Site icon MuslimahHTM News

Bencana Besar di Semenanjung Gaza tanpa Penolong atau Penyelamat!!

[Kenyataan Media] Bencana Besar di Semenanjung Gaza tanpa Penolong atau Penyelamat!!

 

Selepas kira-kira lima belas bulan pencerobohan Yahudi di Semenanjung Gaza, sistem penjagaan kesihatan di sana hampir runtuh. Kebanyakan kemudahan kesihatan, hospital dan pusat kesihatan, telah musnah bersama segala yang di dalamnya. Manakala yang masih beroperasi pula kekurangan doktor, ubat-ubatan, ambulans, rawatan, elektrik dan air, yang telah menyebabkan krisis kesihatan awam yang dahsyat. Ini telah membawa kepada peningkatan mendadak dalam jumlah kematian dan kecederaan, serta peningkatan kadar penyakit fizikal dan psikologi.

 

Kemusnahan sektor kesihatan ini telah memberi kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan mental wanita, disebabkan oleh akses yang terhad kepada rawatan asas, yang membawa kepada kesan-kesan kesihatan jangka pendek dan jangka panjang. Dianggarkan 177,000 wanita menghadapi risiko kesihatan yang mengancam nyawa, termasuk 162,000 wanita yang menghidap atau berisiko menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, kanser, penyakit jantung atau tekanan darah tinggi; dan 15,000 wanita hamil berada di ambang kelaparan. Kesemua angka ini mungkin akan meningkat selagi perang berterusan, lintasan ditutup dan ubat-ubatan yang diperlukan serta bekalan perubatan tidak dibenarkan masuk.

 

Bagi kira-kira 155,000 wanita hamil dan menyusui, perang telah mewujudkan keadaan yang menakutkan dan mimpi ngeri yang gelap. Dengan pemindahan berulang, keletihan, kelesuan, kekurangan keselesaan, trauma dan kelaparan, para wanita ini menghadapi kekurangan penjagaan sebelum dan selepas bersalin yang teruk di tempat perpindahan, dengan peningkatan komplikasi semasa kehamilan dan kelahiran serta kekurangan ubat-ubatan yang diperlukan untuk bayi baru lahir. Mereka tidak mendapat rawatan perubatan yang paling asas kerana kebanyakan pusat perubatan telah berhenti menerima mereka, disebabkan oleh kerosakan selepas menjadi sasaran pesawat perang Israel.

 

Mereka juga hampir tidak mendapat bekalan air dan makanan yang minimum, kebanyakannya tidak bersih, di samping kekurangan penjagaan diri, air bersih, dan privasi dalam menggunakan kemudahan kesihatan yang telah menyebabkan banyak penyakit-berjangkit serta jangkitan kuman dan virus akibat ketiadaan persekitaran yang sihat yang sesuai dengan keadaan khusus mereka.

 

Di samping itu, seperti yang dinyatakan oleh seorang doktor, mereka kehilangan beberapa ibu dan janin semasa bersalin, disebabkan oleh kelemahan badan dan ketidakupayaan mereka untuk menanggung kesakitan, ketakutan, panik dan kejutan yang mungkin menjejaskan janin. Selain kekurangan imuniti yang diperlukan untuk melindungi mereka daripada kematian, mereka mengalami kesukaran bersalin atau keguguran, disebabkan keadaan yang teruk dan pengeboman berterusan yang menghalang ketibaan bantuan perubatan dan penjagaan yang diperlukan. Walaupun selepas bersalin, kekurangan makanan dan tekanan berterusan mendedahkan mereka dan bayi baru lahir kepada risiko kesihatan yang seterusnya. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kita telah melihat bayi yang mati akibat kesejukan, kedinginan, kekurangan pakaian dan pemanasan, dan juga kekurangan tempat tinggal yang mencukupi.

 

Penderitaan wanita hamil dan apa yang berlaku kepada mereka dan anak-anak mereka adalah satu lagi gambaran kekejaman dan genosid yang dilakukan oleh orang Yahudi di Semenanjung Gaza. Sama seperti mereka membunuh orang yang tidak bersalah secara langsung, peperangan ini juga menyebarkan toksin di udara yang dihasilkan oleh gas roket dan peluru, lalu dihidu oleh orang ramai, termasuk wanita hamil (sudah semestinya), yang mendedahkan mereka kepada komplikasi yang paling berbahaya iaitu keguguran.

 

Segala bentuk penderitaan yang melibatkan semua golongan mangsa ini berlaku di hadapan mata dan telinga dunia, di hadapan institusi dan organisasi kesihatan global dengan pelbagai gelaran dan fungsinya, di hadapan para penguasa umat Islam yang tidak bergerak sedikit pun untuk meringankan penderitaan dan menghentikan jenayah ini. Tetapi tidak lama lagi, insyaAllah, Allah SWT akan menyiapkan hamba-hambaNya yang ikhlas yang akan menyelamatkan mereka di Gaza dan seluruh Tanah Berkah daripada orang-orang Yahudi dan membuat mereka merasai segala jenis azab yang patut mereka terima.

 

إِنَّهُمْ يَرَوْنَهُ بَعِيداً * وَنَرَاهُ قَرِيباً

“Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku), sedang Kami memandangnya dekat, (tetap akan berlaku)” [TMQ al-Ma’arij: 6-7]

 

Bahagian Muslimah

Pejabat Media Pusat Hizb ut Tahrir

Exit mobile version