’daad, I/3).
Kerana itu cukuplah Al-Quran dan kematian sebagai nasihat bagi siapa saja yang memerlukan nasihat. Jika kedua nasihat ini tidak cukup, lalu bagaimana mungkin selain keduanya dapat berguna bagi dirinya? (Al-Malibari, Al-Isti’daad, I/3).
Apatah lagi Rasulullah SAW juga telah menegaskan dalam sabdanya yang lain:
ِكَفَى بِالْمَوْتِ وَاعِظًا وَكَفَى بِالْيَتَيْنِ غِنِّى وَكَفَى بِالْعِبَادَةِ شُغْلًا
“Cukuplah kematian sebagai nasihat. Cukuplah keyakinan (akan rezeki) sebagai kekayaan. Cukuplah ibadah sebagai kesibukan.” (HR al-Baihaqi).
Alhasil, mari kita banyak mengingat kematian agar kita selalu terdorong untuk memperbanyakkan amal soleh sebagai bekalan saat menghadap Allah SWT di akhirat kelak.
Wa maa tawfiiqii illa bilLaah.

