Pakar Parenting: Keluarga Islam Adalah Keluarga Dakwah
Oleh: Hidayah Muhammad
Pakar Parenting dan Pendidikan, Ustaz M. Rahmat Kurnia menyatakan bahawa salah satu ciri khas keluarga Islam adalah keluarga dakwah, saling mengingatkan satu sama lain, penuh dengan kasih sayang.
“Salah satu ciri khas keluarga Islam adalah keluarga dakwah yang saling menasihati dalam kebenaran dan mengingatkan dengan penuh kasih sayang,” katanya dalam saluran YouTube One Ummah berjudul Membangun Keluarga Dakwah, Sabtu (30/03/24).
Beliau mengingatkan bahawa hidup ini untuk Allah SWT. “Malah apa sahaja yang kita ada, termasuk keluarga, perlu diabdikan untuk Allah SWT,” katanya.
“Berkaitan dengan keluarga ini, terdapat banyak ayat, di antaranya at-Tharim ayat 6. ‘Wahai orang-orang beriman, jagalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka.’,” nukilnya.
Oleh itu, seorang bapa mesti melindungi isteri dan anak-anaknya daripada api neraka. Seorang ibu mesti menjaga suaminya dan anak-anaknya jangan sampai terjerumus ke dalam api neraka. Seorang anak mesti menjaga satu sama lain, termasuk menjaga bapa dan ibunya, jangan sampai dimasukkan ke dalam neraka.
Tambahya lagi, justeru tidak hairanlah jika doa yang dipanjatkan ada kaitan dengan perkara ini.
“Kitakan sering berdoa Rabbana hablana min azwajina wa zuriyatina qurrata a’yun waj’alna lil muttaqina imama, yang terdapat di dalam surah al-Furqan ayat 74. Ya Allah berikanlah kepada kami pasangan hidup kami, suami kami, isteri-isteri kami, sebagai qurrata a’yun dan zuriat kami, anak cucu keturunan kami, dan jadikanlah kami lil muttaqina imama sebagai penghulu orang-orang yang bertakwa,” jelasnya.
Oleh itu, mustahil bertakwa kalau tidak saling menasihati dalam ketakwaan, mustahil sesebuah keluarga boleh bertakwa sampai anak keturunan bertakwa. “Keluarga Muslim harus menjadi keluarga dakwah,” katanya.
“Apabila Rasulullah SAW menerima wahyu pertama daripada Allah SWT, orang pertama yang didakwahkan adalah Ibunda Khadijah RA, setelah itu Sayyidina Ali, dan seterusnya. Itu bermakna apa? Maknanya, memang Rasulullah SAW memberi contoh bagaimana baginda mendakwahkan keluarga,” katanya.
Ini menunjukkan bahawa kita mesti menjadi keluarga dakwah, keluarga yang bukan hanya mengaji, tetapi juga keluarga yang menyebarkan Islam.
“Mari jadikan keluarga kita sebagai keluarga yang rajin belajar mendalami Islam dan keluarga yang turut membangun peradaban Islam dengan dakwah. Jadilah keluarga dakwah,” tutupnya.

