[NAFSIYAH] TAUBAT SEBELUM AJAL MENDEKAT
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Para ulama berpendapat bahawa taubat adalah wajib bagi setiap individu atas setiap dosa yang dilakukan, sama ada dosa besar atau kecil, sama ada yang bersifat lahiriah atau batiniah, seperti iri hati dan dengki. Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan hak Allah dan tidak melibatkan hak manusia, maka syarat taubatnya ada tiga (3): meninggalkan dosa yang telah dilakukan sepenuhnya; menyesali perbuatan itu; bertekad untuk tidak mengulanginya lagi selama-lamanya. Jika salah satu daripada tiga syarat ini tidak dipenuhi, maka taubat itu tidak sah.
Namun, jika dosa yang dilakukan melibatkan hak manusia, maka syarat taubatnya ada empat (4): tiga syarat yang disebutkan di atas, ditambah dengan mengembalikan hak kepada pemiliknya; jika berupa harta yang dirampas, maka harta tersebut hendaklah dikembalikan kepada pemiliknya; jika berupa tercemar nama baik atau tuduhan palsu, maka taubatnya adalah dengan menerima hukuman (had qadzaf) atau meminta maaf kepada yang dituduh; jika ia berkaitan dengan perbuatan mengumpat (ghibah) orang, maka dia perlu meminta kerelaan orang yang diumpat tersebut; dan seterusnya. [Muhammad ‘Allan ash-Shiddiqi, Dalil al-Falihin li Thuruq Riyadh ash-Shalihin, I/54].
Dalil mengenai kewajipan bertaubat banyak dijumpai dalam Al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak. Dalam Al-Quran contohnya, Allah SWT berfirman (yang bermaksud): “Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah SWT, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung” [TMQ An-Nur (24): 31]; “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu dengan taubat nasuha” [TMQ At-Tahrim (66): 8].
Baginda Rasulullah SAW juga bersabda, antara lain, “Demi Allah, aku benar-benar beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih daripada 70 kali.” [HR al-Bukhari]; “Wahai manusia, bertaubatlah kalian dan beristighfarlah kepadaNya, kerana sesungguhnya aku pun bertaubat kepadaNya sehari seratus kali.” [HR Muslim].
Berkaitan dengan taubat ini, seorang ulama pernah ditanya, “Apakah seorang hamba yang bertaubat dapat diketahui taubatnya diterima atau ditolak oleh Allah SWT?” Beliau menjawab, “Tidak ada seorang pun yang mengetahuinya. Namun, ada enam (6) tanda bahawa taubat seseorang itu diterima oleh Allah SWT iaitu dia merasa dirinya tidak bebas daripada dosa (sehingga dia banyak beristighfar kepada Allah SWT); hatinya tidak merasa tenang dan sentiasa bersedih kerana dosa-dosanya; sentiasa mendekati orang-orang yang berbuat kebaikan dan berusaha menjauhi orang-orang yang berbuat kejahatan (kerana takut jatuh ke dalam kemaksiatan); memandang sedikitnya harta dunia sebagai banyak (sehingga dia tetap bersyukur) dan memandang banyaknya amal soleh untuk akhirat sebagai sedikit (sehingga dia terus berusaha memperbanyakkan amal soleh); hatinya selalu sibuk dengan apa sahaja yang telah Allah SWT perintahkan kepadanya (baik yang wajib mahupun yang sunnah) dan tidak menyibukkan diri dengan apa yang tidak Allah SWT perintahkan kepadanya (yang makruh apatah lagi yang haram); serta sentiasa menjaga lisan dan membiasakan diri menyesali dosa.” [an-Nawawi, Nasha’ih al-Ibad, hlm. 48-49].
Wa ma tawfiqi illa billah wa ’alaihi tawakkaltu wa ilaihi unib.

