[NAFSIYAH] MENERIMA QADHA ALLAH SWT
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
BAGAIMANA perasaan anda saat bersaing dalam sebuah tender bagi mendapatkan suatu projek yang anda amat harapkan dan anda kalah, sedangkan anda sudah berusaha mati-matian? Bagaimana pula perasaan anda ketika wanita yang anda idam-idamkan jatuh ke pelukan lelaki lain dan menikah dengan lelaki tersebut, sedangkan anda sudah berusaha keras membeli hati wanita yang anda cintai itu? Sudah tentu perasaan kecewa atau marah mungkin sempat merasuk ke dalam dada anda.
Bagaimana pula jika anda ditimpa musibah baik itu kebakaran rumah, kehilangan kenderaan, ditinggalkan orang tersayang, atau dipecat dari pekerjaan? Sudah tentu anda juga akan merasa sedih dan kecewa.
Rasa sedih atau kecewa adalah fitrah manusia. Namun, bagi anda yang mengaku muslim dan mengimani Allah SWT, tidak sepatutnya anda berlarut-larut dalam kesedihan dan kekecewaan yang melampau. Sebab, Allah SWT telah berfirman:
لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
“Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang hilang daripada kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri.” (TMQ al-Hadid [57]: 23).
Terkait itu, Imam al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya memetik hadis dari Ibn Mas’ud bahawa Nabi SAW pernah bersabda, “Salah seorang di antara kalian tidak akan merasakan nikmatnya iman hingga dia menyedari bahawa apa sahaja yang menimpa dirinya tidak mungkin keliru dan apa sahaja yang keliru tidak mungkin menimpa dirinya.”
Kutipan ayat dan hadis di atas hakikatnya mengajari kita tentang keyakinan terhadap kurnia Allah SWT, sekaligus kesedaran tentang musibah yang menimpa kita. Di satu sisi kita diajari bahawa rezeki tidak akan pernah tertukar. Walau kuatnya usaha kita, andai memang bukan rezeki kita, tak mungkin rezeki itu dapat kita raih. Begitu juga sebaliknya. Betapa kuatnya orang menghalang-halangi rezeki kita, pasti mereka gagal. Di sisi lain, terkait musibah pula, jika memang sudah ditakdirkan oleh Allah SWT bahawa musibah akan menimpa kita, tak mungkin kita dapat menghindarinya. Sebaliknya, betapa kuatnya orang menimpakan musibah kepada diri kita, jika memang Allah SWT tidak mengizinkannya, maka musibah tersebut tidak akan menimpa kita.
Kesimpulannya, betapa penting bagi setiap mukmin meyakini dan menerima segala yang telah menjadi qadhâ (ketetapan) Allah SWT. Hanya dengan itu hidupnya akan diliputi ketenangan sekaligus terhindar dari keresahan dan kebimbangan.
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.

