KESUNGGUHAN DALAM KETAATAN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
“Tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dengan main-main“ (TMQ al-Anbiya’ [21]: 16).
Tahukah kita, jantung yang ada dalam tubuh kita adalah alat pengepam yang amat menakjubkan. Ia bekerja terus tanpa henti sejak minggu ke-4 dari kehidupan manusia (di dalam rahim) hingga kematiannya. Jika seseorang berumur 60 tahun, bermakna selama itulah jantungnya tidak pernah berhenti bekerja mengepam darah. Adakah pam di dunia ini yang tahan bekerja selama 60 tahun tanpa henti?
Jantung manusia beratnya tidak lebih dari 250 gram. Ia berdenyut 70 kali per minit atau 100 ribu kali per hari. Ia memancutkan darah sebanyak 5 liter per minit atau 1.5 juta gelen per tahun—walaupun darah yang dipancutkan adalah yang sama juga. Alat pengepam yang menakjubkan ini mengirimkan darah ke selaput nadi, urat saraf, dan pembuluh darah, yang jika semua itu diletakkan secara berurutan pada sebuah garis lurus maka panjangnya boleh mencapai 60-100 ribu batu panjangnya!
Tahukah anda bahawa Galaksi Bima Sakti hanyalah salah satu daripada galaksi (sekumpulan bintang) dalam sistem suria kita. Galaksi Bima Sakti terdiri daripada kira-kira 200 bilion bintang. Ahli astronomi menganggarkan bahawa di alam semesta terdapat berbilion-bilion galaksi, dengan sekitar 1,000 trilion planet dan bintang. Setiap bintang atau galaksi bergerak dalam orbitnya pada kelajuan kira-kira 65,000 km sesaat. Di antara bintang-bintang ini ada yang beribu-ribu kali lebih besar daripada matahari, yang jaraknya dari Bumi adalah berjuta-juta tahun cahaya. Satu tahun cahaya adalah kira-kira 9,416 bilion km atau kira-kira 10,000 tahun!
Itulah salah satu tanda kebesaran Allah. Itulah ayat-ayat kawniyyah-Nya. Semua ayat kawniyyah akhirnya mengesahkan dakwaan Allah SWT sendiri:
وَمَا خَلَقۡنَا السَّمَآءَ وَالۡاَرۡضَ وَمَا بَيۡنَهُمَا لٰعِبِيۡنَ ١٦
”Tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dengan main-main” (TMQ al-Anbiya’ [21]: 16).
Memang benar, Allah SWT tidak pernah bermain-main. Seperti kata Einstein, Tuhan tidak bermain dadu ketika mencipta alam ini. Ini bermakna Allah menciptakan seluruh alam ini dengan sungguh-sungguh.
Allah SWT juga tentu tidak main-main ketika menurunkan ayat-ayat qawliyyah-Nya, yakni al-Quran. Al-Quran tidak lain adalah kalam (firman) Allah, Zat Yang Maha Kuasa. Di dalamnya tidak secuil pun cacat-cela, yang membuktikan bahawa al-Quran sebagaimana dakwaan-Nya—benar-benar berasal dari sisi-Nya:
اَفَلَا يَتَدَبَّرُوۡنَ الۡقُرۡاٰنَؕ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِنۡدِ غَيۡرِ اللّٰهِ لَوَجَدُوۡا فِيۡهِ اخۡتِلَافًا كَثِيۡرًا ٨٢
”Tidakkah kalian memperhatikan al-Quran? Seandainya al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentu mereka bakal menjumpai banyak pertentangan di dalamnya” (TMQ an-Nisa’ [4]: 82).
Jika Allah tidak pernah main-main dengan ayat-ayat kawniyyah-Nya (penciptaan alam semesta), juga dengan ayat-ayat qawliyyah-Nya (al-Quran), kita mendapati manusia malah sering ‘bermain-main’ dan mempermainkan ayat-ayat Allah.
Ketika Allah tidak pernah main-main menciptakan alam semesta ini, termasuk manusia, kita mendapati banyak manusia sebaiknya sering ‘bermain-main’ dengan kehidupannya; tidak serius dan bersungguh- sungguh menjalani tugasnya sebagai hamba Allah, yakni beribadah kepada-Nya dalam makna yang seluas-luasnya. Padahal bukankah ibadah (pengabdian kepada Allah) merupakan raison d’etre penciptaan manusia? Allah SWT berfirman:
وَمَا خَلَقۡتُ الۡجِنَّ وَالۡاِنۡسَ اِلَّا لِيَعۡبُدُوۡنِ ٥٦
”Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” (TMQ adz-Dzariyat [51]: 56).
Sebagai Muslim, kita tentu patut meneladani Nabi Muhammad SAW dan para Sahabatnya, yang senantiasa menjalani kehidupan ini dengan serius dan sungguh-sungguh, tanpa pernah bermain-main; terutama dalam urusan ibadah, dakwah, dan jihad.
Dalam urusan ibadah, kita tahu, Nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling banyak melakukannya. Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat malam, bahkan hingga kakinya sering bengkak-bengkak kerana lamanya berdiri ketika solat. Nabi pun orang yang paling banyak berpuasa, bahkan puasa wishâl, kerana begitu seringnya Beliau tidak menjumpai makanan di rumahnya. Nabi juga adalah orang yang paling banyak bertaubat, tidak kurang dari 100 kali dalam sehari, padahal Beliau adalah orang yang ma‘shûm (terpelihara dari dosa) dan dijamin masuk syurga.
Walaupun tidak sehebat Nabi SAW, para Sahabat adalah orang-orang yang paling istimewa ibadahnya setelah Beliau, tidak ada yang melebihi mereka. Mereka, misalnya, adalah orang-orang yang paling banyak mengkhatamkan al-Quran, paling tidak sebulan sekali, bahkan ada yang kurang dari itu. Menurut Uthman bin Affan ra., banyak Sahabat yang mengkhatamkan al-Quran seminggu sekali. Mereka antara lain Abdullah bin Mas‘ud, Ubay bin Kaab, dan Zaid bin Tsabit. Uthman ra. sendiri sering mengkhatamkan al-Quran hanya dalam waktu semalam. Perbuatan itu sering ia lakukan dalam solat malam.
Semua itu menunjukkan bahawa Nabi SAW dan para Sahabat adalah orang-orang yang senantiasa serius dan bersungguh-sungguh dalam urusan ibadah; mereka tidak pernah main-main.
Bagaimana dengan dakwah mereka? Tidak usah ditanya. Nabi SAW dan para Sahabat adalah orang- orang yang telah menjadikan dakwah sebagai jalan hidup sekaligus ‘jalan kematian’ mereka. Dengan kata lain, mereka hidup dan mati untuk dakwah. Sebahagian besar usia mereka, termasuk harta dan jiwa mereka, diwakafkan di jalan dakwah demi menegakkan kalimat-kalimat Allah.
Bagaimana dengan kita? Sudahkah kita serius dan bersungguh-sungguh dalam hidup ini? Ataukah kita masih mengisi hidup ini dengan main-main? Na‘ûdzu billâh min dzâlik!

