Duhai Wanita, Masihkah Ada Rasa Malu di Hatimu?
Oleh : Arief B. Iskandar
Ibnu Abbas pernah bertanya kepada ‘Atha bin Abi Rabah, “Mahukah aku tunjukkan seorang wanita penghuni syurga?”
“Ya, tentu saja,” jawab ‘Atha.
Ibnu Abbas ra. lalu menjelaskan, “Wanita berkulit hitam itu. Dia pernah datang kepada Nabi SAW, lalu berkata, ‘Aku menderita penyakit ayan (epilepsi) dan auratku sering tersingkap (saat penyakitnya kembali). Kerana itu doakanlah aku agar Allah menyembuhkan penyakitku.’
Nabi SAW berkata, ‘Jika engkau mahu, engkau boleh bersabar dan bagimu syurga. Atau aku akan berdoa agar Allah menyembuhkan dirimu.’
Wanita itu menjawab, ‘Aku memilih bersabar saja. Namun, tatkala penyakit ayan menimpaku, auratku sering tersingkap. Kerana itu doakanlah agar auratku tidak tersingkap.’
Lalu Nabi SAW pun mendoakan wanita itu.” (HR Bukhari dan Muslim)
Penyakit ayan bukanlah penyakit ringan. Selain susah sembuh dan sering datang kembali, penyakit ini juga boleh mengundang aib bagi penghidapnya mahupun keluarganya. Apatah lagi jika penyakit itu dihidapi oleh seorang wanita. Betapa besar rasa malu yang sering ditanggung penghidap penyakit ayan dan keluarganya kerana ramai orang masih menganggap penyakit ini sebagai penyakit yang menjijikkan.
Namun, renungkanlah perkataan wanita berkulit hitam penghuni syurga dalam riwayat di atas. Adakah kita menyaksikan satu kata saja meluncur dari lisannya yang menunjukkan bahawa ia membenci qada—iaitu penyakit ayan—yang kebetulan menimpa dirinya? Adakah dia merungut tentang penyakit ayan yang dia hidapi? Adakah dia merasa malu kerana menderita penyakit tersebut?
Tidak! Bukan itu yang dia keluhkan. Bukan itu yang membuat dia malu. Dia mengeluh dan merasa malu kerana auratnya sering tersingkap saat penyakitnya datang. Sedangkan saat penyakit ayan itu datang, dia tentu dalam keadaan tidak sedar. Jika pun tersingkap auratnya dalam keadaan tidak sedar atau hilang akal, tentu dia tidak berdosa.
Namun, demikianlah penghuni syurga. Wanita berkulit hitam ini tetap sangat bimbang bila auratnya secara tidak sengaja tersingkap walaupun dalam keadaan sakit dan tidak sedar.
Bagaimana dengan kebanyakan wanita zaman sekarang, yang saat sihat dan dalam keadaan sedar pun, rela bahkan acapkali bangga mempamerkan aurat mereka?
Sebagaimana wanita berkulit hitam penghuni syurga dalam riwayat di atas, pada zaman dulu para sahabiyah adalah wanita yang sangat menjaga kehormatan dan aurat mereka. Para sahabiyah adalah para wanita yang memiliki rasa malu yang tinggi. Ummul Mukminin Aisyah ra., isteri Rasulullah SAW, bahkan mempunyai rasa malu yang luar biasa.
Setelah Rasulullah SAW wafat, Aisyah ra. sering menziarahi makam baginda, yang berada di dalam kamarnya, tanpa mengenakan hijab. Ketika ayah beliau, Abu Bakar ra., wafat dan dikebumikan di sebelah makam Rasulullah SAW, Aisyah ra. masih sering berziarah tanpa mengenakan hijab.
Namun, kebiasaan itu berubah ketika Umar bin al-Khattab ra. dikuburkan di kamarnya bersebelahan dengan makam Rasulullah SAW dan Abu Bakar ra. Setiap kali masuk ke ruangan itu, Aisyah ra. akan memakai hijab secara sempurna. Itu beliau lakukan kerana Umar ra. bukanlah mahramnya. Sedangkan Umar ra. telah meninggal dan jasadnya terkubur di dalam tanah (Jalaluddin as-Suyuthi, Syarh ash-Shudur bi Syarh Hal al-Mawta wa al-Qubur. Beirut: Dar ar-Rasyid, 1916).
Seperti Ummul Mukminin Aisyah ra., Sayyidah Fatimah az-Zahra ra., puteri Rasulullah SAW, juga memiliki rasa malu yang luar biasa. Beliaulah orang pertama yang meminta untuk dibuatkan keranda agar saat meninggal dan dibawa ke kuburan, jenazahnya diletakkan di dalam keranda tersebut. Pada waktu itu, umumnya jenazah memang diusung oleh orang-orang tanpa keranda, seperti yang kita kenal hari ini.
Suatu saat Fatimah binti Rasulullah merasa bahawa ajalnya semakin dekat. Ini kerana, Rasulullah SAW, pernah mengatakan kepada dirinya bahawa dia adalah anggota keluarga beliau yang pertama kali akan meninggal menyusul baginda.
Puteri Rasulullah SAW yang juga isteri kepada Ali bin Abi Thalib ini kemudian berpesan kepada Asma’ binti Umais, yang hampir setiap hari menjenguk dirinya. “Saya tidak senang atas apa yang diperbuat terhadap wanita jika meninggal. Jenazah mereka hanya ditutupi dengan kain kafan sehingga lekuk tubuhnya terlihat,” kata Fatimah kepada Asma’, puteri Abu Bakar ash-Siddiq.
“Apakah engkau mahu aku tunjukkan sesuatu yang pernah aku lihat di Habasyah?” ujar Asma’.
Asma’ lalu membuat sesuatu yang berbentuk keranda. Kerangkanya diperbuat dari pelepah kurma, sedangkan bahagian luarnya ditutup dengan kain. Dengan begitu, jenazah yang dibawa dengan keranda itu tidak terlihat dari luar.
Begitu Fatimah melihat keranda itu, dia sangat gembira sehingga tertawa. Kemudian dia berpesan, “Nanti, jika aku meninggal, kamu dan suamiku, Ali, yang memandikan aku. Jangan ada orang lain yang ikut memandikan aku. Setelah itu, buatkan keranda seperti itu untuk diriku.” (HR adz-Dzhabi dalam Syiar A’la an-Nubala, dari penuturan Qutaibah bin Said dan Ja’far ra.)
Demikianlah, sebagaimana penuturan Ibnu Abdil Barr, “Fatimah ra. adalah orang pertama yang saat meninggal dimasukkan ke dalam keranda pada masa Islam.’’
Demikianlah Ummul Mukminin Siti Aisyah ra. Dia tetap merasa malu jika tidak mengenakan hijab walaupun di hadapan jasad Umar bin al-Khattab ra. yang sudah terbujur kaku di dalam tanah. Demikian juga puteri Rasulullah SAW, Fatimah az-Zahra ra. Dia tetap merasa bimbang jika—dalam keadaan sudah terbujur kaku menjadi jenazah sekalipun—terlihat lekuk tubuhnya.
Bagaimana dengan Kebanyakan Wanita Zaman Sekarang?
Sayang sekali, mereka bukan saja tidak malu jika tersingkap auratnya. Mereka bahkan acapkali merasa bangga mempamerkan lekuk-lekuk tubuhnya. Kebanggaan mereka semakin bertambah ketika turut serta dalam pertandingan kecantikan—seperti Miss World—yang hakikatnya adalah ‘pertandingan aurat’.
Mereka tidak pernah merasa bimbang terhadap ancaman Allah SWT melalui lisan Rasul-Nya, “Para wanita yang berpakaian tetapi (pada hakikatnya) telanjang, berlenggak-lengkok dan kepala mereka seperti punuk unta tidak akan masuk syurga ataupun sekadar mencium baunya.” (HR Abu Daud)
Duhai wanita, masihkah ada rasa malu di hatimu?! Tidakkah kamu takut jika kelak azab menimpa dirimu?! Wa ma tawfiqi illa bilLah.

