Site icon MuslimahHTM News

Jihad Sebagai Kewajipan Mutlak dalam Islam

Jihad Sebagai Kewajipan Mutlak dalam Islam

 

Oleh : Aliya Ab Aziz

 

Dalam Siri Tadabbur Ayat Pilihan: Surah Al-Baqarah Ayat 190-194, Aktivis Muslimah Malaysia Ustazah Ummu Huda menyatakan bahawa ayat pilihan tersebut memberikan garis panduan jelas mengenai kewajipan dan batasan dalam peperangan.

 

“Ayat-ayat ini menegaskan bahawa jihad merupakan suatu kewajipan bagi umat Islam, tetapi dengan syarat tertentu yang ditetapkan oleh Allah,” tuturnya.

 

Setelah membaca 190, beliau menegaskan, “Jihad itu adalah kewajipan mutlak kepada umat Islam yang mana Allah perintahkan. Jihad dalam Islam adalah jihad pada jalan Allah.” ujarnya dalam siaran langsung di Facebook Muslimah HTM bertajuk Jihad Yang Diredhai Allah, Sabtu lalu (08/02/2025).

 

Beliau turut memetik hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy‘ari, di mana Rasulullah SAW menjelaskan bahawa jihad yang benar adalah jihad yang dilakukan semata-mata untuk meninggikan kalimah Allah.

 

“Siapa yang berperang supaya kalimah Allah berada di tempat yang tertinggi, maka dialah yang berjuang pada jalan Allah,”petiknya.

 

Menurutnya lagi, hadis itu menjelaskan bahawa niat dalam berjihad sangatlah penting. “Seseorang yang berperang untuk kepentingan peribadi, seperti mencari harta rampasan atau ingin dikenali sebagai pemberani, tidak dikategorikan sebagai jihad yang sebenar.” jelasnya.

 

Ustazah Ummu Huda kemudian membahagikan jihad kepada dua jenis utama. “Pertama, jihad defensif yang berlaku apabila umat Islam diserang dan mereka wajib mempertahankan diri. Berdasarkan ayat 190, konsep ini ditekankan tanpa melampaui batas,” ujarnya.

 

“Jihad defensif ini adalah fardhu ain. Apabila seseorang diserang, dia wajib melawan dan tidak boleh menyerah.” katanya.

 

Beliau turut memetik dalil lain yang mendukung konsep itu, termasuk Surah Al-Hajj ayat 39, “Diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi kerana mereka telah dizalimi.”

 

Menurutnya, dalam sejarah Islam, jihad defensif dapat dilihat dalam peperangan seperti Perang Badar dan Uhud, di mana umat Islam berperang untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh.

 

Kedua, jiihad ofensif iaitu perang yang dimulakan oleh umat Islam untuk menyebarkan dakwah dan menghapuskan fitnah kemusyrikan.

 

Menjelaskan kategori tersebit, beliau mengutip surah Al-Baqarah ayat 193, “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”

 

Akan tetapi menurutnya, jihad ofensif ini hanya dapat dilakukan apabila terdapat kekuatan Islam yang terorganisasi, seperti pada zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa’ Ar-Rasyidin.

 

“Jihad ofensif ini adalah jihad yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabatnya setelah mereka berjaya mendirikan daulah Islam di Madinah. Mereka tidak berhenti berjihad untuk menyebarkan Islam dan menyingkirkan halangan-halangan dakwah.” jelasnya.

 

Beliau juga menekankan bahawa Islam meletakkan Batasan-batasan dalam jihad, sebagaimana disebut dalam ayat 190, “Dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

 

Menurutnya, Rasulullah SAW telah memberikan garis panduan ketat kepada para sahabat dalam berperang. Dia memetik hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, di mana Rasulullah SAW bersabda, “Jangan khianat, jangan mencincang mayat, jangan membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua, dan jangan menghancurkan rumah ibadah.”

 

“Hadis ini menekankan bahawa jihad dalam Islam tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya mesti mengikut prinsip-prinsip keadilan.” komentarnya.

 

Beliau juga membandingkan prinsip Islam ini dengan realiti peperangan moden, khususnya yang berlaku di Gaza, di mana majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

 

“Kini peperangan di Gaza bukan lagi peperangan, tetapi pembunuhan dan pembantaian. Hampir 70% mangsa yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak.” ujarnya dengan nada kecewa.

 

Mengakhiri sesi tadabbur, Ustazah Ummu Huda menegaskan bahawa hanya sistem Khilafah yang dapat membela umat Islam daripada kezaliman dan itulah solusi bagi permasalahan umat saat ini.

 

“Hanya dengan menegakkan sistem khilafah, umat Islam dapat bersatu dan mempertahankan diri dengan cara yang benar.” tutupnya.

 

Sumber: https://www.facebook.com/share/v/169dX177J9/

Exit mobile version