MEMPERSIAPKAN DIRI MENYAMBUT BULAN SUCI
Kedatangan Ramadhan, yang sering dikatakan sebagai “bulan suci”, akan menyapa kita lebih kurang seminggu sahaja lagi. Namun demikian, suasana Tarhîb (Penyambutan) Ramadhan sudah mulai terasa. Kaum Muslim, seperti tahun-tahun sebelumnya, menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh sukacita. Ramadhan ibarat “tetamu agung” yang kedatangannya sentiasa dinanti-nantikan. Apatah lagi Ramadhan datang cuma setahun sekali. Inilah yang menjadikan kaum Muslim selalu teruja saat Ramadhan datang kembali.
Sebagai “tetamu agung” yang kedatangannya hanya setahun sekali, Ramadhan layak untuk selalu dirindukan oleh setiap Muslim dan selalu dinanti-nantikan setiap tahun. Namun demikian, Syaaban, sebagai bulan sebelum Ramadhan, juga tak boleh dianggap remeh. Tidak sepatutnya seorang Muslim mengabaikan Bulan Syaaban.
Apatah lagi Rasulullah SAW pernah mengingatkan:
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
“Bulan Syaaban—bulan antara Rejab dan Ramadhan—adalah bulan saat manusia lalai. Syaaban adalah bulan yang di dalamnya dinaikkan berbagai amal manusia kepada Tuhan alam semesta. Oleh kerana itu, aku amat suka, ketika amalku dinaikkan (kepada Allah), aku dalam keadaan berpuasa.” (HR an-Nasa’i).
Hadis ini menunjukkan bahawa Syaaban memiliki keistimewaan tersendiri. Namun, banyak kaum Muslim yang kurang memanfaatkan bulan Syaaban kerana lebih fokus pada bulan Rejab atau bulan Ramadhan. Padahal jelas, dalam hadis di atas, Rasulullah SAW menyatakan bahawa Bulan Syaaban adalah momentum amal-amal manusia diangkat kepada Allah SWT.
Oleh kerana itu, hendaknya kita memperbanyak amal-amal soleh seperti solat-solat sunnah, puasa sunnah, bersedekah, berzikir, membaca al-Quran, berdakwah, melakukan amar makruf nahi mungkar dan amal-amal soleh yang lain. Sudah pasti agar ketika amal-amal kita disampaikan kepada Allah SWT, kita berada dalam keadaan terbaik.
Pada Bulan Syaaban, Rasulullah SAW juga memberikan teladan kepada kita dengan memperbanyak puasa sunnah di dalamnya. Demikian sebagaimana dituturkan oleh Aisyah ra., “Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa satu bulan penuh kecuali pada Bulan Ramadhan. Aku pun tidak pernah melihat beliau berpuasa lebih banyak dalam satu bulan dibandingkan dengan pada Bulan Syaaban.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Selain memperbanyak puasa sunnah sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah SAW, generasi shalafush-shâlih sering mengisi Bulan Syaaban dengan banyak membaca al-Quran (Lihat: Ibnu Hajar, Fath al-Bâri, 13/311).
Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Imân juga menyebutkan bahawa ketika Syaaban tiba, para Sahabat dan Tâbi’în lebih fokus dalam berinteraksi dengan al-Quran. Bahkan Imam Ibnu Rejab al-Hanbali menyebut bahawa Syaaban adalah bulan al-Quran. Sebab, pada bulan inilah kaum Muslim mulai meningkatkan intensiti tilâwah dan tadabbur al-Quran sebelum memasuki bulan Ramadhan. Lalu, saat Ramadhan benar-benar tiba, mereka makin meningkatkan lagi intensiti mereka dalam berinteraksi dengan al-Quran.
Oleh kerana itu, kaum Muslim hendaklah mulai membiasakan diri membaca al-Quran lebih banyak sejak bulan Syaaban agar ketika Ramadhan tiba, interaksi dengan al-Quran semakin optimal.
Selain itu pada bulan Syaaban pula, generasi salafush-shâlih juga biasa mengeluarkan zakat, termasuk banyak berinfak dan bersedekah. Tujuannya, agar orang-orang fakir/miskin memiliki bekal yang cukup untuk menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Dengan begitu mereka tidak merasa terlalu susah untuk mendapatkan makanan untuk sahur dan berbuka (Lihat: Ibnu Hajar, Fath al-Bâri, 13/311).
Mempersiapkan Diri
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh berkah, ampunan dan rahmat dari Allah SWT. Oleh kerana itu, kaum Muslim hendaklah mempersiapkan diri sebaik mungkin agar dapat meraih keutamaan dan keistimewaan bulan suci ini.
Salah satu bentuk persiapan tersebut adalah dengan memanfaatkan bulan Syaaban, bulan yang sering diabaikan oleh kaum Muslim, namun memiliki keutamaan yang besar dalam Islam. Inilah yang juga dilakukan oleh generasi salafush-shâlih. Salah satunya bernama Amr bin Qais rahimahulLâh. Demi mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan Ramadhan, awal-awal lagi bahkan—saat memasuki bulan Syaaban—sudah mula menutup kedainya (menghentikan kegiatan bisnesnya). Lalu dia menyibukkan dirinya dengan banyak membaca al-Quran.
Begitulah generasi salafush-shâlih. Bagi mereka, bisnes duniawi—sekalipun mendatangkan keuntungan besar—tidak lebih penting daripada menyucikan jiwa mereka demi menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkah. Oleh sebab itu awal-awal lagi mereka sudah memfokuskan diri untuk memperbanyak ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Di antaranya dengan memperbanyak membaca al-Quran sepanjang bulan Syaaban.
Terkait pentingnya mempersiapkan diri sebelum Ramadhan tiba, Amr bin Qais pernah berkata:
طُوْبَى لِمَنْ أَصْلَحَ نَفْسَهُ قَبْلَ رَمَضَانَ
“Beruntunglah orang yang berusaha menata (menyucikan) jiwanya sebelum Ramadhan datang.” (Ibnu Rejab al-Hanbali, Lathâ’if al-Ma’ârif, hlm. 138).
Mensucikan jiwa dapat dilakukan antara lain dengan banyak bertaubat kepada Allah SWT. Dengan begitu, saat memasuki Ramadhan seorang Muslim dalam keadaan bersih dari dosa. Seterusnya dia hendaklah berusaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan dirinya agar lebih bersedia menghadapi ujian dan godaan saat berpuasa.
Dengan demikian Syaaban adalah waktu yang tepat untuk melatih dan membiasakan diri melakukan pelbagai ketaatan dan amal-amal soleh sebelum memasuki bulan Ramadhan. Sepanjang bulan Syaaban, kita boleh mulai melatih dan membiasakan diri dengan memperbanyak puasa-puasa sunnah; memperbanyak solat-solat sunnah, seperti solat tahajud dan dhuha; memperbanyak membaca al-Quran setiap hari; memperbanyak sedekah; memperbaiki akhlak; meningkatkan aktiviti dakwah dan amar makruf nahi mungkar serta amal soleh lainnya; sekaligus menjauhi perbuatan dosa dan maksiat. Dengan begitu, ketika Ramadhan tiba, kita sudah terbiasa melakukan amal ketaatan dan amal soleh sekaligus menjauhi perbuatan dosa dan kemaksiatan. Selain itu, kita juga dapat menjalani puasa Ramadhan dengan jauh lebih baik.
Sebagaimana diketahui, tujuan utama dari ibadah puasa Ramadhan adalah membentuk peribadi yang bertakwa. Demikian sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan atas kalian berpuasa, sebagaimana puasa itu pernah diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian, agar kalian bertakwa.” (TMQ al-Baqarah [2]: 183).
Namun demikian, takwa tidak dapat diraih secara segera. Kita memerlukan latihan dan pembiasaan. Salah satunya dengan banyak berlatih dan melakukan pembiasaan pada bulan Syaaban. Jika seseorang terbiasa melakukan amal soleh pada bulan Syaaban, maka saat Ramadhan tiba, dia akan lebih mudah menjalankan ibadah kepada Allah SWT dengan kadar maksimum dan mencapai darjat takwa.
Bulan Ramadhan adalah bulan keampunan, tetapi bagaimana mungkin seseorang mengharapkan ampunan Allah SWT jika dia belum bersungguh-sungguh bertaubat sebelumnya? Oleh kerana itu, bulan Syaaban adalah kesempatan terbaik untuk memperbanyak istighfar dan taubat.
Rasulullah SAW bersabda, “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampunan-Nya. Sungguh aku pun biasa bertaubat kepada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali.” (HR Muslim).
Taubat yang benar (tawbat[an] nashûhâ]) menuntut pelakunya untuk berhenti sepenuhnya dari perbuatan dosa dan maksiat. Dia hendaklah menjauhkan diri dari segala bentuk dosa, baik dosa besar mahupun dosa kecil. Di antaranya adalah dosa menzalimi orang lain walau hanya mengambil sejengkal tanahnya. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah mengingatkan kita:
مَنْ ظَلَمَ قِيدَ شِبْرٍ مِنَ الأَرْضِ طُوِّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ
“Siapa saja yang berbuat zalim meski hanya mengambil sejengkal tanah (milik orang lain), nescaya akan ditimpakan kepada dirinya tujuh lapis bumi (pada Hari Kiamat).” (HR al-Bukhari).
Selain itu, saat Ramadhan nanti, orang yang berpuasa, tetapi masih sering melakukan kezaliman kepada sesame manusia, baik dengan perkataan mahupun perbuatan, dibimbangi puasanya menjadi sia-sia.
Dalam hal ini, para pemimpin, terutama para penguasa dan para pegawainya, lebih layak untuk bersegera meninggalkan segala bentuk kezaliman terhadap rakyatnya. Mereka sejak awal seharusnya menyedari akan amanah dan tanggung jawab mereka di hadapan Allah SWT pada Hari Akhirat nanti. Jika para pemimpin ini banyak menzalimi rakyat mereka, mereka kelak di akhirat tidak akan masuk syurga dan bakal dimasukkan ke dalam neraka. Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوْتُ يَوْمَ يَمُوْتُ وَهُوَ غَاشٌ لِرَعِيَّتِهِ إِلاَ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
“Tidaklah seorang hamba (pemimpin) yang telah Allah amanahi untuk mengurusi urusan rakyatnya, lalu dia mati dalam keadaan menzalimi rakyatnya, kecuali Allah mengharamkan syurga bagi dirinya.” (HR Ibnu Hibban).
Kerana itu bulan Syaaban ini adalah momen yang tepat bagi para pemimpin untuk segera menghentikan segala bentuk kezaliman, menegakkan keadilan dan menjalankan amanah dengan benar. Jika mereka sungguh-sungguh ingin mendapatkan keberkahan pada bulan Ramadhan, mereka hendaklah meninggalkan segala bentuk kezaliman sebelum bulan suci itu tiba.
‘Alâ kulli hâl, semoga kita semua dapat memanfaatkan bulan Syaaban ini dengan sebaik-baiknya agar kita dapat memasuki bulan Ramadhan dalam keadaan suci, bersih dan bersedia untuk menjalani ibadah puasa demi meraih takwa dengan takwa yang sebenar-benarnya.
WalLâhu a’lam bi ash-shawâb. []
—*—
Hikmah:
Allah SWT berfirman:
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى . وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى . بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا . وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى
“Sungguh berbahagia orang yang mensucikan dirinya dan biasa mengingat Nama Tuhan-Nya, lalu mendirikan solat. Akan tetapi, kalian lebih mengutamakan kehidupan dunia. Sedangkan kehidupan akhirat itulah yang lebih baik dan lebih kekal.” (TMQ al-A’la [87]: 14-17).
Sumber: Buletin Kaffah

