[TRIVIA MUSLIMAH IDEAL]
Ibunda Sultan Muhammad Al-Fatih
Tahukah anda bahawa ibu Sultan Muhammad Al-Fatih, Huma Hatun, adalah contoh teladan dalam mendidik anaknya dengan penuh dedikasi dan visi yang jelas. Setiap pagi, beliau menggendong anaknya dan membawa ke tepi tebing untuk menunjukkan ke arah kota Konstantinopel, sambil membacakan hadis yang mengandungi janji tentang penaklukan kota tersebut oleh tentera Islam, “Konstantinopel akan ditaklukkan oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera”. Ini bukan sekadar kisah biasa, tetapi satu bentuk pengajaran yang mencorakkan minda dan jati diri seorang pemimpin masa depan.
Ibu Al-Fatih tidak hanya mendidik dengan kata-kata, tetapi juga dengan tindakan dan pengajaran yang menyeluruh. Beliau mengajarkan anaknya tentang geografi, sempadan wilayah, serta pentingnya Al-Quran dan berkata, “Engkau wahai anakku, akan membebaskan wilayah ini. Engkau akan membebaskannya dengan Al-Quran, kekuatan, persenjataan dan mencintai manusia”. Melalui kesabaran dan ketabahan yang luar biasa, beliau memastikan anaknya dibentuk dengan cita-cita besar dan semangat untuk mencapai matlamat mulia.
Keberhasilan Sultan Muhammad Al-Fatih menaklukkan Konstantinopel pada usia 23 tahun adalah hasil daripada pendidikan yang penuh kasih sayang, disiplin, dan visi jauh ke hadapan. Ini mengajar kita betapa pentingnya peranan ibu bapa dan pendidik dalam membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, tetapi juga mempunyai keperibadian yang hebat sebagai pemimpin masa depan.
#MuslimahIdeal #SeniMembinaGenerasiPemimpin #IbuMuslimahInspiratif

