Tahapan Mendidik Anak Pra Mumaiyiz
Oleh: Hidayah Muhammad
Aktivis Dakwah Malaysia Puan Ummi Kalsum menyatakan bahawa ada tahapan-tahapan yang perlu dilakukan oleh ibubapa dalam mendidik anak pada fasa pra mumaiyiz.
“Ada tahapan-tahapan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dalam mendidik anak pada fasa pra mumaiyiz. Usia pra mumaiyiz adalah dari 0-6 tahun. Pada umur 0 – 2 tahun, ibu bapa hendaklah memberikan hak anak, seperti menyusukan, perhatian dan kasih sayang sepenuhnya dalam tempoh itu. Pada umur 2-6 tahun, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak yang berada di fasa pra mumaiyiz dengan memberikan sepenuh perhatian, bantuan dan bimbingan, ujarnya dalam program Open Circle Special bertajuk Mendidik Anak Sedari Kecil, Sabtu (1/2/2025).
Fokus mendidik anak-anak fasa pra mumaiyiz adalah membina proses berfikirnya. “Maksudnya bagaimana kita mengisi ke otak anak dengan fakta atau informasi yang benar. Jadi, tentu ibu bapa akan memberikan fakta atau informasi tentang akidah Islam, akhlak, ilmu dunia yang berkaitan tentang kehidupan,” katanya.
Ada beberapa perkara yang perlu dilakukan pada fasa pra mumaiyiz ini.
Pertama, mengajarkan asas akidah Islam. “Sebagai ibu bapa, perlu jelaskan tentang kewujudan pencipta iaitu Allah SWT dan menjelaskan apa tujuan penciptaan kita sebagai hamba dengan cara yang mudah difahami oleh anak-anak seperti bercerita,” jelasnya.
Kedua, mengajarkan dan menunjukkan tentang akhlak yang baik. “Ini penting kerana pada fasa ini anak-anak lebih kepada melihat tingkah lalu orang di sekelilingnya terutama ibu bapanya,” tambahnya.
Ketiga, mengajar ilmu kehidupan berlandaskan Islam. “Sebagai contoh kemahiran bersosial, pada umur 4-6 tahun, anak-anak ini mula bergaul dengan kawan-kawan yang seusia dengan mereka. Maka ibu bapa perlu mengajarkan kepada mereka batasan dalam berinteraksi, tidak boleh mengambil hak orang lain dan sebagainya,” tegasnya.
Beliau menambah, masa kanak-kanak merupakan masa yang sangat penting dalam proses membesarkan anak. “Di masa inilah pemikiran, sikap dan kebiasaan anak-anak mudah dibimbing, apalagi yang membimbing adalah ibu bapanya. Kerana mereka orang yang paling dekat dengan anak tersebut,” ujarnya.
Dalam hadis riwayat Muslim, “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, lalu kedua ibubapanyalah yang menjadikannya sebagai seorang Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.”
Beliau menyimpulkan bahawa mendidik anak-anak mesti bermula dari fasa pra mumyyaiz ini. “Seperti kita membangun sebuah rumah atau bangunan, kemudian kita reka bentuk bangunan yang kita nak bina, lalu kita keluarkan modal dan membeli bahan-bahan yang berkualiti, seterusnya kita akan membangun tapaknya sebagai asas terlebih dahulu dan akan memastikan bahawa asas tersebut kuat dan kukuh di setiap bangunan. Sama juga seperti mendidik anak kecil untuk menguatkan mereka, kuatkan akidah dan keyakinan mereka dengan mengenal penciptanya,” tutupnya.

