Site icon MuslimahHTM News

[Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam] Dari Manakah Gerakan Islam Harus Bermula? (Bahagian 1/3)

[Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam] Dari Manakah Gerakan Islam Harus Bermula? (Bahagian 1/3)


Dari mana harakah Islam harus bermula memperbaiki keadaan masyarakat? Apakah dengan terlebih dahulu memperbaiki individunya seperti kenyataan yang dilontarkan oleh kebanyakan gerakan Islam? Ataukah dengan memperbaiki keadaan dan sistem masyarakatnya sebelum memperbaiki individunya? Atau perbaikan itu tidak mungkin berhasil apabila tidak didukung oleh sebuah negara yang akan memperbaiki keadaan masyarakat dan individu? Atau bagaimana caranya?

Fakta menunjukkan bahawa perbaikan terhadap individu tidak cukup dangan sendirinya dapat memperbaiki masyarakat. Namun ini tidak bererti bahawa perbaikan individu boleh diremehkan dan dianggap tidak begitu penting. Sesungguhnya memperbaiki masyarakat memerlukan usaha besar yang dititikberatkan pada perubahan sistem yang berlaku di tengah masyarakat. Juga memerlukan  perubahan pemikiran dan kebudayaan yang telah mengakar di dalamnya, serta perasaan individu masyarakat.

Perubahan tersebut tidak dapat dilaksanakan, kecuali dengan adanya usaha dari suatu kelompok yang berpengaruh di tengah masyarakat. Oleh kerana kelompok tersebut terbentuk dari sejumlah individu, tentu perlu diusahakan terlebih dahulu mengubah diri mereka sendiri menjadi orang yang salih sebelum orang lain.

Seharusnya usaha dan aktiviti kelompok tersebut tidak terhad pada hanya memperbaiki sekelompok orang lain lalu menjadikannya sebagai bahagian (anggota) dari kelompok dakwah mereka. Akan tetapi usaha yang paling pokok (utama) adalah mengubah masyarakat yang ada sekarang ini menjadi masyarakat Islam. Ini dilakukan melalui jalan pembinaan pemikiran dan perasaan individu-individunya.

Tidak dapat diperselisihkan lagi bahawa situasi politik dan ekonomi yang berubah dan berkembang saat ini di negeri-negeri Islam selalu mengarah kepada suatu keadaan yang tidak sesuai dengan kepentingan umat Islam. Kita sering mendengar banyak analisis terhadap keadaan tersebut daripada para intelektual muslim di berbagai negeri Islam. Namun, yang paling menarik di antara analisis-analisis tersebut ialah dua pendekatan berikut ini:

Pertama, mendiagnosis keadaan masyarakat. Ada di antara sebahagian intelektual muslim yang cuba menganalisis dengan cara membahas berbagai masalah yang ada sekarang. Mereka yakin bahawa setiap pemecahan suatu masalah tidak dapat dilakukan, kecuali dengan memahami keadaan/fakta masalah tersebut. Hal ini persis seperti seorang doktor yang tidak akan memberikan ubat sebelum melakukan diagnosis terhadap penyakit yang dideritai oleh pesakitnya.

Kedua, pesimis terhadap keadaan. Sebahagian intelektual lainnya berusaha mewujudkan sikap pesimis terhadap diri kaum muslim. Caranya, mereka selalu membandingkan kemajuan bangsa-bangsa Barat dengan kemunduran kaum muslim saat ini. Mereka sengaja menonjolkan keadaan kaum muslim yang payah tersebut dari berbagai aspeknya.

Kemudian mereka tidak memberikan pemecahan jitu terhadap masalah tersebut. Bahkan mereka sama sekali tidak berusaha menyumbangkan solusi untuk mengatasinya. Mereka seolah-olah mengatakan kepada kaum muslim, “Itulah keadaan umatmu. Kalian tidak akan mengalami perubahan!” Kita perlu berwaspada terhadap analisis semacam ini.

Oleh kerana itu, telah menjadi kewajipan bagi siapa saja yang mendambakan suatu kebangkitan kaum muslim, agar tidak hanya memaparkan masalah-masalah kaum muslim tanpa memberikan pemecahannya (penyelesaiannya). Sebabnya, sikap seperti ini tidak akan menyumbangkan suatu pemikiran baru.

Sepatutnya kita mula menentukan rencana-rencana yang tepat untuk merancang penyelesaian jitu bagi kaum muslim dan mengembalikan mereka ke kedudukan yang mulia sebagai umat terunggul di dunia. Dengan cara demikian, kaum muslim dapat menjadi umat yang dikehendaki Allah Swt. sebagai khairu ummah yang dilahirkan dan menonjol di tengah umat manusia.

Dari sinilah kemudian timbul pertanyaan, “Dari mana kita harus bermula?”

Kalau kita meneliti jawapan dari berbagai gerakan Islam terhadap pertanyaan ini, akan kita mendapati dua jenis pandangan.

Pertama, perbaikan individu. Kelompok ini berusaha memperbaiki setiap individu muslim dengan memfokuskan perhatian terhadap asas masyarakat ini. Mereka beranggapan apabila telah diperoleh kesempatan yang cukup untuk memperbaiki asas tersebut, maka kaum muslimin akan kembali mendapatkan kemuliaan seperti sedia kala.

Menurut mereka, “Allah menghindarkan orang-orang mukmin dari peperangan.” (TMQ Al-Ahzab: 25).

Kedua, perbaikan masyarakat. Kelompok ini beranggapan bahawa usaha yang paling benar adalah membentuk sebuah negara yang memikul beban dakwah dan melindungi kaum muslim dari berbagai penyakit yang mereka deritai. Termasuk juga mengubah masyarakat menjadi masyarakat Islam sehingga perubahan itu pasti akan mempengaruhi individu-individunya, sekaligus memperbaiki keadaan mereka.

Di antara dua pandangan tersebut, terdapat perbezaan metode, sekalipun tujuannya sama, iaitu mengembalikan kejayaan umat Islam. Mengingat tujuan tersebut merupakan keperluan yang sangat penting, maka kita perlu membicarakan lebih mendalam untuk mengetahui metode yang paling benar.

Sebelum menjawab pertanyaan terakhir ini, kita hendaklah terlebih dahulu sepakat terhadap satu perkara pokok, bahawa Islam telah menentukan dan menunjukkan kebenaran itu. Di antaranya ialah apa yang tercantum dalam surah An-Nisa: 59, “… (Lalu) jika kamu berselisih pendapat tentang suatu (masalah), maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-nya (sunnah).”

Oleh kerana itu, dalam rangka menyatukan pendapat, marilah kita lihat cara Rasulullah SAW mula menjalankan dakwah. Beliau SAW berusaha menyelamatkan masyarakat jazirah Arab dari perpecahan sosial dan politik sehingga mereka dapat bangkit, bahkan mampu menaklukkan dunia.


Sumber: Abdurrahman Muhammad Khalid, Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam.

Exit mobile version