Site icon MuslimahHTM News

[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 8/22)

[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 8/22)

 

[Sambungan dari Bahagian 7/22]

 

Orang-orang Quraisy tidak putus asa ketika melihat bahawa Muhammad tetap menjalankan aktiviti dakwah beliau. Tidak ada sesuatu pun yang dapat memalingkan beliau dari jalan dakwah tersebut. Melihat hal itu, orang-orang kafir Quraisy sekali lagi mendatangi Abu Thalib dengan membawa serta Amarah bin al-Walid bin al-Mughirah.

 

Kemudian mereka berkata kepada Abu Thalib, “Hai Abu Thalib, pemuda ini (yakni Amarah bin al-Walid bin al-Mughirah) adalah seorang pemuda yang paling bagus dan paling tampan di tengah kaum Quraisy. Ambillah dia. Akal dan pertolongannya menjadi milikmu. Jadikan dia anak. Dia menjadi milikmu. Namun, serahkan kepada kami anak saudaramu (Muhammad) yang telah menyalahi agamamu dan agama nenek moyangmu, memecah belah kaummu, serta membodohkan harapan-harapan mereka. Serahkan dia untuk kami bunuh. Sungguh, ini adalah (pertukaran yang balik modal) seorang lelaki dengan seorang lelaki.”

 

Kemudian Abu Thalib berkata kepada mereka, “Demi Allah, alangkah buruknya apa yang kalian tawarkan ini. Apakah kalian memberikan kepadaku anak kalian untukku beri makan demi kepentingan kalian dan aku memberikan kepada kalian anakku untuk kalian bunuh? Demi Allah, ini tidak akan terjadi selamanya.”

 

Akhirnya kaum kafir Quraisy kembali kepada cara mereka. Mereka melakukan penyeksaan dan penangkapan dalam bentuk yang lebih keras berbanding sebelumnya. Hal itu jelas dalam penentangan mereka terhadap pemikiran yang dilontarkan oleh Rasulullah SAW yang mereka lakukan dengan cara yang lain. Untuk mencapai hal tersebut, terjadi beberapa peristiwa berikut ini:

 

Pertama, Utaibah bin Abi Lahab mendatangi Nabi SAW dan berkata, “Aku mengingkari ayat. Demi bintang ketika terbenam dan yang mendekat dan bertambah dekat.” Kemudian dia menyerang Nabi SAW, merobek pakaian beliau dan meludah ke arah wajah beliau, tetapi tidak mengenai beliau. Kemudian Rasul SAW berdoa agar Allah menjadikannya dilahap anjing. Allah mengabulkan doa Rasul SAW. Akhirnya, seekor singa menerkam kepala Utaibah bin Abi Lahab ketika dia berada di negeri Syam.

 

Kedua, Uqbah bin Abi Mu’ith pernah menginjak pundak beliau yang mulia ketika beliau sedang sujud hingga hampir saja kedua mata beliau membelalak.

 

Ketiga, pernyataan Abu Jahal dan janjinya kepada Allah bahawa dia akan menunggu Rasul dengan membawa batu sebesar yang mampu dia bawa. Ketika Rasul SAW sedang sujud dalam solatnya, Abu Jahal berniat menimpakan batu itu ke atas kepala Rasul. Dia benar-benar duduk menunggu Rasul SAW hingga beliau masuk masjid dan melaksanakan solat. Abu Jahal membawa batu, lalu mendatangi Rasul hingga makin dekat dengan Rasul.

 

Tiba-tiba dia mundur dengan muka pucat gementar ketakutan. Kedua tangannya tidak mampu membawa batu lagi. Ketika ditanya tentang hal itu, dia berkata, “Setiap kali aku mendekatinya, tiba-tiba ada seekor unta yang menghalangiku dengan dirinya. Aku belum pernah melihat unta itu seperti biasanya, tinggi mahupun pendeknya, dan tidak juga taringnya sekalipun itu unta pejantan. Unta itu mendekatiku dan akan menangkap dengan mulutnya (menelan).”

 

Keempat, para thaghut (pemimpin) Quraisy menentang Rasul SAW yang ketika itu berada di samping Hajar Aswad. Mereka mengata Rasul dengan berbagai celaan. Suatu kali mereka mengepung Rasul SAW seorang diri. Mereka mengelilingi beliau. Salah seorang daripada mereka memegang jubah beliau.

 

Abu Bakar ra. berdiri di samping beliau. Dia menangis dan berkata, “Apakah kalian akan membunuh seorang yang berkata, ‘Tuhanku adalah Allah?”” Kemudian mereka menyingkir dari beliau.

 

Di tengah cuaca yang pengap oleh awan kezaliman dan kesewenang-wenangan itu, pada tahun keenam kenabian, Hamzah bin Abdul-Muthalib masuk Islam, disusuli oleh Umar bin al-Khattab tiga hari kemudian. Dengan masuk Islamnya kedua orang sahabat ini, Allah memuliakan dakwah Islam.

 

Rasul SAW sebenarnya memang telah berdoa kepada Allah mengenai keIslaman Umar bin al-Khattab. At-Tirmidzi telah menuturkan riwayat daripada Ibnu Umar dan dia mensahihkannya. Juga Ath-Thabrani daripada Ibnu Mas’ud bahawa Nabi SAW pernah bersabda, “Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang dari dua orang lelaki yang lebih Engkau sukai, Umar bin al-Khattab atau Abu Jabal bin Hisyam.” (HR At-Tirmidzi dan Ath-Thabrani). Ternyata yang lebih disukai di sisi Allah adalah Umar bin al-Khattab.

 

Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.

 

 

Exit mobile version