KESETIAAN DALAM BEKERJA
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Maksud Kesetiaan
Menurut Kamus Dewan, kesetiaan bermaksud kepatuhan dan ketaatan. Dengan demikian, kesetiaan dalam bekerja boleh dimaknakan sebagai kepatuhan (ketaatan) dalam bekerja, iaitu ketaatan pekerja kepada pemimpin di tempat kerja.
Sebagai contoh, kepimpinan mewajibkan peraturan jam kerja bagi para pekerja, bahawa setiap pekerja datang kerja jam 8.00 pagi dan pulang pada jam 4.00 petang. Jika pekerja mentaati peraturan tersebut, maka pekerja tersebut disebut mempunyai kesetiaan dalam bekerja. Jika pekerja itu tidak disiplin dalam mentaati peraturan jam kerja tersebut, bermaksud pekerja itu kurang mempunyai kesetiaan dalam bekerja.
Kesetiaan Dalam Bekerja Dalam Pandangan Islam
Dalam Islam, apa yang disebut kesetiaan maknanya lebih kurang sama dengan ketaatan. Ketataan ini dapat didefinisikan sebagai melaksanakan perintah-perintah kepimpinan (atasan) dan meninggalkan larangan-larangan dari kepimpinan (atasan).
Islam telah mewajibkan setiap muslim untuk mentaati pemimpinnya, selama apa yang diperintahkan bukan perkara maksiat. Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنْ يُطِعْ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ يَعْصِ الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي
“Barangsiapa yang mentaati pemimpinnya, maka sungguh dia telah mentaati aku, dan barangsiapa yang tidak taat kepada pemimpinnya, maka sungguh dia telah tidak taat kepadaku.” (HR. Al-Bukhari, no. 2737).
Hadis ini telah menunjukkan hukum umum mengenai wajibnya mentaati pemimpin (al-amir), baik itu pemimpin umat Islam secara umum, iaitu Imam (Khalifah), mahupun pemimpin-pemimpin lainnya, seperti pemimpin sebuah perjalanan (Amirus Safar), pemimpin perjalanan haji (Amirul Hajj), pemimpin pasukan jihad (Amirul Jihad), termasuk juga pemimpin dalam sebuah lembaga, contohnya pengetua sekolah, pengarah perusahaan dan sebagainya.
Namun kewajipan untuk mentaati pemimpin dalam Islam ini, terbatas pada hal-hal yang ma’ruf (yang sesuai dengan ajaran Islam), tidak boleh ada ketaatan kepada pemimpin dalam hal-hal yang mungkar atau maksiat, baik berupa perbuatan meninggalkan yang wajib (tarkul wajib) mahupun perbuatan melakukan yang haram (irtikabul haram).
Perhatikan sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Ibnu Umar RA berikut ini:
عَنْ نَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ أَوْ كَرِهَ إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ
Dari Nafi’ dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, “Mendengar dan mentaati (pemimpin) adalah wajib atas setiap muslim baik dalam perkara yang dia sukai atau pun yang dia benci kecuali jika diperintahkan untuk berbuat maksiat. Jika dia diperintahkan untuk berbuat maksiat, tidak boleh mendengar dan mentaati (pemimpin).” (HR. Ahmad, no. 5996).
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الطَّاعَةَ فِي الْمَعْرُوْفِ
“Sesungguhnya ketaatan itu hanya pada yang ma’ruf (kebaikan sesuai Islam) saja.” (HR. Muslim, nombor 4742; Al-Bukhari nombor 7145 dan 7257, Abu Dawud nombor 2625).
Rasulullah SAW telah bersabda :
لاَ طَاعَةَ لِمَخْلُوْقٍ فِيْ مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ
“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam berbuat maksiat kepada sang Khaliq (Allah).” (HR. Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf, VI/545 nombor 33717, Abdurrazzaq dalam Al-Mushannaf II/383 nombor 3788). (https://almanhaj.or.id/2560).
Dengan demikian, kesetiaan atau ketaatan dalam bekerja, hukum asalnya adalah wajib menurut syariah Islam. Apa yang menjadi polisi pemimpin, hukum asalnya adalah wajib ditaati oleh seluruh pekerjanya, baik ketaataan dalam menjalankan peraturan jam kerja, contohnya, atau peraturan penggajian, peraturan tentang pakaian (uniform), peraturan tentang kenaikan pangkat, peraturan tentang hukuman dan sebagainya.
Dikecualikan dari kewajipan untuk taat tersebut, adalah segala sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Jadi jika ada polisi atau peraturan dari kepimpinan yang bertentangan dengan Islam, pekerja tidak boleh mentaatinya, dan di samping itu, pekerja berhak dan wajib untuk memberikan nasihat yang baik kepada pimpinannya atau atasannya.
Sebagai contoh, terdapat peraturan bahawa pekerja akan menerima gaji melalui akaun bank, tetapi ternyata banknya adalah bank konvensional yang memberikan bunga (riba). Contoh lain, terdapat peraturan bahawa pekerja dikehendaki mengambil insurans konvensional tertentu yang ditetapkan oleh syarikat. Atau terdapat peraturan mengenai pakaian pejabat (uniform) atau pakaian seragam yang melarang pemakaian pakaian muslimah iaitu tudung/hijab (khimar) dan jubah (jilbab). Ataupun terdapat peraturan mengenai penyusunan susun atur pejabat yang menimbulkan kekeliruan (bercampur aduk) antara pekerja lelaki dan perempuan. Ataupun ada peraturan yang menyukarkan pekerja untuk solat, contohnya hanya diberi masa 15 minit untuk solat, dan sebagainya.
Ini adalah contoh peraturan-peraturan dari kepimpinan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam, yang tidak wajib ditaati oleh pekerjanya, dan pekerja berhak dan bahkan wajib untuk memberikan nasihat yang baik kepada pimpinannya atau atasannya. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطعْ فَبِقَلبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإيْمَانِ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ
“Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, hendaklah dia ubah dengan lisannya dan jika dia tidak mampu, hendaklah dia ingkari dengan hatinya. Dan inilah selemah–lemahnya iman.” (HR. Muslim).
Wallahu a’lam.

