Site icon MuslimahHTM News

[Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam] Membentuk Kesatuan Antara gerakan  (Bahagian 3/4)


[Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam] Membentuk Kesatuan Antara gerakan  (Bahagian 3/4)

[Sambungan dari Bahagian 2/4]

Bagi semua jemaah, kelompok, gerakan, dan organisasi Islam, hendaklah menganggap dirinya menjadi salah satu jemaah Islam yang merupakan bahagian daripada jemaah kaum muslim atau umat Islam secara keseluruhan. Tidak dibolehkan bagi salah satu dari golongan tersebut menganggap dirinya sebagai satu-satunya jamaah/gerakan yang perlu menonjol ke barisan terdepan atau menganggap hanya dirinyalah yang merupakan jemaah Islam. Bahkan, tidak boleh menganggap bahawa setiap orang yang berbeza pemahaman dan pola operasional dakwahnya dengan apa yang ada pada diri mereka seolah-olah telah keluar dari jemaah kaum muslim atau dianggap memecah belah persatuan umat.

Memang wajar apabila setiap gerakan berhak menganggap pemahamannya terhadap Islam dan pola operasional dakwahnya adalah tepat dan benar. Sebabnya kalau tidak demikian, tentulah gerakan itu tidak terikat oleh lingkaran pemahaman dan pola operasional dakwahnya. Akan tetapi perlu dibezakan sikap suatu jemaah, kelompok, atau gerakan yang menganggap dirinya lebih benar dibandingkan dengan yang lainnya dan menganggap dirinya yang benar sedangkan yang lainnya sesat.

Demikian pula yang menganggap dirinya sebagai satu-satunya jemaah kaum muslim, yang bermaksud bahawa berbagai jemaah di luar diri mereka tidak termasuk jemaah kaum muslim. Sikap yang demikian itu tidak dibenarkan secara syarie. Sebabnya, Islam menganggap bahawa kaum muslim secara keseluruhan adalah jemaah kaum muslim.

Dalam hal ini, kita telah diingatkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis Huzhaifah bin Yaman, “…Tetaplah engkau bersama dengan jemaah kaum muslim dan Imam (Khalifah) mereka.” (HR Bukhari).

Begitu pula tatkala Khalifah Uthman bin Affan terbunuh, seseorang bertanya kepada Ibnu Mas’ud tentang bagaimana dia perlu bersikap dalam situasi yang “labil” tersebut. Ibnu Mas’ud berkata, “Tetaplah engkau (bergabung) bersama jemaah kaum muslim kerana Allah SWT. tidak akan mempersatukan umat Muhammad ini dalam kesesatan.”

Perkataan Ibnu Mas’ud tersebut menunjukkan bahawa yang dimaksud dengan jemaah kaum muslim adalah umat Islam secara keseluruhan. Apabila ucapan tersebut dikaitkan dengan hadis Huzhaifah di atas, maka dapatlah dikatakan bahawa jemaah kaum muslim adalah masyarakat kaum muslim yang berada di bawah kekuasaan seorang Imam/Khalifah dan mereka (ketika itu) belum terlibat (bergabung) dengan kelompok atau aliran sesat yang menentang Islam dan Khilafah atau berusaha memisahkan diri dari jemaah kaum muslim.

Pengertian tentang jemaah kaum muslim, sesungguhnya tidaklah berbeza dengan pendapat para fuqaha dan ahli hadis. Sebahagian besar daripada mereka mengatakan bahawa jemaah kaum muslim adalah seluruh umat Islam (Assawad Al A’zham) atau jemaah kaum muslim yang mentaati Imam/Khalifah mereka. Sedangkan siapa saja yang melanggar baiat (taat), maka dia dianggap telah keluar dari jemaah kaum muslim.

Oleh kerana itu, kepentingan pertemuan pada peringkat kepimpinan merupakan satu keperluan dan perlu dibahas secara serius dan berkesan. Ini bertujuan untuk menghilangkan perselisihan di antara gerakan-gerakan dakwah Islam, sekaligus berusaha menyatukan gerak dakwah, khususnya dalam masalah-masalah penting yang dihadapi oleh umat Islam sekarang. Semua itu tidak lain adalah untuk menemukan cara dan sarana yang tepat dan bijaksana demi mendorong kemajuan dakwah Islam.

Juga perlu adanya pertemuan pada peringkat anggota gerakan Islam itu sendiri agar mereka dapat memahami bahawa keperibadiannya juga sebahagian daripada masayarakat Islam sebelum mereka benar-benar bersikap dan bertindak sebagai seorang pengemban dakwah. Dengan kata lain, seorang pengemban dakwah adalah seorang muslim, sebelum dia (tanpa mengira atau) berada dalam suatu kelompok, jemaah, atau gerakan Islam.

Perlu dijelaskan juga kepada mereka bahawa hubungan antara sesama anggota gerakan hendaklah berupa hubungan persaudaraan. Setiap pengemban dakwah perlu diingatkan terhadap firman Allah SWT.,

“Berpegang teguhlah kalian semua dengan Dinul Islam dan janganlah (kamu) bercerai-berai. Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan (masa jahiliah), maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu, kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara.” (TMQ Ali Imran: 103).

Apabila para pengikut gerakan Islam tersebut menjadikan ayat di atas sebagai pusat perhatiannya, mereka akan menyedari bahawa hubungan antara pengikut gerakan tersebut adalah hubungan persaudaraan, sekalipun terdapat berbagai bentuk perbezaan. Sebabnya, perbezaan yang demikian adalah perbezaan yang wajar terjadi di antara sesama kaum muslim, tetapi tidak sampai dianggap satu sama lain saling bermusuhan. Bahkan sesungguhnya mereka itu bersaudara.

Oleh kerana itu, perlu adanya pertemuan antara pengikut gerakan, misalnya di masjid, sekolah/kampus, rumah-rumah mahupun pejabat, atau di setiap tempat yang memungkinkan para pengemban dakwah dapat bertemu. Selain itu, satu sama lain hendaknya membicarakan tentang idea-idea Islam dan masing-masing berusaha untuk merealisasikan Islam dalam kehidupan.

Setiap orang dari mereka hendaklah menyedari bahawa dakwah mereka wajib ditujukan untuk Islam, bukan untuk jemaah, kelompok, parti, organisasi, atau individu. Kesetiaannya juga adalah untuk Islam semata, bukan untuk salah satu golongan atau individu tersebut. Kemudian setiap orang di antara mereka hendaknya menyedari  bahawa dia bersama saudaranya berada dalam satu kubu untuk menentang kekufuran dan orang-orang kafir yang memusuhi Islam beserta umatnya.

Sumber: Abdurrahman Muhammad Khalid, Soal-Jawab Seputar Gerakan Islam.

Exit mobile version