Site icon MuslimahHTM News

Thalab an-Nusrah, Pemberian an-Nusrah dan Pertolongan Allah SWT

[Soal Jawab] Thalab an-Nusrah, Pemberian an-Nusrah dan Pertolongan Allah SWT

 

Soalan:

 

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Semoga Allah memberikan taufik dan ganjaran yang baik kepada anda.

 

Terdapat thalab an-nusrah, dan terdapat juga pemberian an-nusrah, serta pertolongan Allah. Adakah pemberian itu adalah an-nusrah? Sebagaimana yang disebutkan dalam Sîrah, seperti yang saya ingat: Ibnu Hisyam berkata, apabila Allah berkehendak menolong hambaNya, Allah menggerakkan untuknya sekelompok orang daripada penduduk Madinah. Adakah pertolongan itu menyertai negara yang sedang berkembang di masa hadapan dengan izin Allah, dan negara itu akan menegakkan panji-panji Lâ ilaha illâllâh Muhammad Rasûlulllâh serta bangkit berperang sekiranya Barat menyerang kita? Dan adakah pertolongan itu dalam bentuk yang dapat dilihat dan dirasai seperti yang berlaku dalam Perang Badar dengan kehadiran Malaikat, atau dalam Perang Khandaq dengan angin, atau adakah ia lebih kepada pertolongan dalam bentuk sokongan, persediaan dan ketakutan yang ditimbulkan dalam hati musuh?

 

Mohon maaf atas kesukaran soalan ini dan semoga Allah memberikan balasan yang terbaik kepada anda.

 

[Mohamed Ali Bouazizi]

 

Jawapan:

 

Wa’alaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh.

 

1- Pertolongan itu datang dalam pelbagai bentuk. Munculnya pemikiran dakwah yang lebih dominan berbanding pemikiran-pemikiran lain adalah salah satu bentuk pertolongan. Berkumpulnya orang-orang di sekitar dakwah dan sokongan yang diberikan kepada dakwah itu juga merupakan salah satu bentuk pertolongan. Begitu juga dengan keteguhan para pendakwah dalam meneruskan dakwah mereka adalah salah satu bentuk pertolongan dan seterusnya.

 

2- Dan antara bentuk pertolongan adalah jawapan daripada ahlu al-quwwah wa al-man’ah dengan memberikan sokongan terhadap dakwah. Namun, pertolongan dengan makna yang sempurna tidak akan tercapai kecuali dengan terealisasinya sokongan ini dan tercapainya Hizb ke tampuk pemerintahan melalui tegaknya daulah serta pelaksanaan Islam dan penerusan dakwah… Oleh itu, pertolongan dalam konteks dakwah dengan makna yang sempurna adalah adanya titik sentral (nuqthah al-irtikâz), iaitu tegaknya daulah, kerana tanpa tegaknya daulah, tiada keberadaan Islam dalam kehidupan… Jadi, walaupun terdapat kebaikan dalam bentuk-bentuk pertolongan lain, ia tidak merealisasikan keberadaan Islam dalam kehidupan. Namun, yang perlu ada adalah tegaknya daulah dan pemerintahan Islam secara praktikal, agar Islam dapat wujud dalam kehidupan dan pertolongan itu dapat terealisasi dengan makna yang sempurna dan menyeluruh.

 

3- Sesungguhnya, kita yakin bahawa Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah yang kedua akan tegak dan kekal tegak serta memimpin umat menuju pertolongan dan peneguhan kekuasaan. Hal ini kerana dalil-dalil yang memberikan khabar gembira mengenai tegaknya Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah menunjukkan bahawa Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah akan tetap wujud, kukuh dan memerintah dengan adil. Contohnya:

 

Allah SWT berfirman:

﴿وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْناً يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئاً وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ﴾

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahkuKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ an-Nur (24): 55].

 

Ayat ini walaupun bersifat umum, namun ia juga berlaku terhadap Daulah al-Khilafah yang akan datang dengan izin Allah, dan jelas daripada ayat tersebut tercapainya peneguhan kekuasaan dan keamanan. Dan ini hanya akan tercapai apabila Daulah al-Khilafah teguh dan berjaya mengalahkan musuh-musuhnya.

 

Dinyatakan di Musnad Imam Ahmad dan Musnad ath-Thayalisi dari hadis Hudzaifah, ia berkata: “Rasulullah SAW bersabda:

 

«إِنَّكُمْ فِي النُّبُوَّةِ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا، ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ، فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا، ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً عَاضّاً، فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ يَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا، ثُمَّ تَكُونُ جَبْرِيَّةً، فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا، ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ»، ثُمَّ سَكَتَ

“Sungguh kalian ada dalam masa kenabian yang akan tetap ada sesuai kehendak Allah, kemudian Dia mengangkatnya jika berkehendak mengangkatnya. Kemudian ada Khilafah yang mengikuti manhaj kenabian, dan akan tetap ada sesuai kehendak Allah. Kemudian Dia mengangkatnya jika berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada kekuasaan yang menggigit (mulkan ‘âdhan) dan akan tetap ada sesuai kehendak Allah. Kemudian Dia akan mengangkatnya jika berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada kekuasaan yang diktator (mulkan jabriyyatan) dan akan tetap ada sesuai kehendak Allah. Kemudian Dia akan mengangkatnya jika berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang mengikuti manhaj kenabian”, kemudian Baginda diam”.

 

Dan tidak ada makna untuk kewujudan al-Khilafah kedua yang mengikut manhaj kenabian jika ia tidak teguh dan kukuh.

 

– Imam Muslim telah mengeluarkan di Sahîh-nya dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ، فَيَقْتُلُهُمُ الْمُسْلِمُونَ…»

“Tidak tegak Hari Kiamat sampai kaum Muslim memerangi Yahudi, maka kaum Muslim membunuh mereka …”.

 

Dan dalam  lafaz yang lain, Baginda SAW bersabda:

«تُقَاتِلُكُمُ يَهُودُ، فَتُسَلَّطُونَ عَلَيْهِمْ»

“Kalian akan memerangi Yahudi sehingga kalian berkuasa atas mereka”.

 

Dan ini bermakna pemusnahan negara Yahudi dari akarnya. Dan perkara ini tidak akan tercapai, menurut pandangan yang lebih kuat, kecuali dengan tegaknya Daulah al-Khilafah kedua, kestabilannya, serta kemenangannya.

 

Imam Ahmad telah meriwayatkan di Musnad-nya dan al-Hakim juga meriwayatkan dan beliau mensahihkannya serta disetujui oleh adz-Dzahabi dari Abu Qabil, beliau berkata: “kami bersama Abdullah bin Amru bin al-‘Ash, lalu beliau berkata: “ketika kami ada di sekitar Rasulullah SAW dan kami menulis, ketika Rasulullah SAW ditanya:

 

أَيُّ الْمَدِينَتَيْنِ تُفْتَحُ أَوَّلاً: قُسْطَنْطِينِيَّةُ أَوْ رُومِيَّةُ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: «مَدِينَةُ هِرَقْلَ تُفْتَحُ أَوَّلاً، يَعْنِي قُسْطَنْطِينِيَّةَ»

“Kota manakah dari dua kota yang akan ditaklukkan terlebih dahulu: Konstantinopel atau Rom?” Maka Rasulullah SAW bersabda: “kotanya Heraklius ditaklukkan terlebih dahulu, iaitu Konstantinopel”.

 

Konstantinopel telah ditakluk dan Rom akan ditaklukkan, jika Allah menghendakinya. Dan ini akan terwujud dengan tertegaknya Daulah al-Khilafah kedua dan kestabilannya.

 

Imam Ahmad telah mengeluarkan di Musnad-nya dari Tamim ad-Dari, beliau berkata: “aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

«لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ، وَلَا يَتْرُكُ اللهُ بَيْتَ مَدَرٍ وَلَا وَبَرٍ إِلَّا أَدْخَلَهُ اللهُ هَذَا الدِّينَ، بِعِزِّ عَزِيزٍ أَوْ بِذُلِّ ذَلِيلٍ؛ عِزّاً يُعِزُّ اللهُ بِهِ الْإِسْلَامَ وَذُلّاً يُذِلُّ اللهُ بِهِ الْكُفْرَ…»

“Sungguh, perkara (agama) ini akan mencapai apa yang dicapai oleh malam dan siang, dan Allah tidak akan membiarkan satu rumah pun di kota dan kampung kecuali Allah memasukkan agama ini ke dalamnya, dengan kemuliaan Zat yang Maha Mulia atau kehinaan orang yang hina, kemuliaan yang dengannya Allah memuliakan Islam dan kehinaan yang dengannya Allah menghinakan kekufuran …”.

 

Dan al-Baihaqi telah mengeluarkan perkara yang sama di dalam Sunan al-Kubrâ, begitu juga al-Hakim di dalam al-Mustadrak ‘alâ ash-Shahîhayn. Dan ini bermakna bahawa Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah kedua akan teguh, kukuh, dan meluas untuk mencapai seluruh dunia.

 

4-Tetapi semua yang disebutkan di atas tidak bermakna bahawa Daulah al-Khilafah akan menang dalam setiap pertempuran yang dihadapinya. Daulah al-Khilafah kadang kala akan kalah dalam beberapa pertempuran di sini dan di sana. Namun akhirnya, kemenangan adalah miliknya. Maksudnya, Daulah al-Khilafah mungkin kalah dalam beberapa pertempuran, tetapi dengan izin Allah, Daulah al-Khilafah tidak akan kalah dalam peperangan. Ini adalah seperti keadaan Daulah Islam yang pertama. Daulah Islam pertama pernah kalah dalam beberapa pertempuran, tetapi kemenangan dalam peperangan tetap menyertai mereka sehingga akhirnya memerintah hampir seluruh dunia pada suatu ketika dahulu.

 

5- Mengenai pertanyaan anda: “Adakah mungkin pertolongan itu dalam bentuk yang dapat dilihat dan dirasai seperti yang berlaku dalam Perang Badar dengan kehadiran para Malaikat dan dalam Perang Khandaq dengan angin, atau adakah pertolongan itu dalam bentuk sokongan, persediaan, dan ketakutan yang ditanam dalam hati musuh?” Semua itu adalah mungkin. Mengenai perkara ini, terserah kepada Allah SWT, kerana Dia menolong hamba-hambaNya yang beriman dengan tentera dari sisiNya.

 

﴿وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ﴾

“Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia sendiri” [TMQ al-Mudatthir (74): 31].

 

Tetapi hukum syarie mewajibkan kepada kita melakukan persiapan yang diperlukan sesuai dengan firman Allah SWT:

 

﴿وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ﴾

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggup dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)” [TMQ  al-Anfal (8):60].

 

Saya berharap jawapan ini mencukupi, wallâhu a’lam wa ahkam.

 

Saudaramu Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah

22 Jumada al-Ula 1446 H

24 November 2024 M

 

 

Exit mobile version