Apabila Anak Ingin Bersahabat
Oleh: Nabila Ummu Anas
Bersahabat adalah fitrah manusia. Manusia termasuk anak tidak suka bersendirian terutama anak yang memasuki usia bermain dan bersekolah. Mereka ingin ada sahabat apabila bermain. Bukan sahaja bermain bersama, anak juga ingin berkongsi cerita atau kadang-kadang meluahkan perasaan kepada rakan mereka.
Sahabat atau rakan rapat biasanya menjadi tempat meluahkan apa yang terbuku dalam fikiran atau perasaan seseorang, termasuklah anak. Ini adalah bentuk penyaluran gharizah baqa’ (naluri mempertahankan diri). Dengan sahabat mereka, anak dapat meluahkan perasaan mereka, didengari, mendapat perhatian dan penghargaan, rasa kewujudan diri, dan sebagainya.
Ibu bapa mestilah peka melihat keadaan anak yang menandakan dia ingin mempunyai sahabat. Kerana, sahabat atau kawan akan mempengaruhi kehidupan anak.
Ramai anak yang lebih mempercayai dan sangat setia dengan rakan atau sahabat mereka berbanding dengan adik beradik atau ibu bapa mereka sendiri. Malah, dia boleh memaafkan kesilapan atau kekurangan sahabatnya. Sedangkan jika kesalahan atau kelemahan ada pada ibu bapa atau adik-beradiknya, dia tidak boleh menerimanya malah memprotes seadanya.
Ibu, Jadilah Sahabat Pertama Anak
Ibu adalah sosok yang paling dekat dengan anak, sejak dia dilahirkan, dibesarkan dan dijaga oleh ibunya. Bahasa kasih sayang ibu bukan sahaja secara lisan, tetapi juga ekspresi muka, belaian dan pelukan ibu menjadi modal persahabatan erat antara ibu dengan anak kelak.
Sebagai sahabat, ibu memainkan peranan yang besar dalam membentuk keperibadian Islam dan mengembangkan potensi anak. Potensi akal, fizikal dan naluri anak akan terarah kepada sosok muslim sejati yang cerdas dan taat beragama.
Bapa juga boleh menjadi sahabat anak. Bagaimanapun, sebahagian besar masa seorang bapa dalam mencari rezeki kadangkala menyebabkan dia mempunyai sedikit masa untuk diluangkan bersama anak-anaknya. Apa yang jelas, ibu bapa mesti bersatu dalam apa yang mereka harapkan daripada persahabatan antara ibu bapa dengan anak-anak.
Rasulullah SAW bersabda,
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah/suci (Islam), maka ibu bapanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR Bukhari)
Sahabat Boleh Memberi Warna kepada Kehidupan Anak
Rasulullah SAW bersabda,
“Seseorang itu bergantung pada agama temannya. Oleh kerana itu, hendaklah salah seorang di antara kalian memperhatikan siapa yang dia jadikan teman.” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)
Ibu bapa harus sedar bahawa sesiapa sahaja sahabat anak akan menyumbang kepada pembentukan keperibadian anak. Tabiat baik yang telah dibentuk dari rumah akan dimantapkan lagi oleh sahabatnya.
Begitu juga sebaliknya, anak soleh yang dibentuk dari rumah juga akan mempengaruhi rakan pergaulannya. Anak yang sudah biasa menasihati sahabatnya apabila mereka lalai atau melanggar syariat. Keperibadian Islam akan menjadikan anak terserlah di antara rakan-rakannya, malah menjadi magnet kebaikan bagi mereka.
Rasulullah SAW bersabda,
“Seseorang yang duduk (berkawan) dengan orang soleh dan orang yang jahat, seperti berkawan dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Pemilik minyak wangi tidak akan membahayakan engkau, engkau boleh membeli (minyak wangi) daripadanya atau sekurang-kurangnya engkau akan mendapat baunya. Adapun berkawan dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaian engkau hangus terbakar, sekurang-kurangnya engkau akan mendapat bau busuknya.” (HR Imam Bukhari)
Dari Abu Juhaifah Wahb bin Abdullah, beliau berkata,
“Suatu ketika Nabi SAW pernah membantu persahabatan antara Salman dan Abu Darda’. Ketika Salman berkunjung ke rumah Abu Darda, dia melihat Ummu Darda’ (isteri Abu Darda) dalam keadaan mengenakan pakaian yang kusut. Salman kemudian bertanya, “Mengapa engkau dalam keadaan seperti itu?” Isteri Abu Darda’ menjawab, “Saudaramu Abu Darda’ sudah tidak mempunyai keinginan untuk dunia (zuhud).”
Kemudian Abu Darda’ datang dan dia membuat makanan untuk Salman. Abu Darda’ kemudian berkata kepada Salman, “Makanlah, kerana aku sedang berpuasa.” Salman menjawab, “Aku tidak akan makan sehingga engkau juga makan.” Maka Abu Darda’ pun makan. Pada waktu malamnya, Abu Darda’ bangun untuk menunaikan solat malam. Salman yang melihatnya lalu berkata, “Tidurlah.” Abu Darda’ pun kembali tidur.
Kemudian apabila Abu Darda’ bangun hendak menunaikan solat pada waktu malam, Salman berkata lagi, “Tidurlah!” Sehingga ke penghujung malam, Salman berkata, “Bangun!” Kemudian mereka solat bersama-sama.
Setelah itu Salman berkata kepada Abu Darda’, “Sesungguhnya bagi Tuhanmu ada hak, bagi dirimu ada hak, dan bagi keluargamu juga ada hak. Maka penuhilah setiap hak tersebut.”
Kemudian Abu Darda’ datang kepada Nabi SAW untuk menceritakan apa yang baru saja berlaku. Rasulullah SAW lalu bersabda, “Salman benar.” (HR Imam Bukhari)
Membimbing Anak Ketika Bersahabat
Anak ingin memiliki sahabat yang baik, begitu juga anak orang lain terhadap anak kita. Mereka juga mahu anak kita menjadi sahabat yang baik untuk anak mereka. Anak-anak muslim adalah sahabat yang baik antara satu sama lain. Ajarkan anak mengetahui hak dan kewajipan sesama muslim.
Dari Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Ada enam hak muslim terhadap muslim yang lain.” Beliau bersabda, “Apabila engkau bertemu, ucapkanlah salam kepadanya; Apabila engkau diundang, penuhi undangannya; Apabila engkau diminta nasihat, berilah nasihat kepadanya; Apabila dia bersin lalu memuji Allah (mengucapkan ‘alhamdulillah’), doakanlah dia (dengan mengucapkan ‘yarhamkallah’); Apabila dia sakit, jenguklah dia; dan apabila dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya (sampai ke tanah perkuburan).” (HR Muslim)
Anak juga mengetahui peraturan pergaulan yang diajarkan oleh Islam. Menutup aurat, tidak berkawan rapat dengan berlainan jantina, tidak mengasingkan diri, tidak bermain permainan yang membahayakan diri dan orang lain, adalah ajaran Islam yang mesti difahami oleh anak.
Menegur, memberi nasihat, ibadah berjemaah, berakhlak mulia, dan berkata-kata yang baik seharusnya menghiasi persahabatan anak.
Rasulullah SAW bersabda,
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya.” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)
#DuniaParenting
#MenjadiSahabatAnak
#muslimahideal #senimembentukgenerasipemimpin

