Site icon MuslimahHTM News

SENTIASA PELIHARA SIKAP MURAQABAH

SENTIASA PELIHARA SIKAP MURAQABAH

Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar

 

Iman seseorang yang paling utama adalah dia menyedari bahawa Allah sentiasa bersama dirinya di mana sahaja dia berada. (HR al-Baihaqi).

 

Firman Allah SWT (yang bermaksud): Dia sentiasa bersama kamu di mana sahaja kamu berada (Surah al-Hadid: 4); Sesungguhnya tiada suatu pun yang tersembunyi dari pandangan Allah, baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi (TMQ Ali Imran [3]: 5); Allah mengetahui mata yang berkhianat [yang mencuri pandang terhadap apa saja diharamkan] dan apa sahaja yang tersembunyi di dalam hati (TMQ Ghafir [40]: 19).

 

Sebahagian ulama mengisyaratkan, ayat-ayat ini merupakan tazkirah (peringatan) bahawa: Allah Maha Mengetahui atas dosa-dosa kecil, apatah lagi dosa-dosa besar; Allah Maha Mengetahui apa sahaja yang tersembunyi di dalam dada-dada manusia, apalagi yang dapat dilihat dengan mata kasar.

 

Di sinilah pentingnya muraqabah. Muraqabah (sentiasa merasa dalam pengawasan Allah SWT) merupakan salah satu maqam dari sikap ihsan, sebagaimana yang pernah diisyaratkan oleh malaikat Jibril AS dalam hadis Rasulullah SAW, apabila beliau ditanya: “Apa itu ihsan?” Ketika itu malaikat Jibril AS sendiri yang menjawab, “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Dia. Jika engkau tidak melihat Allah, maka sesungguhnya Dia melihat engkau.” (HR Muslim).

 

Begitu juga sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin ash-Shamit, bahawa baginda Rasulullah SAW pernah bersabda, “Iman seseorang yang paling utama adalah dia menyedari bahawa Allah sentiasa bersamanya di mana sahaja dia berada.” (HR al-Baihaqi, Syu’ab aI-Iman, I/470).

 

Dalam hadis lain, baginda Rasulullah SAW bersabda, “Bertakwalah engkau dalam segala keadaanmu!” (HR at-Tirmidzi, Ahmad dan ad-Darimi).

 

Dalam Tuhfah al-Awadzi bi Syarh Jami’ at-Tirmidzi dinyatakan bahawa frasa haytsumma kunta (dalam keadaan apa pun) bermaksud dalam keadaan lapang/sempit, senang/susah, atau gembira/apabila ditimpa bencana (Al-Mubarakfuri, VI/104). Haytsumma kunta juga bermaksud: di mana sahaja berada, baik saat manusia melihat anda ataupun saat mereka tidak melihat anda (Muhammad bin ‘Alan ash-Shiddiqi, Dalil al-Falihin, I/164).

 

Berkaitan dengan sikap muraqabah atau ihsan ini, terdapat riwayat bahawa Umar bin al-Khattab pernah menguji seorang budak pengembala. Ketika itu Umar memujuk pengembala untuk menjual seekor biri-biri daripada ratusan ekor biri-biri yang digembalanya, tanpa perlu melaporkannya kepada majikan pengembala. Lagipun, pemiliknya tidak akan tahu kerana jumlah biri-birinya yang banyak. Namun, apa jawapan pengembala tersebut. “Kalau begitu di manakah Allah? majikan saya mungkin tidak tahu. Namun, sudah tentu Allah Maha Mengetahui lagi Maha Melihat,” tegas pengembala itu.

 

Sejujurnya, kita harus mengakui bahawa sikap muraqabah (sentiasa merasa dalam pengawasan Allah SWT), seperti yang ditunjukkan oleh pengembala dalam kisah di atas, semakin jauh daripada kehidupan banyak individu Muslim saat ini. Banyak Muslim bersikap seolah-olah Allah SWT tidak pernah melihat mereka. Tiada lagi rasa takut apabila melakukan maksiat. Tidak ada lagi khuatir apabila melakukan dosa. Tidak ada lagi rasa malu apabila melakukan kesalahan. Tidak ada lagi rasa segan apabila melakukan yang haram. Setiap dosa, kemaksiatan, keharaman dan kesalahan ‘mengalir’ begitu sahaja dan dilakukan seolah-olah tanpa beban. Banyak Muslim hari ini tidak lagi berasa malu apabila melakukan rasuah, tidak lagi ragu-ragu ketika menipu, tidak lagi merasa berat saat mendedahkan aurat, tidak lagi merasa berdosa apabila berzina, tidak lagi berasa malu saat berselingkuh, dsb. Semua itu berlaku akibat mereka gagal ‘menghadirkan’ Allah SWT di sisi mereka dan melupakan pengawasan-Nya terhadap setiap gerak-geri mereka. Mengapa gagal? Kerana banyak individu Muslim berhati-hati dengan mata zahirnya, tetapi buta dengan mata batinnya. Mereka hanya mampu melihat perkara yang nampak dengan mata kasar, tetapi gagal untuk ‘melihat’ perkara yang ghaib: pengawasan Allah SWT; Hari Perhitungan, syurga dan neraka, pahala dan seksa, dsb. Apa yang mereka dapat lihat hanyalah kenikmatan dunia yang sedikit dan kesenangan yang sesaat. Sudah tentu keadaan ini mesti diubah, agar seorang Muslim kembali memiliki sikap muraqabah.

 

Wujudnya sikap muraqabah dalam diri seorang Muslim dapat dicirikan sekurang-kurangnya dengan dua perkara. Pertama: Sentiasa berusaha menghitung diri, sebelum kelak dihisab oleh Allah SWT. Kedua: Bersungguh-sungguh beramal soleh sebagai bekal untuk kehidupan selepas mati. Dua perkara inilah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Orang cerdas ialah orang yang selalu menghisab dirinya dan beramal soleh sebagai bekal kehidupan selepas mati. Orang lemah ialah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT.” (HR at-Tirmidzi, Ahmad, Ibn Majah dan al-Hakim).

 

Ketiga: Meninggalkan perkara yang sia-sia sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Di antara kebaikan keislaman seseorang ialah meninggalkan hal-hal yang tidak berguna.” (HR at-Tirmidzi). Jika perkara yang sia-sia sahaja mesti ditinggalkan walaupun halal, apalagi yang haram.

 

Itulah di antara wujudnya sikap muraqabah. Semoga kita adalah pelakunya.

Exit mobile version