Site icon MuslimahHTM News

Kekuasaan Allah SWT Ke Atas Manusia – Surah Qaf (50): 16

[Tafsir] Kekuasaan Allah SWT Ke Atas Manusia – Surah Qaf (50): 16

 

Oleh: Ust. Rokhmat S. Labib, M.E.I.

 

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ وَنَعۡلَمُ مَا تُوَسۡوِسُ بِهِۦ نَفۡسُهُۥۖ وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيدِ  ١٦

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya. Kami lebih dekat dengan dirinya daripada urat lehernya”[TMQ Qaf (50): 16].

 

Dalam ayat-ayat sebelumnya, Allah SWT mengingatkan tentang nasib kaum-kaum terdahulu yang mendustakan rasul-rasul yang diutus kepada mereka, seperti kaum Nabi Nuh AS, Tsamud, ‘Ad, penduduk negeri Rass, Aikah, Fir’aun, dan lain-lain. Mereka juga perlu menerima akibat daripada pendustaan mereka. Mereka ditimpa azab yang memusnahkan mereka.

 

Ayat ini kemudiannya mengingatkan tentang kekuasaan Allah SWT ke atas manusia, terutamanya dalam hal penciptaan.

 

Tafsiran Ayat

 

Allah SWT berfirman:

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ ١٦

”Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia.”

 

Ayat ini bermula dengan wâwu alisti’nâfiyyah. Kemudian disebut huruf al-lâm,  iaitu jawâb[un] li qasam mahzhûf (jawapan kepada sumpah yang dihilangkan). Huruf «قَدۡ» ialah harf tahqîq, yang memberikan makna penegasan.[1]

 

Perkara yang ditegaskan dan diperkukuhkan ialah berita yang disebutkan dalam ayat selepas itu, bahawa Allah SWT benar-benar telah menciptakan manusia. Dalam ayat ini dinyatakan: «ٱلۡإِنسَٰنَ» (manusia). Lâm at-ta’rîf dalam perkataan tersebut memberikan maksud al-jins.[2] Oleh itu, perkataan tersebut merangkumi semua manusia, lelaki dan perempuan, dari manusia pertama hingga yang terakhir. Semuanya diciptakan oleh Allah SWT. Malah as-Samarqandi menyebut bahawa ia bermaksud jamî’ al-khalq (keseluruhan ciptaan).[3]

 

Menurut Ibnu Asyur, walaupun perkataan al-insân (manusia) merangkumi semua manusia, orang pertama yang dimaksudkan ialah kaum musyrik. Ini kerana merekalah yang menjadi sasaran berita ini. Ini adalah peringatan, seperti yang ditunjukkan oleh firmanNya dalam ayat-ayat berikutnya:

ذَٰلِكَ مَا كُنتَ مِنۡهُ تَحِيدُ  ١٩

”Itulah yang dahulu hendak engkau hindari” [TMQ Qaf (50): 19].

 

Juga dalam ayat berikut:

لَّقَدۡ كُنتَ فِي غَفۡلَةٖ مِّنۡ هَٰذَا ٢٢

”Sesungguhnya kamu dahulu benar-benar lalai tentang (peristiwa) ini” [TMQ Qaf (50): 22].

 

Begitu juga dalam firmanNya:

ذَٰلِكَ يَوۡمُ ٱلۡوَعِيدِ  ٢٠

”Itulah hari yang diancamkan” [TMQ Qaf (50): 20].[4]

 

Jika dikaitkan dengan konteks ayat-ayat sebelumnya, ayat ini menunjukkan keanehan mereka yang mengingkari Hari Kiamat dan Hari Kebangkitan yang mereka anggap tidak masuk akal. Padahal jika mereka ingin memberi perhatian dan memikirkan kejadian mereka, sesungguhnya Hari Kiamat adalah sesuatu yang sangat rasional dan masuk akal. Dalam ayat ini mereka diingatkan bahawa Allah SWT telah menciptakan manusia dari sebelumnya mereka tidak ada. Kemudian Dia menghidupkan semula manusia yang sudah mati, yang pastinya lebih mudah bagi Allah SWT. Jika mereka mengakui bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang menciptakan manusia, sedangkan mereka mengingkari kekuasaanNya dalam menghidupkan semula manusia, maka ia menunjukkan mereka tidak konsisten terhadap kekuasaan Allah SWT.

Kemudian ditegaskan:

 

وَنَعۡلَمُ مَا تُوَسۡوِسُ بِهِۦ نَفۡسُهُۥۖ ١٦

”…dan Dia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya” [TMQ Qaf (50): 16].

 

Huruf al-wâwu ialah hâliyyah, iaitu menunjukkan ayat selepas itu menempati kedudukan sebagai hâl (menunjukkan keadaan). Sementara ayat: «نَعۡلَمُ» (kami mengetahui) ialah khabar untuk mubtada‘ yang dihilangkan. Dianggap bahawa ayat lengkapnya ialah: «وَنَحْنُ نَعۡلَمُ » (dan Kami mengetahui).[5]

 

Oleh itu, ayat ini memberitakan bahawa Allah SWT bukan sahaja menciptakan manusia, tetapi  juga amat mengetahui tentang manusia yang menjadi makhluk ciptaanNya itu. Dia mengetahui semua gerak-geri manusia, sama ada yang dilakukan di tempat yang ramai ataupun ketika bersendirian; yang diperlihatkan ataupun yang masih tersembunyi dalam hati manusia.

Ditegaskan dalam ayat ini bahawa Allah SWT mengetahui « مَا تُوَسۡوِسُ بِهِۦ نَفۡسُهُۥ» (apa yang dibisikkan oleh hatinya). Dari segi bahasa, perkataan «الوَسْوَسَة» bermakna «حَدِيثُ النَّفْسِ بِمَنْزِلَةِ الْكَلامِ الخَفِيِّ» (berbicara kepada diri sendiri dalam bentuk perkataan yang tersembunyi).[6] Perkataan «وَسْوَسَةُ النَّفْسِ» bermaksud sesuatu yang terlintas dalam fikiran manusia dan terbersit dalam angan-angannya yang berupa perkataan jiwa.[7]

 

Menjelaskan ayat ini, Ibnu Jarir at-Thabari berkata, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya. Oleh itu, tidaklah tersembunyi kepada Kami semua rahsianya dan semua isi hatinya.”[8]

 

Imam al-Qurthubi juga berkata, “Allah SWT mengetahui apa sahaja yang tersimpan di dalam hati manusia, yang dia rahsiakan dan disimpan dalam kalbunya.”[9]

 

Ditegaskan juga oleh Imam al-Qurthubi, “Dalam ayat ini terdapat ancaman seksaan ke atas  perbuatan maksiat yang dia sembunyikan.”[10]

 

Kemudian Allah SWT berfirman:

وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيدِ  ١٦

”Kami lebih dekat dengan dirinya daripada urat lehernya.” [TMQ Qaf (50): 16].

 

Bukan sahaja mengetahui pelbagai bisikan yang masih terlintas di hati manusia, ayat ini juga menegaskan bahawa Allah SWT lebih dekat daripada urat leher manusia. Menurut Fakhruddin ar-Razi, ayat ini memberikan penjelasan tentang kesempurnaan ilmuNya.[11] Allah SWT lebih dekat dengan  manusia daripada « حَبۡلِ ٱلۡوَرِيدِ » (urat leher). Perkataan « ٱلۡوَرِيدِ  » adalah urat yang menjadi aliran darah, yang menghubungkan bahagian-bahagian badan.[12]

 

Perkataan habl al-warîd merujuk kepada urat leher, iaitu urat yang memanjang dari leher rahangnya ke bahu kiri dan kanannya. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan lain-lain, makna sedemikian adalah sesuatu yang telah makruf atau dikenali secara bahasa.[13]

 

Sebenarnya, perkataan al-habl itu sendiri bermaksud al-warîd (urat). Perkataan itu kemudiannya disandarkan kepada perkataan al-warîd yang mempunyai makna yang sama. Hanya berbeza lafaznya. Sandaran ini termasuk dalam bab yang menyandarkan sesuatu pada makna dari perkataan itu sendiri.[14]

 

Menurut al-Imam al-Qurthubi, ungkapan dalam ayat ini, bahawa Dia lebih dekat daripada urat leher manusia, ia adalah tamsil atau ungkapan untuk menggambarkan kedekatanMaksudnya: Kami lebih dekat dengan dirinya daripada urat lehernya. Namun, ia tidak bermakna dekat dalam erti kata jarak.[15] Kedekatan yang dimaksudkan menunjukkan pengetahuanNya yang sempurna tentang hambaNya. Tiada apa yang tersembunyi bagi Allah. Fakhruddin al-Razi berkata, “Firman Allah  SWT ini adalah penjelasan tentang kesempurnaan ilmuNya.”[16]

 

Menurut al-Baidhawi, ayat ini bermaksud: Kami lebih mengetahui keadaannya daripada orang yang lebih dekat dengan dirinya.[17]

 

Syihabuddin al-Alusi juga berkata bahawa Dia mengetahui keadaan manusia dan tiada apa yang tersembunyi daripadaNya. Dalam ayat ini disebutkan sebabnyatetapi apa yang dimaksudkan ialah musababnya. Ini ialah kerana kedekatan dengan sesuatu secara umum menjadi sebab untuk mengetahui tentang sesuatu itu, keadaannya dan perkataannya. Ini adalah tamsil atau permisalan. Menurut al-Alusi, tidak mungkin memaknakan perkataan dekat tersebut secara tempat. Maha Suci Allah SWT daripada perkara sedemikian.[18]

 

Menurut Abdurrahman as-Sa’adi, al-habl al-warîd atau urat leher adalah sesuatu yang paling dekat dengan manusia, iaitu urat saraf yang terdapat di sebalik urat leher. Ayat ini mengajak manusia untuk melakukan murâqabah atau takut kepada Pencipta mereka. Dia mengetahui fikiran dan hatinya. Dia juga amat dekat dengan dirinya dalam semua keadaan sehingga dia berasa malu kepada DiriNya apabila Dia melihat dirinya melakukan apa yang Dia larang dan mengabaikan apa yang Dia perintahkan.[19]

 

Menurut Ibnu Athiyah, ayat tersebut menggambarkan kekuasaan ke atas hamba-hambaNya, bahawa hamba berada dalam genggaman kekuasaanNya. PengetahuanNya juga merangkumi dirinya. Oleh itu, al-qurb atau kedekatan tersebut berkaitan dengan al-qudrah wa al-sulthân (kekuasaan dan autoriti).[20]

 

Semua dalam Pengetahuan Allah SWT

 

Tiada apa yang tersembunyi bagi Allah SWT.  Menurut ar-Razi, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT mengetahui apa sahaja yang tersimpan di dalam dada.[21] Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam beberapa ayat lain [Surah al-Taghabun (64): 4; Surah al-Ma’idah (5): 7; Surah Hud (11): 5; Surah Luqman (31): 23; Surah Fathir (35): 31; Surah al-Mulk (67): 13; Surah al-Mulk (67): 13-14; dan lain-lain].

 

Bagi orang-orang kafir dan pelaku maksiat, ungkapan dalam ayat ini adalah ancaman kepada mereka. Maksudnya, kekufuran dan kemaksiatan yang mereka lakukan benar-benar diketahui oleh Allah SWT. Kemudian apabila mereka dibangkitkan pada Hari Kiamat untuk diberi balasan, mereka tidak dapat mengelak daripada semua kekufuran dan kejahatan yang telah mereka lakukan di dunia.

 

Wallâhu a’lam bi as-sawâb.

 

Nota kaki:

1        Lihat Muhyiddin Darwisy, I’râb al-Qur‘ân wa Bayânuhu, vol. 9 (Beirut: Dar al-Yamamah, 1995), 287

2        al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 88. Ibnu Athiyah, al-Muharrar al-Wajîz, vol. 5 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2001), 159

3        al-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 3 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1993), 334

4        Ibnu ‘Asyur, al-Tahrîr wa al-Tanwîr , vol. 26 (Tunisia: Dar al-Tunisiyah, 1984), 299

5        Lihat al-Da’as, I’râb al-Qur‘ân, vol. 3 (Damsyiq: Dar al-Munir, 2004), 258; Abu Bilal, al-Mujtabâ min Musykil I’râb al-Qur‘ân, vol. 4, 1224; Mahmud Shafi, al-Jadwâl fî I’râb al-Qur‘ân, vol. 13 (Damsyiq: Dar al-Rasyid, 1998), 307

6        al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 17, 8

7        al-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, vol. 4, 383. Lihat juga al-Baidhawi, Anwâr al-Tanzîl wa Asrâr al-Ta‘wîl, vol. 5, 140

8        al-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl al-Qur‘ân, vol. 22, 341

9        al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 17, 8

10      al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 17, 8

11      al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 28, 134

12      al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 28, 134

13      al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 17, 9; al-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 88

14      al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 17, 9

15      al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur‘ân, vol. 17, 9

16      al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 28, 134

17      al-Baidhawi, Anwâr al-Tanzîl wa Asrâr al-Ta‘wîl, vol. 5, 140-141

18      al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13, 328

19      al-Sa’di, Taysîr al-Karîm al-Rahman (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 805

20      Ibnu Athiyah, al-Muharrar al-Wajîz, vol. 5, 159

21      al-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 28, 134

 

 

 

Exit mobile version