Site icon MuslimahHTM News

Perang Tabuk: Kebangkitan Kepimpinan Islam yang Menggentarkan Musuh

[Siri Ibrah Rejab] Perang Tabuk: Kebangkitan Kepimpinan Islam yang Menggentarkan Musuh

 

Perang Tabuk merupakan peristiwa bersejarah yang menandakan keunggulan Islam sebagai sebuah kuasa global. Ia berlaku pada bulan Rejab tahun 9 Hijriyah (630 Masihi), perang ini dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW sebagai panglima tertinggi. Ia juga merupakan perang terakhir yang disertai oleh Baginda sebelum kewafatannya.

 

Dalam peperangan ini, 30,000 tentera Muslimin berhadapan dengan 100,000 tentera Romawi, yang pada ketika itu merupakan empayar terbesar dunia. Walaupun tidak berlaku pertempuran secara fizikal, kehadiran pasukan tentera Islam yang begitu besar telah menggentarkan musuh dan memaksa mereka untuk berundur. Misi ketenteraan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW ini bukan sahaja menampilkan kehebatan kaum Muslimin, tetapi juga mengangkat Daulah Islam sebagai kuasa besar yang semakin digeruni.

 

Ibrah daripada Perang Tabuk:

 

1. Islam Muncul sebagai Kuasa Besar yang Ditakuti Romawi
Perang Tabuk membuktikan bahawa pengaruh Islam semakin berkembang pesat di Jazirah Arab, hingga menjadi ancaman kepada Empayar Romawi, kuasa dominan dunia pada waktu itu. Kaum Muslimin yang dahulunya lemah telah diiktiraf sebagai kekuatan global, memaksa musuh untuk berhati-hati dalam menghadapi mereka.

 

2. Titik Perubahan Sokongan Kabilah Arab kepada Rasulullah SAW
Kejayaan Perang Tabuk membawa kesedaran dalam kalangan kabilah-kabilah Arab yang sebelum ini ragu-ragu atau menentang Islam. Mereka mula menyatakan kesetiaan dan menyokong Nabi SAW, bukan sahaja dari segi politik tetapi juga ketenteraan. Sokongan ini memainkan peranan penting dalam penyebaran dakwah Islam di seluruh Jazirah Arab.

 

3. Pembersihan Kaum Munafik dalam Masyarakat Islam
Perang Tabuk juga menjadi ujian besar bagi kaum munafik, yang selama ini berpura-pura menyokong Islam tetapi hakikatnya merosakkan perpaduan ummah. Beberapa langkah tegas telah diambil oleh Rasulullah SAW untuk membersihkan umat Islam daripada golongan ini, antaranya:

 

✅ Menghancurkan Masjid Dhirar – Masjid ini dibina oleh kaum munafik dengan tujuan memecahbelahkan umat Islam. Rasulullah SAW memerintahkan agar masjid ini dirobohkan bagi mengelakkan fitnah dalam masyarakat Muslim.

✅ Melarang Mensolatkan Jenazah Kaum Munafik – Sebagai tanda ketegasan, Rasulullah SAW melarang umat Islam mensolatkan jenazah kaum munafik, menunjukkan bahawa mereka telah ditolak oleh Allah SWT.

✅ Melarang Penerimaan Sedekah Mereka – Nabi SAW menolak sedekah yang diberikan oleh kaum munafik kerana ia bertujuan merosakkan ajaran Islam, bukan untuk keikhlasan dan kebajikan.

✅ Melarang Mendoakan dan Memohon Ampun untuk Mereka – Rasulullah SAW melarang umat Islam berdoa atau memohon keampunan untuk kaum munafik, kerana mereka secara terang-terangan menentang ajaran Islam dan tidak menunjukkan taubat yang sebenar.

 

Perang Tabuk bukan sekadar peristiwa ketenteraan, tetapi satu titik perubahan dalam sejarah Islam. Ia membuktikan bahawa Islam semakin kuat dan berpengaruh, sehingga mampu menggentarkan kuasa besar dunia seperti Romawi. Ia juga menjadi detik pemisah antara keimanan sejati dan kemunafikan, memperkukuhkan barisan umat Islam dan menyatukan mereka di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.

 

Demikianlah peristiwa Perang Tabuk mengajarkan kita bahawa keimanan yang kukuh, perpaduan ummah, dan ketegasan dalam mempertahankan syariat Islam adalah kunci kejayaan dalam membina peradaban Islam yang unggul.

Exit mobile version