Site icon MuslimahHTM News

Bukan Wanita Biasa, Khaulah binti Tsa’labah Memuhasabah Khalifah

[Kisah Inspirasi] Bukan Wanita Biasa, Khaulah binti Tsa’labah Memuhasabah Khalifah

 

Pada suatu hari, Umar bin Khattab RA yang ketika itu merupakan khalifah bergelar Amirul Mukminin sedang berjalan bersama Jarud. Mereka berjalan melalui kota Madinah sambil memerhatikan keadaan umatnya.

 

Beberapa saat kemudian, mereka bertemu dengan seorang wanita tua. Apabila dia melihatnya, Umar RA segera berhenti dan memberi salam. Kemudian wanita itu menjawab salamnya dan berkata, “Wahai Umar, aku sangat tahu, kamu pernah dipanggil ‘Umair’ di pasar Ukaz. Kamu juga menakut-nakutkan anak-anak kecil dengan tongkatmu. Beberapa waktu kemudian kamu dipanggil Umar. Kemudian kamu digelar Amirul mukminin, maka bertakwalah kepada Allah SWT dalam mengurus rakyatmu, ketahuilah, sesiapa yang takut kepada ancaman Allah SWT, nescaya dia akan nampak sesuatu yang jauh di hadapannya. Barang siapa yang takut kematian nescaya dia takut jika kesempatan yang ada akan dilepaskan tanpa kebaikan dan manfaat.

 

Jarud sangat terkejut dengan sikap kurang ajar wanita itu terhadap Umar, serta kesabaran Umar terhadapnya. Kemudian dia berkata, “Wahai ibu, sikapmu sangat kasar terhadap Amirul mukminin.”

 

Umar segera menyelanya dan berkata, “Biarkan dia. Adakah kamu tahu siapa dia? Dia adalah Khaulah, isteri Aus bin ash-Shamit, yang kata-katanya didengari Allah SWT dari tujuh lapisan langit. Oleh itu, Umar tentu lebih berhak mendengarnya.” [Abdullah Haidir, Kisah Wanita Teladan]

 

Hikmah

 

Kemuliaan wanita tidak terletak pada penampilan fizikal dan aspek material yang lain. Namun, ia berdasarkan komitmen beliau terhadap kebenaran dan kesungguhan beliau dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Malah di hadapan khalifah, Khaulah tidak segan-segan memuhasabahnya dengan lantang.

 

Khaulah binti Tsa’labah terkenal sebagai seorang muslimah yang berani. Khaulah pernah mengadu kepada Nabi Muhammad SAW berkenaan sikap suaminya yang berzihar kepadanya. Peristiwa ini diabadikan oleh Allah SWT dalam surah Al Mujadilah: 1, “Sesungguhnya Allah SWT telah mendengar perkataan wanita yang mengajukan gugatan kepada kamu (Nabi Muhammad SAW) tentang suaminya dan mengadukan kepada Allah SWT, padahal Allah SWT mendengar percakapan antara kamu berdua. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

 

Keberanian Khaulah menasihati Umar RA sememangnya layak untuk dijadikan contoh kepada muslimah masa kini. Sekurang-kurangnya terdapat dua pengajaran penting dalam kisah dan tokoh Khaulah.

 

Pertama, aktiviti dakwah amar makruf nahi mungkar adalah satu kewajipan sebagai hamba Allah SWT. Setiap orang, baik lelaki mahupun wanita, wajib menyampaikan Islam kepada masyarakat khususnya kepada pemerintah dan pemimpin Islam. Keutamaan seorang pendakwah termaktub dalam firman Allah SWT, “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah SWT dan mengerjakan amal yang soleh dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang Islam (yang berserah diri)? [TMQ Fussilat: (41) : 33].

 

Kedua, kemuliaan wanita terletak pada konsistensi mereka dalam mentaati Rabbnya, menjaga aurat dan pergaulannya, serta menjauhkan diri dari segala bentuk maksiat terhadap Allah SWT, “Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah SWT, memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah SWT telah memelihara (mereka).”[TMQ An-Nisaa'(4): 34]

 

Dalam sistem kehidupan sekular yang tidak berperikemanusiaan ini, muslimah sememangnya berhadapan dengan masalah yang kompleks. Oleh itu, muslimah wajib melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang syumul. Justeru, mereka akan mempunyai visi dan misi hidup yang berorientasikan kehidupan akhirat. Mereka juga akan berjuang menegakkan syariat Islam agar keluhuran wanita dapat terpelihara dan dilindungi daripada pelbagai kerosakan sistem kapitalis sekular.

 

Sumber: muslimahnewsid

Exit mobile version