Site icon MuslimahHTM News

[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 15/22)

[Seputar Gerakan Islam] Fasa Mekah (Bahagian 15/22)

 

[Sambungan dari Bahagian 14/22]

 

Peristiwa ini (pengIslaman sekelompok jin) merupakan pertolongan bagi Rasul yang telah dibentangkan oleh Allah Taala. Ayat tersebut mengandungi khabar gembira mengenai kejayaan dakwah,

 

“Orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah tidak akan melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.” (TMQ Al Ahqaf: 32).

 

Benar, berita gembira ini jelas berpengaruh di dalam jiwa Rasul SAW sehingga beliau berencana kembali ke Mekah dan menyampaikan dakwah dengan kesungguhan baru dan perhatian yang besar. Pada saat itu, Zaid bin Haritsah bertanya, “Bagaimana anda masuk kepada mereka (masuk ke Mekah), sementara mereka telah mengusir anda?”

 

Rasul menjawab, “Zaid, sesungguhnya Allah telah menjadikan atas kesulitan yang engkau lihat itu suatu solusi dan jalan keluar. Sesungguhnya Allah Maha Menolong agama- Nya dan Maha Memenangkan Nabi-Nya.”

 

Kemudian beliau berjalan. Ketika sudah dekat dengan Mekah, beliau berdiam di Gua Hira’ dan mengutus seorang lelaki dari Bani Khuza’ah kepada Akhnas bin Syariq agar melindungi beliau. Akhnas berkata, “Sesungguhnya aku ini sekutu (Quraisy) dan sekutu tidak boleh melindungi.”

 

Rasul lalu mengutus orang kepada Suhail bin Amr. Kemudian, Suhail berkata, “Sesungguhnya Bani Amir tidak akan melindungi Bani Ka’ab.”

 

Rasul SAW kemudian mengutus orang kepada Muth’im bin Adi. Muth’im menyetujuinya dan dia mengutus utusan kepada Rasul (memberitahukan) agar beliau masuk. Akhirnya Rasul masuk kembali ke Mekah bersama Zaid bin Haritsah. Keduanya masuk ke Mekah dan masuk ke Masjidil Haram.

 

Muth’im berdiri di atas tunggangannya dan menyeru, “Hai sekalian orang Quraisy, sungguh aku telah memberi perlindungan kepada Muhammad. Oleh kerana itu, janganlah salah seorang daripada kalian berbuat sekehendaknya kepada Muhammad.”

 

Beliau berhenti berhampiran hajar aswad, lalu menciumnya dan mengerjakan solat dua rakaat. Kemudian beliau pulang ke rumah beliau, sementara Muth’im dan anak-anaknya terus bersiaga dengan senjata hingga beliau masuk rumah. Dengan ini perjalanan dan keluarnya beliau ke Thaif telah selesai.

 

Setelah Rasul SAW kembali ke Mekah, beliau melanjutkan dakwah kepada Allah dan menawarkan dirinya kepada berbagai utusan dan kepada banyak kabilah. Akan tetapi, tidak ada seorang pun yang menjawab seruan Rasul. Begitu juga beliau menawarkan diri beliau kepada individu-individu dan hanya sekelompok kecil orang menjawab seruan dakwah beliau.

 

Di antaranya adalah Suwaid bin Shamid, Iyas bin Muadz, Abu Dzar al-Ghifari, Thufail bin Amr ad-Dausi, dan Dhimad al-Azdi. Sebagaimana Rasul SAW menyampaikan dakwah beliau, orang-orang musyrik juga menyampaikan penyerangan, pelecehan, dan penentangan kepada Rasul dan para sahabat beliau. Mereka juga menzalimi Rasul SAW dan para sahabat.

 

Sekalipun demikian, Rasul berjaya bertemu dengan kelompok yang terdiri dari enam orang pemuda Yathrib yang semuanya berasal dari Khazraj. Ini terjadi di Bukit Mina pada tahun kesebelas kenabian. Rasul duduk bersama mereka, menjelaskan Islam kepada mereka, dan mengajak mereka pada keimanan.

 

Beliau memperdengarkan ayat Al-Quran yang mulia kepada mereka. Sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain, “Sesungguhnya dia, demi Allah, adalah seorang nabi yang diceritakan oleh orang Yahudi. Oleh kerana itu, jangan sampai orang Yahudi mendahului kalian dan bersegeralah kalian menerima dakwahnya.”

 

Kemudian mereka masuk Islam dan kembali ke Yathrib mengemban risalah Islam. Mereka berharap dakwah ini akan menjadi sebab menghentikan peperangan di antara mereka, juga agar Allah menyatukan mereka semua di tangan Rasul-Nya yang terpercaya.

 

Rasul SAW kemudian diperjalankan (Isra’) dari Masjid haram ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis. Dari sini beliau mikraj ke langit yang tinggi dan melihat tanda-tanda kekuasaan Tuhan Yang Maha Agung. Kemudian beliau kembali ke Mekah pada malam yang sama.

 

Hal itu merupakan penghormatan terhadap beliau setelah beliau menerima perlakuan buruk di Thaif, juga penghormatan kepada beliau sehingga jiwa beliau merasa tenteram. Isra dan mikraj ini disebutkan di dua tempat di dalam Al-Quran, iaitu di surah Al-Isra dan An-Najm.

 

Allah SWT berfirman, “Maha Suci Allah Yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (TMQ Al-Isra: 1).

 

Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit, Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi; Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukanNya. Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya. Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu? Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi “Sidratul-Muntaha”; Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.” (TMQ An-Najm: 8—18).

 

Sumber: Muhammad Said Abu Za’rur, Seputar Gerakan Islam.

Exit mobile version