Site icon MuslimahHTM News

[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 9/22)

[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 9/22)

 

[Sambungan dari Bahagian 8/22]

 

Sungguh Allah SWT telah memuliakan Islam dengan keIslaman Hamzah dan Umar. Bukti untuk menyatakan pengaruh keIslaman Umar adalah apa yang dikatakan oleh Ibnu Mas’ud ra., “Kami tidak mampu melaksanakan solat di sisi Kaabah hingga Umar masuk Islam.”

 

Juga apa yang dikatakan oleh Shuhaib bin Sinan ar-Rumi ra., “Tatkala Umar masuk Islam, Islam menjadi ketara (menang). Dakwah Islam disampaikan secara terang-terangan. Kami duduk di samping Kaabah dalam sebuah lingkaran kecil. Kami bertawaf mengelilingi Baitul haram. Kami berani mengambil tindakan kepada orang yang bersikap keras kepada kami dan menentang sebahagian apa yang mereka datangkan.”

 

Begitu juga perkataan Abdullah bin Mas’ud, “Kami merasa kuat sejak masuk Islamnya Umar.”

 

Setelah keIslaman dua orang yang gagah berani ini, kaum musyrikin melihat bertambahnya jumlah kaum muslim. Dengan demikian, kaum muslim pun tampak ke permukaan sehingga orang-orang kafir Quraisy berusaha mengajukan tawar-menawar kepada Rasul SAW.

 

Uthbah bin Rabi’ah mendatangi Nabi SAW dan berkata, “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya engkau adalah bahagian dari kami. Aku sungguh mengetahui kedudukanmu dari sisi keluarga mahupun dari sisi nasab. Sungguh, engkau telah mendatangi kaummu dengan membawa suatu urusan yang besar. Engkau telah memecah-belah jemaah mereka, membodohkan mimpi-mimpi mereka, serta mencela tuhan-tuhan dan agama mereka. Engkau mengingkari (ajaran) nenek moyang mereka yang terdahulu. Dengarkan aku. Aku menawarkan beberapa perkara kepadamu. Pertimbangkan, semoga engkau menerima sebahagiannya.”

 

Rasul SAW berkata, “Katakan, wahai Abu al-Walid, aku akan mendengarkannya.”

 

Utbah berkata, “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya jika dengan apa yang engkau bawa itu engkau menghendaki harta, kami akan mengumpulkan harta-harta kami untukmu sehingga engkau menjadi orang yang paling kaya di antara kami. Jika dengan apa yang engkau bawa itu engkau menghendaki kemuliaan, kami akan mengangkatmu menjadi pemimpin kami sehingga kami tidak akan memutuskan suatu perkara, kecuali tanpa persetujuanmu. Jika yang engkau inginkan dengan apa yang engkau bawa adalah kerajaan, kami akan mengangkatmu menjadi raja kami. Jika kamu terkena sesuatu penyakit yang tidak boleh engkau sembuhkan sendiri, kami akan mencarikan tabib untukmu dan mengerahkan harta-harta kami hingga kami dapat menyembuhkanmu. Mudah bagi para pengikut untuk mencari orang yang dapat merawati.”

 

Ketika Uthbah telah selesai dan Rasul SAW telah mendengarkannya dengan saksama, Rasul berkata, “Apakah engkau telah selesai, wahai Abu al-Walid?”

 

Dia menjawab, “Benar, aku telah selesai.”

Rasul berkata, “Kalau begitu, dengarkan aku!”

Dia menjawab, “Ya, aku dengarkan.”

 

Kemudian Rasul SAW berkata (membaca ayat-ayat berikut), “Hà Mim. (Al-Quran itu) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang mengetahui, yang membawa berita gembira dan yang membawa peringatan, tetapi kebanyakan mereka berpaling (darinya) serta tidak mendengarkan. Mereka berkata, ‘Hati kami berada dalam tutupan (yang menutupi) apa yang kamu seru kami kepadanya.’” (TMQ Fushshilat: 1—5).

 

Kemudian Rasul SAW terus membacakan surah ini kepada Uthbah. Tatkala Uthbah mendengarnya, dia diam dan meletakkan kedua tangannya di belakang punggungnya serta bertumpu kepada keduanya. Dia mendengarkan bacaan Rasul SAW.

 

Kemudian Rasul berhenti pada ayat Sajdah (ayat 37—38), lalu beliau bersujud. Kemudian beliau berkata, “Wahai Abu al-Walid, sungguh engkau telah mendengar apa yang perlu engkau dengar. Jadi, terserah kamu.”

 

Uthbah lalu bangkit dan menghampiri kaumnya. Sebahagian kaumnya saling berbicara kepada yang lain, “Kami bersumpah kepada Allah. Sungguh Abu al-Walid telah datang kepada kalian dengan wajah yang lain, berbeza dengan wajahnya ketika pergi.”

 

Ketika Uthbah duduk di antara mereka, mereka berkata, “Apa yang terjadi denganmu, wahai Abu al-Walid?”

 

Uthbah berkata, “Tadi aku mendengar suatu perkataan. Demi Allah, aku tidak pernah mendengar perkataan yang semisal itu. Demi Allah, ia bukanlah syair, bukan sihir, dan bukan pula perkataan dukun. Wahai sekalian Quraisy, taatilah aku dan serahkan urusan ini kepadaku. Biarkan lelaki itu dengan apa yang dia bawa dan menghindarlah darinya. Demi Allah, sungguh perkataan yang baru sebentar aku dengar akan menjadi suatu berita yang besar. Jika orang-orang Arab mahu menerimanya, dengannya kalian tidak lagi memerlukan bangsa lain. Jika dia menang atas bangsa Arab, kerajaannya akan menjadi kerajaan kalian, kemuliaannya menjadi kemuliaan kalian, dan kalian akan menjadi orang yang paling berbahagia kerananya.”

 

Mereka berkata, “Wahai Abu al-Walid, demi Allah, dia telah menyihirmu dengan kata-katanya.”

Uthbah berkata, “Ini adalah pendapatku tentangnya. Berbuatlah apa yang perlu kalian perbuat.”

 

 

Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.

 

 

Exit mobile version