Site icon MuslimahHTM News

Penimbunan Adalah Haram

Penimbunan Adalah Haram
Oleh: Yahya Abdurrahman

لَا يَحْتَكِرُ إِلَّا خَاطِئٌ
“Tidak ada yang melakukan penimbunan kecuali orang yang bermaksiat.” (HR Muslim no. 1605, Ahmad no. 15758, 15759, 16760, 16761, Ibnu Majah no.2154, Abu Dawud no. 3447, at-Tirmidzi no. 1267, Ibnu Hibban no. 4936, al-Hakim no. 2163 dan al-Baihaqi di Sunan al-Kubrâ no. 11148).

Hadis ini diriwayatkan dari jalur Sa’id bin al-Musayyab, dari Ma’mar bin Abdullah al-‘Adawi. Hadis ini juga diriwayatkan dengan redaksi lain:

مَنِ احْتَكَرَ فَهُوَ خَاطِئٌ
“Siapa saja yang melakukan penimbunan maka dia bermaksiat (berdosa).”  (HR Muslim no. 1605, Abu ‘Awanah no. 5484, ath-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabîr no. 1086 dan al-Baihaqi di Ma’rifah as-Sunan wa al-Atsar no. 11656).

Imam an-Nawawi di dalam Syarhu Shahîh Muslim menjelaskan, ahlu al-lughah mengatakan, al-khâthi‘u adalah orang yang bermaksiat dan berdosa (al-‘âshiy al-âtsim). Hadis ini dengan jelas menjelaskan pengharaman al-ihtikâr (penimbunan).

Hadis ini disampaikan dalam bentuk redaksi berita, namun memberi makna larangan. Sebagaimana ketentuan ushul, redaksi berita tentang suatu perbuatan yang disertai dengan celaan atas perbuatan itu memberi makna larangan atas perbuatan tersebut.

Adanya qarînah (petunjuk) itulah yang menentukan arah larangannya, sama ada tegas atau tidak, iaitu larangan itu memberi faedah yang haram atau yang lain. Qariinah dalam hadis di atas iaitu penilaian atas pelaku perbuatan itu sebagai al-‘âshiy al-âtsim (bermaksiat/dosa). Hal ini menunjukkan bahawa larangan itu merupakan larangan yang tegas sehingga perbuatan yang dilarang, iaitu al-ihtikâr (penimbunan), adalah haram. Sebabnya, tidaklah disebut orang itu bermaksiat dan berdosa kecuali dia melakukan keharaman atau meninggalkan kewajipan. Dengan demikian al-ihtikâr (penimbunan) adalah haram.

Ketegasan larangan itu juga dikuatkan oleh qarînah lainnya yang ada dalam hadis lainnya. Umar bin al-Khathab RA menuturkan bahawa Rasul SAW telah bersabda:

مَنِ احْتَكَرَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ طَعَامَهُمْ، ضَرَبَهُ الله بِالْجُذَامِ وَالْإِفْلَاسِ
“Siapa yang melakukan penimbunan makanan (sehingga terhalang) dari kaum Muslim, nescaya Allah menimpakan pada dirinya penyakit kusta/lepra dan MUFLIS.”  (HR Ibnu Majah no. 2155 dan al-Baihaqi di Syu’ab al-Îmân no. 10705).

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Ashqalani di dalam Fathu al-Bârî menilai riwayat Ibnu Majah ini sebagai hadis hasan.

Hal itu juga ditekankan di sebahagian hadis lainnya yang dinilai dhaif. Dalam riwayat yang dinilai oleh Badruddin al-‘Ayni di dalam ‘Umdah al-Qârî Syarhu Shahîh al-Bukhârî dan al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Ashqalani sebagai dhaif, Rasul SAW bersabda:

اَلْجَالِبُ مَرْزُوْقٌ وَالْمُحْتَكِرُ مَلْعُوْنٌ
“Orang yang mendatangkan barang itu diberi rezeki, sedangkan orang yang menimbun dia dilaknat.” (HR Ibnu Majah dan al-Hakim).

Abu Hurairah RA menuturkan bahawa Rasul SAW juga pernah bersabda:
مَنِ احْتَكَرَ يُرِيدُ أَنْ يُغَالِيَ بِهَا عَلَى الْمُسْلِمِينَ فَهُو خَاطِئٌ، وَقَدْ بَرِئَتْ مِنْه ذِمَّةُ الله
“Siapa saja yang melakukan penimbunan kerana ingin memahalkan harganya terhadap kaum Muslim maka dia telah bermaksiat dan berdosa. Jaminan Allah pun telah lepas dari dirinya.” (HR al-Hakim, al-Baihaqi).

Imam asy-Syaukani di dalam Nayl al-Awthâr menyatakan: tidak diragukan lagi bahawa hadis-hadis bab ini (bâb mâ jâ’a fî al-ihtikâr [bab tentang penimbunan]) secara keseluruhannya digunakan untuk berhujah atas ketidakbolehan penimbunan walaupun diandaikan bahawa sebahagian hadis tidak dibuktikan dalam Ash-Shahîh. Bagaimana tidak. Hadis Ma’mar yang disebutkan di dalam Shahîh Muslim, juga pernyataan jelas bahawa al-muhtakir (orang yang menimbun) adalah khâthi’[un], cukup memberikan faedah tentang ketidakbolehan itu. Sebab, al-khâthi’u adalah al-mudznibu al-‘âshiyu (orang berdosa dan bermaksiat), iaitu isim faa’il dari khathi’a, iaitu yang berdosa dalam perbuatannya. Demikian dikatakan oleh Abu ‘Ubaidah. Dia berkata, “Aku mendengar al-Azhari mengatakan bahawa khathi’a jika dia sengaja dan akhtha`a jika tidak sengaja.”

Al-Kasani menyatakan di dalam Badâ‘i’u ash-Shanâ‘i’, “ Sebagai contoh, ancaman ini tidak berlaku kecuali dengan melakukan yang haram dan kerana itu (penimbunan) adalah kezaliman. Sebab, apa saja yang dijual di suatu kota di dalamnya ada hak masyarakat umum. Maka dari itu, jika pembeli dihalangi dari membeli suatu barang ketika sangat memerlukan barang tersebut, maka itu telah menghalangi hak mereka. Menghalangi hak orang yang berhak adalah kezaliman dan haram. Sama saja dalam hal itu jangka waktunya pendek atau panjang kerana kezaliman memang terjadi.”

Sebahagian ulama menilai penimbunan termasuk dosa besar. Imam Ibnu Hajar al-Haitami di dalam Nihâyah al-Muhtâj mengatakan, “Keberadaannya sebagai dosa besar itu nyata dalam beberapa hadis kerana di dalamnya mengandungi ancaman keras seperti laknat, lepasnya jaminan Allah dan Rasul-Nya serta ditimpakan penyakit kusta dan muflis (kepada pelakunya, red.). Sebahagian ini adalah dalil atas dosa besar.”

Seperti yang dikatakan oleh al-Kasani di atas, pengharaman penimbunan ini mencegah kezaliman terhadap masyarakat umum. Inilah hikmah dari pengharaman penimbunan yang diisyaratkan oleh hadis-hadis tentang penimbunan.

Imam an-Nawawi di dalam Syarhu Shahîh Muslim menyatakan, “Ulama mengatakan bahawa hikmah pengharaman penimbunan adalah mencegah dharar dari masyarakat umum. Sebagaimana ulama berijmak bahawa seandainya orang memiliki makanan dan masyarakat sukar mendapatkan makanan tersebut, sementara mereka tidak mendapati yang lainnya, maka dia dipaksa untuk menjual makanan itu sebagai pencegahan/penghilangan dharar dari masyarakat. Adapun yang disebutkan di dalam buku bahawa Sa’id bin al-Musayyab dan Ma’mar perawi hadis, keduanya melakukan penimbunan yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abdi al-Barr dan yang lainnya, tidak lain keduanya menimbun minyak, dan keduanya membawa (larangan) hadis itu pada penimbunan makanan ketika diperlukan dan harganya mahal. Demikianlah Asy-Syafi’iy, Abu Hanifah dan yang lain membawa pemahamannya dan itu benar”.

Dengan demikian penimbunan adalah haram. Siapa saja yang melakukan penimbunan yang diharamkan itu bermaksud telah melakukan dosa besar. Hal itu merupakan jarîmah yang pelakunya layak mendapat hukuman ta’ziir yang penetapannya diserahkan kepada Khalifah atau qaadhi.

WalLâh a’lam wa ahkam.

Exit mobile version