Site icon MuslimahHTM News

Rejab & Kesan Keruntuhan Khilafah

Rejab & Kesan Keruntuhan Khilafah

Oleh : Ummu Zinnirah

 

Bulan Rejab merupakan bulan yang sangat istimewa di sisi Allah SWT. Bulan ke tujuh dalam kalendar hijrah ini juga merupakan salah satu bulan haram dalam Islam. Bulan haram terdiri dari bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Ia dinamakan bulan haram kerana bulan-bulan ini diharamkan peperangan, iaitu lanjutan daripada pegangan orang-orang Arab sebelum Islam. Islam mengakui pegangan tersebut dengan mengharamkan orang-orang Islam memulai peperangan dan diharuskan apabila mereka diancam atau diserang. Umum mengetahui di dalam bulan inilah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj yang menjadi bukti dan mukjizat utama kenabian dan kerasulan junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu berlaku pada 27 Rejab bersamaan 622M. Dalam bulan Rejab, baginda menempuhi Israk Mikraj di mana baginda dibawa menaiki buraq dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan kemudian, meredah angkasa menembusi setiap lapis langit menghadap Allah SWT menerima kefardhuan solat lima waktu.

 

Namun, selain peristiwa ini terdapat satu lagi peristiwa yang turut sama penting dalam lipatan sejarah Islam iaitu runtuhnya Daulah Khilafah Islamiyyah pada tanggal 28 Rejab 1342H bersamaan 3 Mac 1924H apabila sang pengkhianat Kamal Attaturk mengumumkan pembubarannya pada tarikh tersebut. Ini menandakan bahawa pada bulan Rejab tahun 2025, telah genap 101 tahun daulah Islam runtuh. Satu kuasa besar dunia yang dahulunya gah dan menjadi perisai untuk melindungi dan membela umat Islam telahpun hancur. Kini rata-rata umat Islam di seluruh dunia ditindas dan ditimpa pelbagai musibah dan ujian. Akibat ketiadaan khilafah yang melindungi umat Islam, isu di Palestin dan negara-negara umat Islam lain juga tidak kunjung usai. Jumlah kematian rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah meningkat kepada 47,417, dengan 111,571 lagi cedera, menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza [Buletintv3.my,30/01/2025]. Ternyata ini bukan lagi isu peperangan menentang tentera Bridget Al Qassam malah isu genosid yang sebenarnya dilakukan oleh negara haram Israel!

 

Tidak cukup dengan penghapusan dan pembantaian umat Islam di Palestin oleh rejim Zionis, pada tahun lalu, mereka turut membedil dan mengebom umat Islam di Lubnan. Apa yang telah berlaku di Lubnan adalah mereka menggunakan alasan yang sama untuk menentang Hizbullah seperti di Palestin dan taktik yang sama ini tidak akan berhenti sekiranya terus dibiayai oleh Amerika Syarikat. Angka kematian akibat serangan Israel ke atas Lubnan sejak Oktober 2023 melebihi 2,300 dan lebih dari 10,600 lagi cedera. Pada akhir September 2024, Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran di seluruh Lubnan terhadap apa yang didakwanya sebagai sasaran Hizbullah yang telah membunuh sekurang-kurangnya 1,488 orang, mencederakan lebih 4,297 yang lain, dan menyebabkan lebih 1.34 juta orang kehilangan tempat tinggal [sinarharian.com.my,14/10/2024]. Rejim Zionis telah memperluaskan tenteranya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan kejam beramai-ramai di Gaza.

 

Persoalannya di manakah perginya pemimpin-pemimpin Islam di dunia yang sepatutnya mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap masalah ini?. Pertubuhan seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan sebagainya hanyalah menjadi wayang semata-mata. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dipersoalkan kredibilitinya kerana sehingga kini masih gagal menangani konflik yang terjadi. Selagi umat Islam patuh kepada kehendak kafir dan menjadikan mereka sebagai ketua, selagi itulah negara Islam hanya menjadi boneka yang menjadi mainan Amerika dan sekutunya.

 

Di sebahagian wilayah umat Islam ketika ini, pergolakan dan peperangan akibat campur tangan asing serta penindasan oleh rejim penguasa yang zalim terus berlarutan. Setelah Khilafah diruntuhkan, Islam tidak lagi menjadi sistem kehidupan buat umatnya. Sebaliknya, sistem kehidupan yang wujud dalam dunia Islam ketika ini semuanya meletakkan nilai dan norma menurut sudut pandang Barat. Sistem demokrasi kapitalis yang diterapkan hari ini merupakan warisan penjajah yang berlandaskan prinsip-prinsip kebebasan menurut acuan mereka. Natijahnya, bukan sahaja akidah umat Islam semakin terancam, bahkan Islam juga dihina oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atas nama kebebasan berpendapat dan bersuara. Di samping itu, gejala sosial turut berleluasa lantaran tiadanya penekanan terhadap penerapan aturan sosial dan pergaulan mengikut panduan syarak. Keadaan ekonomi umat Islam turut meruncing akibat dibelenggu sistem kapitalis. Peningkatan kos sara hidup, serta melebarnya jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin merupakan antara kesan daripada penerapan ekonomi kapitalis yang berasaskan riba dan akad-akad yang batil.

 

Demikianlah realiti umat Islam pada hari ini, setelah 101 tahun ketiadaan khilafah yang menjadi perisai umat. Kini, Khilafah bukan sekadar keperluan yang mendesak, bahkan merupakan satu kewajipan yang telah sekian lama tertangguh. Khilafah inilah yang akan melindungi umat Islam daripada terus diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar dalam percaturan politik dunia, serta menggarap potensi umat ini sepenuhnya demi mengembalikan semula kegemilangannya sepertimana yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu. Lihatlah kesengsaraan yang dialami saudara seIslam di Gaza, Lubnan, Syria, Afghanistan, Iraq, dan lain-lain lagi. Kesemuanya berpunca daripada tidak diterapkan Islam secara keseluruhan di dalam kehidupan bermasyarakat dan negara. Pemikiran asing dari Barat masih mencengkam kuat dalam umat menjadikan masih ramai yang belum bangkit.

 

Keadaan umat Islam hari ini jika kita bandingkan dengan zaman keemasan Khilafah yang terdahulu ternyata cukup berbeza, umpama langit dan bumi. Catatan emas di era kegemilangan Khilafah di bawah Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan salah satu contoh bagaimana Islam mampu dan berupaya membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh alam, sesuai dengan firman Allah SWT:

 

Dan tiadalah Kami mengutuskanmu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” [TMQ al-Anbiyaa’ (21) : 107].

 

Oleh yang demikian, seluruh umat Islam perlu cakna tentang kejatuhan sistem Khilafah ini dan berusaha dengan bersungguh-sungguh ke arah pembentukan negara Khilafah yang menjadi penyelesaian tuntas kepada semua masalah sejagat insyaAllah.

 

 

Exit mobile version