HAKIKAT KASIH SAYANG ALLAH SWT
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Ramai orang mengukur kemuliaan berdasarkan rezeki yang diperolehnya. Ramai yang beranggapan bahawa seseorang yang kaya-raya atau memiliki banyak rezeki bermakna dimuliakan dan disayangi oleh Allah SWT. Tidak kurang juga yang menyangka bahawa seseorang yang sedikit rezekinya atau miskin tidak dimuliakan dan tidak disayangi oleh Allah SWT.
Hakikatnya, kekayaan bukanlah ukuran kemuliaan. Kemiskinan pula bukan ukuran kehinaan. Orang kaya tidak semestinya disayangi oleh Allah SWT, dan orang miskin tidak semestinya tidak disayangi olehNya.
Ini kerana Allah Maha Pengasih (Ar-Rahman). Dengan sifatNya ini, Allah SWT mengasihi semua makhluk tanpa pilih kasih. Mukmin mahupun kafir, semua diberikan rezeki oleh Allah SWT. Orang yang bertakwa atau pendosa, semua diberi nikmat yang pelbagai. Orang yang taat atau pembuat maksiat, semuanya Allah SWT berikan kesihatan. Oleh itu, apabila seseorang diberikan banyak rezeki, pelbagai nikmat, dan kesihatan yang baik, ia tidak bermakna secara automatik bahawa dia disayangi oleh Allah SWT, kecuali jika semua itu menjadikan dirinya semakin taat kepada Allah SWT.
Sebaliknya, Allah Maha Penyayang (Ar-Rahim). Semua makhluk memang dikasihi oleh Allah SWT, hatta orang kafir dan para pendosa. Semua diberikan rezeki tanpa pengecualian. Semua diberi nikmat tanpa diskriminasi. Namun begitu, hanya kaum Mukmin yang layak mendapat kasih sayang Allah [TMQ al-Ahzab (33): 43]. Mereka inilah yang layak memasuki syurgaNya yang abadi.
Mengapa? Kerana hanya orang Mukmin yang mampu menjadikan seluruh rezeki dan nikmat Allah SWT sebagai sarana untuk sentiasa taat dan mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Mereka memanfaatkan rezeki dan nikmat Allah SWT untuk beribadah kepadaNya, menafkahi keluarga mereka, berinfak di jalan Allah, membantu mereka yang memerlukan, bersedekah, dan berwakaf demi kepentingan Islam dan kaum Muslimin, serta banyak lagi. Mereka inilah Mukmin yang sebenar-benarnya, sebagaimana firmanNya:
الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ – أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا لَهُمْ دَرَجَاتٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
“Orang-orang yang mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang telah Kami berikan kepada mereka, mereka itulah kaum Mukmin yang sebenarnya; mereka memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan mereka, mendapatkan ampunanNya, dan rezeki yang mulia.” [TMQ al-Anfal (8): 3-4].
Wa ma tawfiqi illa billah wa ’alaihi tawakkaltu wa ilaihi unib.

