Site icon MuslimahHTM News

[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 10/22)

[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 10/22)

 

[Sambungan dari Bahagian 9/22]

 

Walaupun situasi dan keadaan kaum muslim telah banyak berubah, Abu Thalib tetap dibayangi kebimbangan atas anak saudaranya (Muhammad). Akhirnya, Abu Thalib berkeyakinan bahawa kaum musyrikin telah bertekad untuk membunuh anak saudaranya itu.

 

Hamzah dan Umar atau selain keduanya, tidak mampu berbuat apa-apa jika orang-orang musyrik hendak membunuh Rasul SAW. Untuk mengantisipasi hal itu, Abu Thalib mengumpulkan kerabatnya daripada Bani Hasyim dan Bani al-Muthalib, yakni dua bani keturunan ‘Abd Manaf.

 

Abu Thalib meminta kesediaan mereka untuk melindungi anak saudaranya dan melaksanakannya. Ternyata mereka menyanggupinya, baik yang muslim mahupun yang kafir, kecuali Abu Lahab—celakalah kedua tangannya—dia memisahkan diri dan bergabung dengan Quraisy.

 

Bahaya menimpa tangan-tangan kaum musyrikin. Sebabnya, Hamzah bin Abdul-Mutthalib telah masuk Islam. Kemudian disusuli Umar bin al-Khattab, sementara Rasul yang mulia telah menolak tawaran mereka. Terakhir, Bani al-Muthalib dan Bani Hasyim, baik yang muslim mahupun yang kafir, memenuhi permintaan Abu Thalib. Mereka bersepakat dengan Abu Thalib untuk melindungi Muhammad dan menjaganya daripada kecelakaan yang hendak ditimpakan kepadanya.

 

Akibatnya, kaum musyrikin merasa kebingungan. Mereka mengetahui bahawa mereka tidak mampu membunuh Muhammad tanpa ada akibat yang besar berupa pertumpahan darah besar-besaran.

 

Mereka lalu berfikir dengan serius dalam masalah ini. Mereka berkumpul di perkampungan Bani Kinanah di Wadi al-Mahshib. Kemudian mereka berkoalisi untuk menentang Bani Hasyim dan Bani al-Mutthalib dengan tidak akan saling menikah dengan mereka, tidak saling berjual-beli, tidak duduk berkumpul dengan mereka, tidak saling bergaul, tidak memasuki rumah-rumah mereka, dan tidak bercakap dengan mereka hingga mereka menyerahkan Rasulullah SAW untuk mereka bunuh.

 

Untuk tujuan itu, mereka menyiapkan perjanjian bertulis yang di dalamnya terdapat perjanjian dan kesepakatan untuk tidak menerima perdamaian daripada Bani Hasyim selamanya, tidak bersikap lemah lembut kepada Bani Hasyim (dan Bani al-Mutthalib) hingga mereka menyerahkan Muhammad untuk dibunuh.

 

Perjanjian bertulis itu digantungkan di bahagian dalam Kaabah. Bani Hasyim dan Bani al-Mutthalib bergabung seluruhnya, baik yang muslim mahupun kafir, di kampung Abu Thalib pada malam awal Muharam tahun ketujuh kenabian.

 

Pemboikotan itu makin keras. Bahan simpanan makanan mereka sudah habis. Mereka yang diboikot itu mula memakan kulit binatang dan dedaunan. Tidak ada yang sampai kepada mereka sesuatu pun, kecuali dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Mereka tidak dapat keluar dari perkampungan Abu Thalib untuk memenuhi berbagai keperluan mereka, kecuali pada bulan-bulan haram.

 

Mereka membeli bahan keperluan mereka daripada unta pedagang yang datang dari luar Mekah. Akan tetapi, penduduk Mekah menaikkan harga (tawaran) barang-barang yang ada hingga mereka tidak mampu membelinya.

 

Walaupun dengan seluruh apa yang terjadi, Rasul SAW dan kaum muslim tetap keluar pada hari-hari musim haji dan melakukan kontak dengan orang-orang untuk mengajak mereka kepada Islam. Pemboikotan itu berlangsung selama tiga tahun penuh hingga berakhir secara sempurna pada bulan Muharam tahun ke sepuluh kenabian.

 

Hal itu terjadi kerana sebahagian daripada orang Quraisy membenci perjanjian pemboikotan itu. Mereka berusaha untuk membatalkannya. Yang melakukannya adalah Hisyam bin ‘Amr dari Bani ‘Amir bin Luaiy. Dia juga meyakinkan Zuhair bin Abi Umayyah, Muth’im bin ‘Adi, Abu al-Bakhtari bin Hisyam, dan Zum’ah bin al-Aswad bin al-Mutthalib bin Asad. Mereka bertemu dan bersepakat untuk membatalkan perjanjian.

 

Keesokan harinya, mereka pergi ke tempat yang biasa digunakan untuk pertemuan. Zuhair berkumpul bersama orang Quraisy, lalu dia tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali. Kemudian dia menghadap kepada orang ramai lalu berkata, “Wahai penduduk Mekah, apakah kita enak-enak makan dan memakai pakaian bagus, sedangkan Bani Hasyim binasa, mereka tidak dibolehkan berjual beli? Demi Allah, aku tidak akan duduk hingga perjanjian pemboikotan yang zalim ini batal.”

 

Abu Jahal menentangnya dengan berkata, “Engkau berdusta. Demi Allah, jangan engkau rosakkan perjanjian ini.” Kemudian Zum’ah bin al-Aswad berkata, “Demi Allah, engkau lebih berdusta.”

Abu al-Bakhtari berkata, “Zum’ah benar.”

 

Muth’im bin ‘Adi berkata, “Keduanya benar dan orang yang berkata selainnya adalah salah. Kami menyatakan di hadapan Allah untuk membebaskan diri darinya dan dari apa yang tertulis di dalamnya.”

 

Hisyam mengatakan perkataan lain yang serupa. Abu Jahal berkata, “Perkara ini telah diputuskan tadi malam. Kalian telah merundingkannya di tempat lain.”

 

Ketika itu Allah dengan kekuasaannya telah memberitahu Rasul SAW, bahawa Allah telah mengutus anai-anai untuk memakan tulisan perjanjian, kecuali yang tertulis nama Allah. Rasul SAW telah memberitahukan hal itu kepada bapa saudara beliau, Abu Thalib.

 

Abu Thalib lalu keluar menemui orang-orang Quraisy dan memberitahu mereka bahawa anak saudaranya telah mengatakan begini-begini. Abu Thalib berkata, “Jika dia berdusta, kami akan membiarkan antara kalian dengannya. Namun jika dia benar, kalian mestilah berhenti memboikot dan menzalimi kami.”

 

Mereka berkata, “Engkau adil.” Perkataan Abu Thalib itu telah menyebar dan didengar oleh mereka, termasuk Abu Jahal. Muth’im bin ‘Adi lalu berdiri mengambil perjanjian untuk mengoyakkannya. Dia mendapati lembaran perjanjian itu telah dimakan anai-anai, kecuali tulisan Bismika Allahumma dan bahagian lain yang ada nama Allah. Dengan ini, sempurnalah pembatalan perjanjian itu. Rasul SAW bersama orang-orang yang bersamanya keluar dari perkampungan Abu Thalib setelah orang-orang musyrik melihat tanda yang agung di antara tanda-tanda kenabian beliau. Sekalipun demikian, mereka tidak mengambil pelajaran dan tidak beriman. Bahkan kekufuran mereka sebaliknya bertambah.

 

Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.

 

 

Exit mobile version